Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Ulasan Kadar Pertumbuhan KDNK Suku Kedua 2020

Ulasan Kadar Pertumbuhan KDNK Suku Kedua 2020

Hari ini Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengumumkan bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari tahun-ke-tahun pada suku kedua (ST2) 2020 adalah -17.1%. Berdasarkan analisa yang lebih mendalam, perlu ditekankan bahawa penambahbaikan pertumbuhan jelas dapat dilihat dari bulan April (- 28.6%), kepada bulan Mei (-19.5%) dan bulan Jun (-3.2%). Angka KDNK pada bulan Jun 2020 jelas menunjukkan pemulihan ekonomi yang kukuh sejajar dengan pembukaan dan pelaksaanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Penguncupan pertumbuhan KDNK ini telah dijangka memandangkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memerangi penularan wabak COVID-19, sejak bulan Mac hingga Mei, yang telah mengekang aktiviti ekonomi negara. Ini telah menyebabkan gangguan serentak kepada rantaian bekalan dan penggunaan swasta. Semua sektor utama seperti Perkhidmatan, Pembuatan, Perlombongan dan Pembinaan terjejas akibat penutupan sempadan antarabangsa, serta pelaksanaan PKP oleh Kerajaan – antara yang paling tegas di rantau ini – bagi membendung pandemik COVID-19. Ini ternyata dalam kejayaan Malaysia dalam mengawal penularan pandemik ini di peringkat domestik, sekaligus membolehan ekonomi dibuka secara beransur-ansur mulai 4 Mei 2020.

Penguncupan pertumbuhan pada suku kedua tahun ini juga dialami oleh negara lain. Akibat krisis kesihatan yang belum pernah terjadi dalam sejarah yang disebabkan oleh pandemik COVID-19, Dana Kewangan Dunia (IMF) telah mengunjurkan bahawa lebih daripada 150 negara akan mencatat penguncupan kadar pertumbuhan KDNK pada tahun ini. Malahan, banyak negara telahpun melaporkan penguncupan pertumbuhan sebanyak dua digit pada suku tahun kedua. Dari tahun-ke-tahun, pertumbuhan Singapura turun sebanyak -13.2%, manakala Filipina menyaksikan penurunan mendalam sebanyak -16.5%. Seperti yang dilaporkan oleh Organisasi untuk Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), negara maju juga menunjukkan penguncupan terhadap kadar pertumbuhan KDNK mereka, seperti United Kingdom (-21.7%), Perancis (-13.8%), Itali (-12.4%) dan Amerika Syarikat (-9.5%).

Bagi mengurangkan impak ke atas ekonomi, Kerajaan telah bertindak pantas dengan memperkenalkan pelbagai pakej ransangan dan pemulihan ekonomi, iaitu PRIHATIN, PRIHATIN PKS+ dan juga PENJANA. Keseluruhannya berjumlah RM295 bilion, pakej-pakej rangsangan tersebut telah diumumkan oleh Kerajaan mengikut keperluan semasa iaitu pada bulan Mac, April dan Jun.

Pakej-pakej rangsangan ekonomi ini meliputi lebih 80 langkah dan inisiatif yang bermatlamat untuk melindungi dan memperkasa rakyat, menyokong and melonjakkan perniagaan, serta memperkukuh dan merangsang ekonomi. Sehingga 31 Julai 2020, antara pencapaian pakej ransangan ekonomi ini termasuklah:

  1. Membantu lebih 800,000 perniagaan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk terus beroperasi melalui pelbagai langkah seperti Kemudahan Bantuan Khas (RM10 bilion), Pembiayaan Mikro BSN (RM500 juta), Geran Khas PRIHATIN (RM2.1 bilion) dan Pembiayaan Tekun (RM200 juta), Dana Pelancongan PENJANA (RM1 bilion), Pembiayaan Kredit Mikro PENJANA (RM400 juta), dan Insentif Sektor Hartanah PENJANA (RM1 bilion);

  2. Moratorium 6 bulan pembayaran semula pinjaman secara automatik bernilai RM100 bilion. Sehingga 31 Julai 2020, bantuan berjumlah RM66.6 bilion telah dimanfaatkan oleh perniagaan dan isi rumah. Dari jumlah ini, RM23.3 bilion telah membantu perniagaan dan RM43.3 bilion telah membantu isi rumah untuk meredakan masalah aliran tunai, terutamanya semasa tempoh PKP dan Perintah Kawalan Pemulihan Bersyarat (PKPB).

  3. Moratorium Lanjutan dan Bantuan Bank Bersasar bermula dari 1 Oktober 2020 untuk peminjam yang masih menghadapi kesukaran untuk membayar atau pembiayaan mereka seperti yang diumumkan pada 30 Julai lepas.

Kerajaan yakin bahawa langkah-langkah yang telah diambil akan terus meringankan cabaran dan beban aliran tunai. Langkah-langkah tersebut akan juga membenarkan pekerja dan perniagaan untuk terus fokus kepada pemulihan masing-masing dan ekonomi secara keseluruhannya.

Angka terbaharu dari petunjuk jangka pendek telah menunjukkan kesan positif yang memberansangkan dan pemulihan telah pun bermula sejak ekonomi dibuka. Ini termasuk:

  1. Eksport negara berkembang 8.8% dari tahun-ke-tahun pada bulan Jun 2020, peningkatan dari -25.5% yang dicatat pada bulan Mei;

  2. Indeks Pengeluaran Perindustrian (Industrial Production Index) meningkat 26.2% dari bulan-ke-bulan pada bulan Jun 2020 (0.4% tahun-ke-tahun berbanding Mei: -21.6% tahun-ke-tahun);

  3. Nilai jualan runcit dan borong meningkat sebanyak 21.8% pada bulan Jun berbanding bulan sebelumnya;

  4. Indeks Pengurus Pembelian (PMI) untuk sektor Pembuatan di Malaysia telah meningkat dari nilai terendah pada tahun ini iaitu 31.3 pada bulan April kepada 50.0 ke atas pada bulan Jun dan Julai. Ini menunjukkan bahawa sektor Pembuatan telah beralih dari tempoh penguncupan akibat pelaksanaan PKP.

  5. Perbelanjaan pengguna juga telah pulih. Bagi penjualan kereta penumpang, Malaysia mencatat kenaikan 6.1% tahun-ke-tahun bagi pada bulan Jun 2020. Langkah seperti insentif cukai untuk pembelian kereta jelas menyebabkan kenaikan ini, menunjukkan perkembangan positif untuk sektor ini;

  6. Sentimen pengguna juga telah jelas pulih, dibuktikan oleh peningkatan mendadak dalam perbelanjaan kad kredit kepada RM10.7 bilion pada bulan Jun, berbanding RM6.5 bilion pada bulan April 2020, dengan pertumbuhan disebabkan oleh perbelanjaan yang selamat dan tanpa sentuhan;

  7. Pembiayaan bersih kepada sektor swasta terus meningkat pada kadar 3.7% setahun. Pertumbuhan pinjaman perniagaan sedia ada meningkat dari 3.4% pada suku pertama 2020 kepada 3.9% pada suku kedua 2020. Keputusan BNM untuk mengurangkan Kadar Polisi Semalaman (OPR) kepada kadar semasa sebanyak 1.75% jelas sekali menyumbang kepada persekitaran pembiayaan yang lebih baik; dan

  8. Kadar pengangguran negara pada Jun 2020 telah bertambah baik kepada 4.9% berbanding 5.3% pada bulan Mei. Pakej ransangan PRIHATIN dan PENJANA, yang telah menyelamatkan lebih daripada 2.8 juta pekerjaan (di bawah program Subsidi Upah dan Pengekalan Pekerjaan) jelas sekali menyumbang kepada penambahbaikan kadar pengangguran.

Bergerak ke hadapan, pertumbuhan ekonomi negara dijangka akan meningkat secara beransur pada separuh kedua 2020. BNM telah membuat unjuran semula pertumbuhan KDNK pada tahun ini diantara -5.5% ke -3.5%. Pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN dan PENJANA dijangka akan menyumbang lebih daripada 3% kepada pertumbuhan KDNK pada tahun 2020.

Bagi tahun 2021, pertumbuhan ekonomi dijangka akan berada di paras 5.5% ke 8.0%. IMF mengunjurkan bahawa ekonomi Malaysia akan mencatatkan pertumbuhan pada nilai purata 6.3%, manakala Bank Dunia (World Bank) menjangka pertumbuhan sebanyak 6.9% untuk tahun hadapan.

Selain itu, asas sistem kewangan Malaysia masih kukuh. Berbanding ketika tempoh Krisis Kewangan Global pada tahun 2008 - 2009, sistem perbankan Malaysia menghadapi situasi yang mencabar ini dari kedudukan yang lebih kuat. Penampan modal sistem perbankan yang berjumlah sebanyak RM121 bilion adalah lebih daripada tiga kali ganda berbanding tahap semasa Krisis Kewangan Global. Dengan kecairan yang mencukupi, ditambah dengan kualiti aset yang kukuh dan kerangka pengurusan risiko yang mantap, sistem perbankan dijangka akan terus menyokong aktiviti pinjaman dan ekonomi secara keseluruhan.

Kerajaan juga tetap fokus kepada strategi 6R (Ketegasan, Ketahanan, Menjana Semula, Pemulihan, Pemerkasaan dan Menyusun Semula) untuk memandu ekonomi ke arah pemulihan. Malaysia kini berada dalam fasa Pemulihan dan sedang dalam persiapan untuk ke fasa yang seterusnya iaitu Pemerkasaan. Ini akan dihuraikan ketika pengumuman Belanjawan 2021 yang akan datang, yang dijadualkan pada November 2020.

Perlu diingatkan bahawa Malaysia sebagai ekonomi terbuka akan terus terdedah kepada ketidakpastian dan ketidakstabilan luaran. Kerajaan tetap optimis dan sentiasa komitted untuk memastikan ruang fiskal yang mencukupi untuk menangani cabaran masa hadapan. Asas sistem ekonomi dan kewangan Malaysia tetap kukuh, dan negara telah membuktikan daya ketahanan berulang kali dalam menghadapi ketidakstabilan dan kesukaran luaran. Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, Kerajaan akan terus membantu rakyat, perniagaan dan pasaran negara untuk membenarkan sebanyak mungkin sektor ekonomi pulih dengan baik apabila pertumbuhan ekonomi dunia meningkat pada tahun 2021. 


YB Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan Malaysia
Putrajaya
14 Ogos 2020

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility