Bagi kategori pertanian, pengusaha pertanian termasuk petani dan penternak yang terlibat dalam aktiviti tanaman, ternakan dan akuakultur layak memohon bantuan penyasaran subsidi diesel. Pesawah dan nelayan tidak terlibat untuk penyasaran subsidi diesel fasa pertama ini. Subsidi sedia ada akan diteruskan sehingga dimaklumkan kelak.
Bagi kategori perladangan pula, pengusaha pertanian termasuk pekebun kecil sawit, getah, koko, lada dan kenaf layak memohon.
Kriteria kelayakan bantuan penyasaran subsidi diesel sektor pertanian dan perladangan adalah seperti berikut:
Petani Kecil*
Warganegara Malaysia;
Individu/ Pertubuhan yang berdaftar dengan KPKM melalui sistem pendaftaran GeoAgro di pautan https://geoagro-register.kpkm.gov.my/ ataupun telah berdaftar dengan agensi berkaitan iaitu: - Sektor tanaman dengan Jabatan Pertanian Malaysia (tidak termasuk pesawah padi) - Sektor ternakan dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar, dan - Sektor akuakultur dengan Jabatan Perikanan Malaysia (tidak termasuk nelayan);
Individu/Pertubuhan yang merupakan pengusaha pertanian berskala kecil yang memiliki dan mengusahakan hasil pertanian makanan dan menghasilkan pengeluaran secara aktif dan berterusan. Bagi tujuan ini, pengusaha pertanian kecil yang aktif ditakrifkan yang menjana nilai jualan hasil pertanian tahunan dari RM50,000 hingga RM300,000; dan
Memohon secara dalam talian di laman web BUDI MADANI iaitu https://budimadani.gov.my termasuk mengesahkan memenuhi kriteria kelayakan termasuk tahap nilai jualan tahunan.
Pekebun Kecil*
Warganegara Malaysia;
Individu perlu berdaftar dengan agensi di bawah Kementerian Perladangan & Komoditi, seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) bagi pekebun kecil persendirian, Lembaga Getah Malaysia (LGM) Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara, Lembaga Lada Malaysia;
Sebagai panduan, pekebun kecil melibatkan keluasan tanah yang dimiliki dan diusahakan mengikut sektor komoditi /jenis tanaman seperti berikut:
Pekebun kecil Sawit persendirian: keluasan 4.5 hektar ke bawah
Pekebun kecil Getah persendirian: keluasan 4.5 hektar ke bawah
Pekebun kecil Koko, Lada dan Kenaf persendirian: keluasan 2.5 hektar ke bawah
Individu yang merupakan pekebun kecil yang memiliki dan menghasilkan pengeluaran secara aktif dan berterusan. Bagi tujuan ini, pekebun kecil yang aktif ditakrifkan yang menjana nilai jualan hasil perladangan tahunan dari RM50,000 hingga RM300,000; dan
Memohon secara dalam talian di laman web BUDI MADANI iaitu https://budimadani.gov.my termasuk mengesahkan memenuhi kriteria kelayakan termasuk tahap nilai jualan tahunan.
*Nota: Pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia boleh membuat semakan ke atas maklumat pendapatan yang telah dikemukakan dan sekiranya perlu, mengeluarkan notis di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 ke atas pemohon bagi pengemukaan borang nyata cukai pendapatan.