Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Siaran Media

Usaha Berterusan Kerajaan Membantu Rakyat Membina Semula Kehidupan Pasca-Pandemik

Usaha Berterusan Kerajaan Membantu Rakyat Membina Semula Kehidupan Pasca-Pandemik

Kementerian Kewangan (MOF) ingin mengingatkan pihak awam bahawa pelbagai langkah-langkah bagi membantu rakyat membina semula kehidupan pasca-pandemik tersedia untuk dimanfaatkan. Langkah-langkah yang telah diumumkan ini termasuk:

1. Bagi golongan B50 yang masih memerlukan bantuan dan sokongan bayaran balik pinjaman bank masing-masing, seperti yang diumumkan oleh sektor perbankan baru-baru ini, permohonan bagi Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) dilanjutkan dari 31 Januari 2022 kepada 31 Mac 2022. Pelanggan B50 yang layak termasuk pelanggan individu yang, antara lainnya, berpendapatan isi rumah kasar sebanyak atau kurang daripada RM5,880; hilang pekerjaan; atau mengalami pengurangan pendapatan sekurang-kurangnya 50%.

Antara manfaat URUS termasuk pengecualian faedah/keuntungan pembiayaan selama 3 bulan dan/atau penangguhan bayaran/ ansuran pinjaman selaras dengan kemampuan peminjam; dan sokongan dari segi strategi memperkasakan pengurusan kewangan peminjam.

Mereka yang layak dan ingin memohon URUS boleh berbuat demikian melalui pelbagai saluran perbankan bank masing-masing. Maklumat lanjut boleh didapati di pautan berikut:

https://www.akpk.org.my/sites/default/files/URUS%20Kenyataan%20Media_Bersa ma_25012022.pdf ATAU

https://www.abm.org.my/media-room/press-releases/item/1811-applications-forurus-now-extended 

2. Bagi PKS dan perusahaan mikro yang menghadapi masalah pembiayaan perniagaan dengan institusi kewangan, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK) juga menawarkan perkhidmatan percuma termasuk Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) merangkumi bantuan penstrukturan atau penjadualan semula pembiayaan sedia ada, termasuk pembiayaan dengan lebih daripada satu bank. (Maklumat lanjut: https://www.akpk.org.my/my/sppk)

Selain itu, di bawah Bajet 2022, bagi membantu PKS membina semula perniagaan pascapandemik, pelbagai inisiatif telahpun bermula:

1. Bagi membantu PKS pulih dan berkembang sambil menguruskan tahap keberhutangan mereka, dana sebanyak RM1 bilion disediakan bagi kemudahan Permodalan Semula Perniagaan (Business Recapitalisation Facility, BRF). Ini merupakan penyelesaian inovatif bagi menyokong keperluan modal yang digandingkan dengan terbitan saham atau sebarang instrumen mirip ekuiti bagi mengurus keberhutangan peminjam. PKS daripada semua sektor ekonomi layak memohon pembiayaan sehingga RM5 juta bagi perbelanjaan modal atau modal kerja, dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun. PKS yang berminat boleh memohon terus daripada mana-mana bank yang dikawal selia oleh BNM. Maklumat lanjut boleh didapati di pautan https://www.bnm.gov.my/-/new-bnm-funds-sme-brflctf-bm.

2. Bagi menggalakkan PKS menerapkan amalan kelestarian untuk membina daya tahan perniagaan, dan membantu Malaysia mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih (net-zero emission) menjelang tahun 2050, PKS boleh memohon dana Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (Low Carbon Transition Facility, LCTF). Sebanyak RM2 bilion disediakan, iaitu RM1 bilion dari BNM, dengan dana padanan berjumlah keseluruhan RM1 bilion dari institusi kewangan. Permohonan boleh dibuat bagi aktiviti-aktiviti seperti memohon pensijilan kelestarian; meningkatkan penggunaan bahan lestari dalam pengeluaran; menambahbaik kecekapan tenaga (energy-efficiency) bangunan dan peralatan; dan memasang peralatan jana kuasa tenaga boleh baharu (renewable energy). PKS daripada semua sektor boleh memohon sehingga RM10 juta dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun. PKS yang berminat boleh memohon terus daripada mana-mana bank yang dikawal selia oleh BNM. Maklumat lanjut boleh didapati di pautan https://www.bnm.gov.my/-/new-bnm-funds-sme-brf-lctf-bm.

Kerajaan akan terus memantau keadaan dan MOF khususnya akan sentiasa bersedia untuk menyediakan peruntukan yang secukupnya bagi membantu rakyat dan perniagaan pulih secepat mungkin. 


Kementerian Kewangan
Putrajaya
5 Februari 2022

Arkib Siaran Media

Logo Accessibility