Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Prestasi KDNK Suku Keempat 2021: Pertumbuhan Positif Petanda Jelas Ekonomi Malaysia di Landasan Pemulihan

Prestasi KDNK Suku Keempat 2021: Pertumbuhan Positif Petanda Jelas Ekonomi Malaysia di Landasan Pemulihan

Walaupun berhadapan dengan ancaman varian Omicron serta bencana banjir di Lembah Klang dan beberapa negeri lain pada Disember 2021, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia meningkat sebanyak 3.6% pada suku keempat 2021 (S4 2021), berbanding penguncupan sebanyak 3.4% pada tempoh yang sama tahun lalu

Pertumbuhan KDNK bulanan kembali positif sepanjang S4 2021. Momentum pemulihan KDNK terus mencatat pertumbuhan sebanyak 2.6% pada bulan Disember, susulan pertumbuhan yang memberangsangkan pada bulan November sebanyak 5.4%, dan 2.7% pada Oktober 2021. Pertumbuhan ini mencerminkan penambahbaikan momentum pemulihan ekonomi negara yang akan diperkukuh dengan pemberian dos penggalak di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), serta peralihan seluruh negara ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara. Secara keseluruhan, tanda-tanda pemulihan ekonomi jelas kelihatan melalui prestasi KDNK Malaysia bagi tahun 2021 dengan pertumbuhan sebanyak 3.1%, berbanding penguncupan sebanyak 5.6% pada tahun 2020.

“Prestasi ekonomi S4 2021 yang memberangsangkan telah disokong oleh penambahbaikan dalam pasaran buruh dengan kadar pengangguran berkurang kepada 4.2%, dan nilai jualan sektor pembuatan yang meningkat sebanyak 15.5% pada bulan Disember. Perdagangan luar negeri mencatat rekod tertinggi sepanjang suku keempat, di mana jumlah dagangan negara pada 2021 melebihi paras RM2 trilion dengan peningkatan tahunan sebanyak 24.8%, iaitu pertumbuhan tertinggi sejak tahun 1994. Pertumbuhan ini disumbang oleh aktiviti ekonomi global yang kukuh, khususnya di kalangan rakan dagang utama negara. Selain itu, pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia mencatat aliran masuk bersih berjumlah RM24.7 bilion pada S4 2021, menjadikan jumlah FDI tahun 2021 melebihi RM50 bilion (2020: RM14.6 bilion), iaitu lebih tinggi daripada tahun-tahun prapandemik.” menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dari segi pasaran kewangan Malaysia,

  1. Sistem perbankan adalah kukuh dengan nisbah perlindungan mudah tunai mencatat 154% pada Disember 2021. Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih pula kekal stabil pada 1.4% dan 0.9%.
  2. Rizab antarabangsa Malaysia kekal tinggi pada akhir Disember 2021 dengan jumlah sebanyak USD116.9 bilion, mencukupi untuk membiayai 7.7 bulan import tertangguh dan 1.2 kali hutang luar negeri jangka pendek.
  3. Pinjaman terkumpul kepada perniagaan berkembang sebanyak 4.8% pada S4 2021 (S3 2021: 2.4%), disokong oleh pertumbuhan pembiayaan modal kerja yang kekal tinggi. Pengembangan ini dipacu oleh sektor perdagangan borong dan runcit serta sektor pembuatan sejajar dengan peningkatan semula aktiviti ekonomi.

Dari sudut pasaran modal,

  1. FBMKLCI meningkat sebanyak 1.9% pada S4 2021 dengan pelabur runcit tempatan menyumbang RM12.2 bilion dalam pelaburan bersih. Sementara itu, segmen unit amanah menerusi Nilai Aset Bersih berkembang sebanyak 1.4% kepada RM526.9 bilion pada akhir Disember 2021. Di samping itu, pelabur asing mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM0.6 bilion dalam tempoh S4 2021.
  2. Pasaran bon Ringgit menyaksikan permintaan berterusan daripada pelabur asing. Sepanjang tahun 2021, sejumlah RM33.6 bilion aliran masuk bersih direkod dengan 95% merupakan langganan dalam MGS dan MGII. Pegangan asing dalam bon Kerajaan Malaysia mencatat RM234 bilion atau bersamaan 25.4% daripada jumlah terkumpul bon Kerajaan jangka panjang. Pasaran sekunder pula kekal kukuh dan terbitan utama Kerajaan terus mendapat sokongan dengan purata nisbah bidaan kepada terbitan sebanyak 2.1 kali pada tahun 2021.

MELANGKAH KE HADAPAN

Pemulihan ekonomi pada tahun 2021 akan menyokong KDNK Malaysia agar kembali ke paras prapandemik. Di samping itu, pertumbuhan akan dipacu terutamanya oleh Bajet 2022 yang mengembang, normalisasi dalam aktiviti ekonomi dan sosial berikutan kadar vaksinasi yang tinggi, penyambungan semula projek dengan kesan pengganda yang tinggi serta permintaan luar yang kukuh terutamanya daripada rakan dagang utama. Oleh itu, Kerajaan mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2022 di antara 5.5% dan 6.5%. Unjuran ini juga adalah selari dengan unjuran oleh IMF dan Bank Dunia masing-masing pada 5.7% dan 5.8%.

“Pengekalan kelonggaran sekatan pergerakan serta aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih rancak seiring dengan permintaan domestik dan luar yang kukuh, dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih baik. Sentimen positif perniagaan dan pengguna yang berterusan diperkukuh melalui kadar vaksinasi yang tinggi iaitu hampir 80% daripada keseluruhan populasi telah mendapat vaksinasi penuh. Di samping itu, lebih daripada separuh daripada populasi dewasa telah menerima dos penggalak. Melangkah ke hadapan, inisiatif Bajet 2022 seperti program JaminKerja dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion yang akan menjamin 600,000 pekerjaan, serta program SemarakNiaga yang bernilai RM40 bilion untuk membantu memulakan kembali perniagaan, akan menyokong lagi momentum pertumbuhan ekonomi tahun ini.Kerajaan juga akan memantau rapi sebarang tekanan inflasi terutamanya ke atas barangan makanan, dan memastikan langkah yang sewajarnya dilaksanakan bagi mengurangkan kebimbangan rakyat terhadap kelangsungan hidup mereka” menurut Tengku Zafrul.

Kerajaan akan terus mengutamakan kesejahteraan rakyat. Usaha untuk mengurangkan ancaman COVID-19, serta pemulihan sepenuhnya daripada kesan banjir kekal menjadi keutamaan. Sehubungan itu, Kerajaan telah bertindak secara responsif kepada keperluan yang mendesak di samping mengekalkan kebertanggungjawaban fiskal dan pelaksanaan pembaharuan yang strategik bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan dan berdaya tahan dalam jangka sederhana dan panjang.


YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
11 Februari 2022


 

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility