Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Status Kerja Projek Pembangunan Semula 37 Buah Sekolah Daif Fasa 1 Di Negeri Sarawak Di Bawah Peruntukan RM350 Juta (Bayaran Balik Pinjaman Kerajaan Negeri Sarawak Kepada Kerajaan Persekutuan)

Status Kerja Projek Pembangunan Semula 37 Buah Sekolah Daif Fasa 1 Di Negeri Sarawak Di Bawah Peruntukan RM350 Juta (Bayaran Balik Pinjaman Kerajaan Negeri Sarawak Kepada Kerajaan Persekutuan)

Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) ingin memaklumkan akan status pelaksanaan Projek Pembangunan Semula Sekolah Daif Di Negeri Sarawak Di Bawah Peruntukan RM1 Bilion (Fasa 1: RM350 Juta) yang dibiayai menggunakan bayaran balik pinjaman Kerajaan Negeri Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan. Pelaksanaan Fasa 1 ini melibatkan cadangan pembinaan 37 buah sekolah oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun lepas. Peruntukan RM350 juta telah pun disalurkan kepada KPM pada tahun lepas.

Kementerian Kewangan ingin menjelaskan bahawa cadangan Kerajaan Negeri Sarawak menggunakan bayaran balik pinjaman untuk membaik pulih sekolah daif, sebenarnya adalah wang pendahuluan Kerajaan Persekutuan kerana melibatkan penggunaan dana yang dipinjamkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak sebelum ini. Jika disifatkan sebagai bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan, ianya bermaksud dana RM350 juta tersebut sebenarnya merupakan wang milik Kerajaan Persekutuan sendiri.

Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menggunakan wang bayaran balik hutang ini yang boleh disalurkan untuk kegunaan lain, diperuntukkan khusus untuk membaik pulih sekolah daif di Sarawak. Kini Kerajaan Negeri Sarawak masih berhutang sebanyak RM1.67 bilion kepada Kerajaan Persekutuan.

Bagi tahun 2020, Kementerian Kewangan telah menyediakan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM400 juta untuk projek sekolah daif di Sarawak berbanding dengan RM100 juta pada 2019. Kerajaan telah menetapkan bahawa peruntukan tersebut hendaklah digunakan untuk membaikpulih sekolah daif termasuk membangun semula bilik darjah yang tidak dapat dibaiki. Peruntukan ini tidak boleh digunakan untuk menutup dan menggabungkan beberapa buah sekolah dengan tujuan semata-mata untuk membina sebuah sekolah baharu seperti yang dicadangkan Jabatan Pendidikan Negeri pada tahun lepas.

Semua kelulusan yang diperlukan daripada Kementerian Kewangan telahpun disempurnakan dan tertakluk kepada agensi teknikal yang berkenaan untuk melaksana dan menyegerakan kerja membaik pulih sekolah daif di Sarawak.

Kementerian Kewangan mengesahkan penerimaan tranche kedua bayaran balik pinjaman sebanyak RM350 juta daripada Kerajaan Negeri Sarawak pada 6 Februari 2020. Saya telah mengarahkan supaya peruntukan tranche kedua RM350 juta yang baharu ini bagi pelaksanaan sekolah daif Fasa II disalurkan secepat mungkin kepada KPM.

Merujuk kepada status pembinaan 37 buah sekolah tersebut, daripada jumlah tersebut sebanyak 21 buah sekolah telah ditender di mana enam (6) projek telah pun dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) seperti berikut:

Bil. Sekolah Tarikh Tender Tarikh Tutup Tender Tarikh Muktamad Tender Penurunan Kuasa Menteri Kerja Raya Tarikh Terima Penurunan Kuasa oleh JKR Sarawak Tarikh Keluar SST oleh JKR Sarawak
i. SK Abang Amin, Meradong* 31.8.2019 23.9.2019 6.11.2019 18.12.2019 23.12.2019 14.1.2020
ii SK Abun Matu, Belaga* 31.8.2019 23.9.2019 6.11.2019 24.12.2019 31.12.2019 14.1.2020
iii SK Melugu, Sri Aman 31.8.2019 21.10.2019 18.12.2019 3.2.2020 6.2.2020 14.2.2020
iv SK Nanga Tada, Kanowit 31.8.2019 21.10.2019 18.12.2019 3.2.2020 6.2.2020 14.2.2020
v SK Nanga Machan, Kanowit 31.8.2019 21.10.2019 18.12.2019 3.2.2020 6.2.2020 14.2.2020
vi SK Grogo, Bau 8.10.2019 18.11.2019 18.12.2019 3.2.2020 6.2.2020 14.2.2020
*Kerja bagi projek (i) dan (ii) telah bermula pada 13 Februari 2020

 

Projek SK Abang Amin, Meradong dan SK Abun Matu, Belaga telah memulakankerja-kerja di tapak. Baki 15 buah sekolah lagi yang telah ditender akan dimuktamadkan oleh Lembaga Perolehan Perbendaharaan Malaysia Sarawak pada 21 Februari 2020.

Pelaksanaan tender bagi 16 buah sekolah lagi telah ditangguhkan bagi membolehkan KPM dan Jabatan Kerja Raya Sarawak mengkaji semula skop dan kos pelaksanaan projek. Dijangkakan pelaksanaan sekolah ini akan di tender pada bulan Mac 2020. Penangguhan ini juga disebabkan cadangan untuk menutup dan menggabungkan beberapa buah sekolah rendah untuk membuka sebuah sekolah baharu, yang tidak dipersetujui oleh MOF dan Kementerian Kerja Raya.

Cadangan penggabungan ini dikhuatiri akan melibatkan penutupan sekolah yang berada berhampiran dengan penempatan komuniti setempat untuk membina sekolah di lokasi baru yang lebih jauh. Keadaan ini mungkin akan menyebabkan keciciranpelajar atas faktor jarak yang lebih jauh serta kos pengangkutan yang tinggi untuk pelajar tiba di sekolah.

Oleh yang demikian, cadangan penutupan sekolah ini tidak dipersetujui dan harus digunakan untuk memperbaiki sekolah sedia ada tanpa mengurangkan bilangan sekolah.

Sayangi Malaysiaku!


Lim Guan Eng
Menteri Kewangan

Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
20 Februari 2020

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility