Dunia kini mendepani krisis COVID-19, iaitu antara pandemik terburuk dalam sejarah, di mana para penggubal dasar mengambil tindakan mendesak dan pantas demi melindungi nyawa dan kehidupan rakyat. Kerajaan di seluruh dunia telah melaksanakan pakej rangsangan ekonomi berjumlah hampir USD11.7 trilion yang meningkatkan defisit fiskal pada kadar purata 9% daripada KDNK, dengan hutang sektor awam dijangka menghampiri 100% daripada KDNK pada akhir tahun 2020. Sehubungan itu, agensi-agensi penarafan kredit telah mengenakan lebih 220 tindakan penarafan negatif sejak awal Mac, dengan tindakan penurunan penarafan kepada lebih 100 buah negara. Berlatarbelakangkan kejutan luaran ini, Fitch telah mengumumkan semakan semula penarafan negara Malaysia daripada A- kepada BBB+, namun dengan peningkatan tinjauan yang lebih baik daripada negatif kepada stabil.
Semakan semula penarafan ini didorong oleh kesan negatif daripada pandemik COVID-19 terhadap kedudukan kewangan negara dan situasi politik semasa. Dalam hal ini, Kerajaan kecewa dengan keputusan penarafan Fitch terutamanya dalam keadaan sukar ketika pandemik COVID-19 masih belum berakhir. Malah, tanda awal pemulihan ekonomi telah mula dicatatkan, hasil daripada pelbagai pakej rangsangan yang dilaksanakan Kerajaan sejak Mac 2020. Dengan hanya menumpukan kepada kedudukan fiskal dan keadaan politik Malaysia, keputusan berkenaan tidak memberikan gambaran sebenar dan tidak mengiktiraf hasil usaha tindak balas krisis oleh Kerajaan serta asas ekonomi negara yang masih kukuh.
Kerajaan Malaysia telah bertindak segera dan berterusan dalam menangani krisis COVID-19 menerusi sekurang-kurangnya empat pakej rangsangan bernilai RM305 bilion (USD75 bilion) atau sekitar 20% daripada KDNK untuk membantu rakyat dan menyokong perniagaan. Kesemua pakej tersebut dijangka menyumbang lebih empat mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK pada 2020. Langkah pakej rangsangan yang bersasar dan bersifat sementara tersebut telah membantu mengurangkan impak terhadap defisit fiskal Kerajaan. Penubuhan Agensi Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) sebagai badan khusus yang menjalankan pemantauan secara tersusun dan telus telah berjaya memastikan keberkesanan dan kecekapan penyampaian setiap langkah rangsangan. Tambahan pula, menurut Universiti Johns Hopkins, Malaysia telah mencapai nisbah kes COVID-19 berbanding kematian dalam lingkungan 10% terendah di peringkat global hasil daripada pelaksanaan langkah yang berkesan dalam membendung wabak tersebut.
Pada suku ketiga, KDNK Malaysia telah menguncup 2.7% berbanding kemerosotan ketara 17.1% pada suku kedua tahun 2020. Selain itu, kadar pengangguran juga telah berkurang kepada 4.6% pada bulan September berbanding 5.3% pada bulan Mei. Pertumbuhan KDNK yang lebih baik juga disokong oleh pemulihan dalam sektor perdagangan dan eksport.
Selepas hampir satu dekad melaksanakan langkah konsolidasi fiskal, Malaysia berjaya mengurangkan paras defisit daripada 6.7% daripada KDNK pada 2009 kepada 3.4% pada 2019. Walau bagaimanapun, krisis COVID-19 yang tidak diduga ini menyebabkan kedudukan defisit fiskal negara dianggarkan mencecah 6.0% daripada KDNK pada 2020 dan 5.4% pada 2021. Namun, kedudukan defisit fiskal Malaysia untuk 2020 dijangka antara yang terendah berbanding negara berpenarafan A yang lain berikutan usaha dan pendekatan Kerajaan yang berhemat. Dalam jangka sederhana dan panjang pula, Kerajaan kekal komited untuk melaksanakan langkah konsolidasi dan kemampanan fiskal berpandukan kepada Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana (MTFF). Kewibawaan dan pencapaian sasaran fiskal jangka sederhana Kerajaan juga diakui oleh Fitch. Menyingkap kembali sejarah, penurunan penarafan oleh Fitch sebelum ini adalah semasa Krisis Kewangan Asia 1997/98 (daripada BBB- kepada BB), dan setelah itu penarafan Malaysia berjaya dinaikkan beberapa kali sehingga mencapai taraf A- pada 2004.
Melangkah ke hadapan, Malaysia akan menuju ke arah pemulihan pesat pada 2021. Pengumuman Belanjawan 2021 pada 6 November lalu dijangka akan meneruskan momentum pemulihan yang dicetuskan oleh pelaksanaan pakej rangsangan dalam tahun ini, dengan sasaran pertumbuhan KDNK 6.5%-7.5%. Rekod prestasi cemerlang ekonomi negara yang berdaya tahan disokong oleh kepelbagaian sektor ekonomi, sektor eksport yang menggalakkan dan dinamik, serta pelaksanaan projek infrastruktur dengan kesan pengganda tinggi yang akan menjadi pemangkin dalam mencapai sasaran pertumbuhan ini. Kelebihan-kelebihan ini telah menyokong kedudukan Malaysia dalam kalangan 20% teratas bagi purata pertumbuhan KDNK di peringkat global bagi tahun 2015 hingga 2019.
Penarafan kredit Malaysia juga disokong oleh kedudukan aset luar yang kukuh, yang dicerminkan oleh lebihan akaun semasa yang konsisten selama lebih 2 dekad, serta pegangan aset luar oleh institusi kewangan dan syarikat korporat yang tinggi. Malaysia mempunyai pegangan yang besar dalam kedudukan aset mata wang asing bersih dengan jumlah RM1 trilion atau 71.8% daripada KDNK. Keupayaan Malaysia untuk bertahan daripada kejutan luaran juga tinggi, didorong oleh kadar pertukaran mata wang yang fleksibel serta rizab antarabangsa yang mencukupi, pada jumlah USD104.9 bilion yang mampu untuk membiayai 8.6 bulan import tertangguh. Selain itu, kecairan pasaran Malaysia juga disokong oleh pasaran modal yang mendalam dan pelbagai. Permintaan ke atas kertas hutang Kerajaan masih kekal tinggi dengan purata nisbah bidaan kepada terbitan (BTC) dicatatkan lebih 2 kali ganda.
Institusi perbankan Malaysia mempunyai daya tahan yang lebih signifikan terhadap risiko berbanding semasa keadaan krisis terdahulu. Secara khususnya, penampan kukuh sistem perbankan yang telah dikumpulkan sejak sekian lama dan amalan pengurusan risiko yang mantap dijangka mengimbangi potensi kesan kejatuhan kualiti kredit dan terus menyokong aktiviti pinjaman bank kepada ekonomi. Contohnya, penampan modal lebihan institusi perbankan berjumlah RM123.7 bilion, iaitu melebihi tiga kali kadar semasa Krisis Kewangan Global 2008/09.
Malaysia kekal komited terhadap tadbir urus yang baik. Struktur institusi negara yang kukuh akan memastikan kesinambungan pelaksanaan dasar awam yang tertumpu kepada pemulihan ekonomi yang mampan bagi mengelakkan kesan negatif COVID-19 yang berpanjangan kepada ekonomi. Kerajaan mengambil maklum akan kebimbangan Fitch mengenai situasi politik semasa. Namun begitu, perlu dinyatakan bahawa penggubalan perundangan-perundangan penting telah mendapat kelulusan terutamanya bagi pembiayaan COVID-19 serta perundangan berkaitan perlindungan dan sokongan kepada pelbagai keperluan individu dan perniagaan yang terjejas sehingga 2022. Tambahan pula, Belanjawan 2021 telah diluluskan di peringkat dasar baru-baru ini dengan mengambil kira keterlibatan Kerajaan yang berterusan bersama pelbagai pihak berkepentingan.
Secara keseluruhannya, asas ekonomi yang kukuh serta langkah fiskal berkesan membolehkan Malaysia melaksanakan tindakan yang cepat, berkesan dan strategik dalam menghadapi persekitaran mencabar dan pada masa yang sama mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berdaya tahan untuk masa hadapan.
YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
4 Disember 2020