Mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 April 2019 telah bersetuju supaya Kerajaan menamatkan perjanjian project delivery partner (PDP) bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak kerana projek melalui pendekatan PDP dilihat melibatkan implikasi kewangan yang tinggi kepada Kerajaan. Dengan penamatan perjanjian PDP, implikasi kewangan keseluruhan untuk pelaksanaan projek telah dapat dikurangkan dengan penjimatan sebanyak RM3.1 bilion iaitu 14% daripada anggaran implikasi kewangan sebelum penamatan perjanjian PDP.
Jadual 1: Perbezaan kos sebelum penamatan perjanjian PDP dan selepas penamatan perjanjian PDP
| No | Perkara | Kos (RM Bilion) | |
|---|---|---|---|
| PDP | Konvensional | ||
| 1. | Pembinaan (capped), Target Cost | 16.488 | 16.117 |
| 2. | Imbuhan balik PDP dan perunding(capped) | 2.300 | 1.000 |
| Kos yuran perunding penyelia tapak selepas penamatan PDP | 0.609 | ||
| 3. | Yuran PDP (5.5% daripada Target Cost) | 0.907 | 0.348 |
| 4. | Kontigensi (8% daripada Target Cost) | 1.319 | - |
| 5. | Kos pengambilan balik tanah | 0.700 | 0.700 |
| 6. | Independent Consulting Engineer (ICE) | 0.143 | 0.072 |
| JUMLAH | 21.857 | 18.846 | |
Anggaran implikasi kewangan kepada Kerajaan dengan penglibatan syarikat PDP sebelum ini ialah RM21.9 bilion manakala anggaran implikasi kewangan setelah perjanjian PDP ditamatkan ialah sebanyak RM18.8 bilion. Dengan penamatan perjanjian PDP ini, Kerajaan tidak perlu membayar yuran PDP sebanyak 5.5% daripada kos pembinaan serta kos-kos lain yang bersifat bayaran balik (reimbursable) kepada syarikat PDP.
Selaras dengan keputusan untuk menamatkan perjanjian PDP, Kementerian Kerja Raya telah mengeluarkan notis penamatan perjanjian PDP kepada syarikat PDP pada 20 September 2019. Pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak selepas penamatan perjanjian PDP akan dilaksanakan secara konvensional tanpa penglibatan syarikat PDP.
Dalam mesyuarat pada 4 September 2019, Jemaah Menteri telah bersetuju supaya pelaksanaan 11 pakej kerja projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sepanjang 786.4km diteruskan oleh Kerajaan secara konvensional tanpa penglibatan syarikat PDP. Setakat ini, 1 kontrak pakej kerja iaitu WPC01 (jajaran Telok Melano ke Semantan sepanjang 33km) telah siap mengikut jadual pada 6 Januari 2019.
Peruntukan secukupnya disediakan bagi menyiapkan 11 pakej tersebut termasuk peruntukan pembangunan oleh Kerajaan Persekutuan berjumlah RM5 bilion dan pembiayaan selebihnya disediakan melalui DanaInfra Nasional Berhad. Kesinambungan urusan pembiayaan oleh DanaInfra Nasional Berhad ini melibatkan penamatan perjanjian Project Funding Agreement sedia ada dan digantikan dengan perjanjian Project Funding Agreement yang baharu yang telah ditandatangani pada hari ini. Urusan Project Funding Agreement ini juga adalah selaras dengan penamatan perjanjian PDP yang akan berkuatkuasa pada 20 Februari 2020.
Justeru, pada hari ini kita telah menyaksikan:
Saya yakin bahawa projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sepanjang 786.4 km ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi kepada negeri Sarawak. Penjimatan RM3.1 bilion daripada projek ini selepas ia siap, akan digunakan untuk projek-projek infrastruktur lain di Sarawak. Ini selaras dengan dasar baru Kementerian Kewangan untuk menggunakan penjimatan daripada sesuatu projek untuk projek infrastruktur lain yang memanfaatkan negara, dan untuk kes ini, khususnya rakyat negeri Sarawak.
Sayangi Malaysiaku!
Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan
Putrajaya
6 Februari 2020