Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Salah faham yang timbul berkaitan pemberian kepada Universiti Islam Malaysia (UIM) dan berkaitan UIM bukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Salah faham yang timbul berkaitan pemberian kepada Universiti Islam Malaysia (UIM) dan berkaitan UIM bukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Dalam sebuah kenyataan yang telah dimuat naik ke Facebook, Dato’ Sri Najib Razak, mempertikaikan perbandingan di antara pemberian Menteri Kewangan sebanyak RM 15 Juta kepada Universiti Islam Malaysia (UIM) dengan pemberian sebanyak RM6 Juta kepada Kolej Universiti New Era di Selangor, Kolej Universiti Selatan di Johor dan Kolej Universiti Han Chiang di Pulau Pinang, atau RM2 Juta buat setiap kolej swasta yang tidak berasaskan keuntungan.

Dato’ Sri Najib menyatakan perbandingan sedemikian adalah tidak masuk akal dan agak memperlekehkan rakyat dengan soalan, “Adakah Guan Eng tidak faham perbezaan antara kolej swasta dengan universiti awam milik kerajaan?” Dato’ Sri Najib silap lagi kerana UIM memang sebuah kolej swasta yang tidak berasaskan keuntungan yang beroperasi di Cyberjaya. Beliau nampaknya keliru dan tidak tahu bahawa UIM adalah berbeza dan berlainan daripada UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Amatlah dikesali bahawa beliau tidak tahu perbezaan di antara UIM dan UIAM sungguhpun telah memegang jawatan kerajaan sekian lama dan berkhidmat di Putrajaya selama lebih 20 tahun.

Apakah Dato’ Sri Najib tidak membaca dengan telilti dahulu sebelum membuat tuduhan sebegini, kerana dia telah melakukan kesilapan besar dengan menganggap bahawa Universiti Islam Malaysia (UIM), sebuah kolej swasta bukan untuk keuntungan yang berteraskan wakaf, adalah institusi yang sama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sebuah institut pengajian tinggi awam yang juga dikenali sebagai International Islamic University Malaysia. Untuk rekod, UIM ditubuhkan di Cyberjaya pada tahun 2012, apabila Kolej Islam Malaya, sebuah institusi pengajian Islam dengan sejarah panjang melahirkan ramai tokoh- tokoh di Malaysia, dinaiktaraf dengan perkenan Majlis Raja-Raja. Mustahil seorang bekas Perdana Menteri tidak tahu tentang kewujudan institusi yang begitu bersejarah, atau pura-pura tidak tahu semata-mata untuk berpolitik?

Sekarang siapa yang membuat kenyataan yang tidak masuk akal dan agak memperlekehkan rakyat? Seharusnya Dato’ Sri Najib patut memohon maaf atas kesilapannya tetapi saya yakin beliau tidak akan berbuat demikian kerana beliau rasa “tidak boleh buat salah”(can do no wrong). Seperti reaksi beliau terhadap pendedahan skandal 1MDB yang merugikan rakyat, beliau masih tidak mahu insaf dan berdegil menyatakan 1MDB menguntungkan rakyat.

Beliau tidak pernah mengatakan Jho Low atau Goldman Sachs silap atau mengambil tindakan ke atas mereka apabila masih berkuasa. Hanya apabila beliau kalah dalam Pilihanraya Umum ke-14 barulah Kerajaan Persekutuan baharu Pakatan Harapan mengambil tindakan sehingga pegawai-pegawai kanan mereka didakwa dan salah satu daripada mereka telah pun mengaku bersalah menipu 1MDB dan rakyat Malaysia. Malah di dalam perkembangan terkini, Goldman Sachs telah memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan menyatakan Goldman Sachs juga telah ditipu oleh pemimpin tertinggi Kerajaan BN.

Sungguhpun Goldman Sachs telah minta maaf, Dato’ Sri Najib masih berdegil dan berkeras yang beliau tidak bersalah dan enggan memohon maaf. Sebaliknya beliau menyalahkan sistem sungguhpun beliau mewakili sistem semasa menjadi Perdana Menteri Malaysia pada masa itu.


Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan Malaysia
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya

19 Januari 2019

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility