Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan berusaha membantu sekolah-sekolah dan institusi pendidikan yang didaftarkan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengikut kemampuan kewangan semasa. Namun, menjelang pilihanraya kecil Cameron Highlands, pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab telah memainkan sentimen perkauman untuk membidas tindakan Kerajaan atau Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) memberi sumbangan peruntukan kepada sekolahsekolah seperti Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) serta Kolej Universiti New Era yang disampaikan pada hari Jumaat, 11 Januari 2019.
Dasar berterangkuman jelas dicerminkan dalam ucapan Belanjawan 2019, di mana Kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM652 Juta untuk menaik taraf serta menyelenggara semua kategori sekolah berbanding dengan RM615 Juta dalam Belanjawan 2018. Peruntukan Belanjawan 2019 tersebut termasuk RM12 Juta yang disampaikan kepada SMPC pada Jumaat lalu dan RM25 Juta untuk sekolah pondok yang tidak disediakan di dalam Belanjawan 2018 (lihat jadual di bawah).
Ia juga melibatkan peruntukan sebanyak RM50 Juta untuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), RM50 Juta untuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan serta RM50 Juta untuk Sekolah Tahfiz. Tambahan, peruntukan sebanyak RM25 Juta kepada Sekolah Pondok yang berdaftar telah pun disampaikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Agama) YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa pada 8 Januari 2019.
Sebelum ini, MOF juga telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM15 Juta kepada Universiti Islam Malaysia (UIM) yang berstatus institusi pendidikan tinggi swasta dan tidak bermotifkan keuntungan. Perbandingan peruntukan untuk menaiktaraf dan menyelenggara sekolah-sekolah di bawah Belanjawan 2019 dan 2018 adalah seperti di dalam jadual berikut.
| Langkah Ucapan Belanjawan Menaiktaraf & Menyelenggara Sekolah | 2019 | 2018 |
|---|---|---|
| RM Juta | RM Juta | |
| Sekolah Kebangsaan | 250 | 250 |
| Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) | 50 | 50 |
| Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SKJT) | 50 | 50 |
| Sekolah Berasrama Penuh | 50 | 50 |
| Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) | 50 | 50 |
| Sekolah Agama Bantuan Kerajaan | 50 | 50 |
| Sekolah Mubaligh | 50 | 50 |
| Sekolah Tahfiz | 50 | 50 |
| Sekolah Pondok yang berdaftar | 25 | - |
| Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) | 15 | 15 |
| Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) | 12 | - |
| JUMLAH | 652 | 615 |
Menurut KPM, di bawah kategori Sekolah Pondok Berdaftar, terdapat 151 buah Sekolah Pondok dengan seramai 10,723 orang murid dan 107 buah Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dengan seramai 24,651 orang murid.
Dengan itu, seramai 35,364 orang murid Sekolah Pondok dan SMAR akan mendapat manfaat sebanyak RM707 seorang. Dalam pada itu, bagi kategori SMPC, terdapat 62 buah sekolah dengan bilangan 84,462 orang murid. Maka, setiap murid SMPC mendapat manfaat sebanyak RM142.
Adalah amat mengecewakan pihak-pihak tersebut masih memainkan isu perkauman dalam konteks pendidikan semata-mata untuk memenangi pilihanraya kecil. Perbuatan ini tidak sihat kerana ia akan menafikan peluang menyediakan pendidikan yang inklusif dan juga membantut usaha mencapai kecemerlangan.
Perlu diingatkan Kerajaan Barisan Nasional yang terdahulu pernah memberi peruntukan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR), sebuah kolej swasta yang dimiliki MCA, di antara RM30 Juta hingga RM69.25 Juta dalam Bajet 2012 hingga 2018. Bila peruntukan dikurangkan kepada RM5.5 Juta pada Belanjawan 2019 daripada RM30 Juta pada Belanjawan 2018 untuk menggalakkan pengasingan campur tangan politik MCA dengan pendidikan, saya dilabel sebagai anti-Cina dan pro-Melayu. Adakah saya juga akan dilabel sebagai pro-Cina dan antiMelayu sekiranya peruntukan MOF sebanyak RM30 Juta dipulihkan kepada KUTAR jika MCA bersetuju dengan syarat melepaskan milikannya dalam KUTAR?
Kerajaan mengambil pendekatan inklusif dalam mempertimbangkan sumbangan kepada institusi pendidikan yang bukan bermotifkan keuntungan. Adakah saya akan dilabel anti-Cina dan pro-Islam kerana meluluskan peruntukan RM15 Juta kepada UIM atau dilabel sebagai pro-Cina atau anti-Melayu kerana luluskan peruntukan kepada kolej swasta New Era dan kolej swasta lain? Sumbangan MOF kepada UIM sebanyak RM15 Juta tidak seharusnya dijadikan isu seperti mana sumbangan RM2 Juta kepada Kolej New Era atau kolej swasta lain melainkan ia ditimbulkan dengan niat jahat untuk mengapikan sentimen perkauman dan ekstremisme.
Sebagai sebuah pentadbiran yang benar-benar inklusif, Kerajaan Pakatan Harapan berharap rakyat boleh bersama komited menyokong agenda pendidikan yang cemerlang untuk semua, demi membantu pembangunan ekonomi.
Biarlah Pilihanraya kecil Cameron Highlands ditentukan melalui membandingkan pihak mana yang boleh membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat dan membawa pembangunan kepada Cameron Highlands, bukannya semata-mata memainkan sentimen perkauman dan ekstremisme agama.
Sayangi Malaysiaku!
Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
16 Januari 2019