TEKS UCAPAN
YB SENATOR DATUK SERI UTAMA TENGKU ZAFRUL BIN
TENGKU ABDUL AZIZ MENTERI KEWANGAN
MAJLIS PELANCARAN INISIATIF PEMBIAYAAN PERUMAHAN MALAYSIA (i-Biaya)
14 APRIL 2022 | KHAMIS | 2.30 PETANG BALLROOM LAGOON 2, SUNWAY RESORT HOTEL
Terima kasih Saudara Pengacara Majlis.
BISMILLAHIRRAHMAANIRRAHIM
Yang Berhormat Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Yang Berhormat,
Dato’ Sri Dr. Haji Ismail Bin Haji Abd. Muttalib
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Yang Berhormat,
Dato' Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Timbalan Menteri Kewangan I
YBhg. Datuk Seri Asri bin Hamidin @ Hamidon
Ketua Setiausaha Perbendaharaan
YBhg. Datuk M Noor Azman bin Taib
Ketua Setiausaha KPKT
YBhg. Datuk Chung Chee Leong
Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas Berhad dan Pengarah Cagamas SRP Berhad
YBrs. Encik Chen Yin Heng
Pegawai Utama Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP)
YBhg. Dato' Sri Abdul Farid Alias
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking Berhad (Maybank)
Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-Pegawai Kanan KPKT dan Kementerian Kewangan Malaysia, Rakan Kolaborasi Strategik, Pihak Media,
YBhg. Dato’ Sri, Datuk-Datuk, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
- Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana kita dapat bersama-sama bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya) pada petang ini.
- Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Sri Reezal atas jemputan beliau bagi menyempurnakan majlis pada hari ini.
- Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada agensi dan pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis pada hari ini.
Tuan-tuan, Puan-puan, para hadirin yang saya kasihi,
- Seperti yang kita sedia maklum, KPKT merupakan Kementerian yang menerajui industri perumahan Negara. Ini terutamanya melalui program dan usaha dalam menyediakan perumahan mampu milik, khususnya bagi golongan B40 dan M40.
- Namun begitu, penyediaan perumahan perlu dilengkapi dengan akses kepada pembiayaan. Sehingga kini, kita sering mendengar keluhan dan rintihan golongan B40 dan M40 yang masih lagi berhadapan dengan cabaran untuk mendapatkan pembiayaan, terutamanya untuk memiliki kediaman sendiri.
- Oleh itu, Kementerian Kewangan menyokong inisiatif yang diperkenalkan oleh KPKT yang dilancarkan hari ini, iaitu Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia, atau i-Biaya yang dilaksanakan melalui kerjasama institusi kewangan dan agensi- agensi yang berkaitan.
- Inisiatif ini merangkumi program seperti Skim Rumah Pertamaku (SRP) melalui Cagamas SRP Berhad, Skim Jaminan Kredit Perumahan di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP), serta Skim Rent to Own (RTO) yang dilaksanakan oleh Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).
- Selain itu, i-Biaya juga merupakan salah satu komponen di bawah Home Ownership Programme (HOPE) yang memfokuskan kepada ekosistem perumahan secara menyeluruh, termasuklah aspek penyediaan dan dasar-dasar lain berkenaan perumahan.
- Saya percaya seluruh Keluarga Malaysia akan mendapat manfaat daripada pelbagai insentif melalui agenda HOPE, sekaligus membantu mereka untuk memiliki rumah sendiri.
PRODUK PEMBIAYAAN
Hadirin yang saya kasihi sekalian,
- Bagi Skim Rumah Pertamaku (SRP), inisiatif ini menawarkan kemudahan pembiayaan kepada pembeli rumah pertama, terutamanya golongan muda. Antara ketetapan inisiatif tersebut adalah ia menyasarkan golongan yang mempunyai pendapatan kasar isi rumah bulanan tidak melebihi 10,000 ringgit, dengan harga rumah sehingga 500,000 ringgit bagi kedua-dua pasaran utama dan sekunder.
- Peruntukan dana yuran jaminan daripada Kerajaan membolehkan bank-bank menawarkan pembiayaan melebihi 90 peratus dengan jaminan daripada Cagamas SRP. Ini bermakna Cagamas SRP akan menjamin sehingga 20% nilai pembiayaan. Inilah komitmen Kerajaan dalam membantu golongan B40 dan M40 memiliki kediaman sendiri.
- Alhamdulillah, sukacita saya maklumkan bahawa sejak SRP dilancarkan sehinggalah Februari tahun ini, hampir 67,000 isi rumah telah berjaya memiliki rumah idaman pertama mereka. SRP telah membantu mereka dengan nilai pembiayaan berjumlah 14.8 billion ringgit, di mana lebih dari 90 peratus (91%) terdiri daripada golongan B40, manakala dari segi umur, 92 peratus adalah golongan berumur 35 tahun dan ke bawah.
- Turut menyumbang kepada kejayaan ini termasuklah penglibatan 26 bank dalam SRP. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan atas sokongan dan kerjasama yang telah diberi.
- Tahun ini, SRP dijangka akan memanfaatkan 25,000 pemohon di kalangan golongan B40 dan M40, dengan anggaran nilai pembiayaan sebanyak 5.9 bilion ringgit.
- Salah satu faktor penyumbang kepada sasaran ini ialah komitmen Kerajaan melalui insiatif Jamin Kerja yang menyasarkan 600,000 peluang pekerjaan, dengan peruntukan berjumlah 4.8 bilion ringgit. Dengan fokus kepada peluang pekerjaan serta peningkatan kemahiran di kalangan B40 dan M40, termasuklah golongan belia, peningkatan pendapatan yang diperolehi akan membolehkan mereka memanfaatkan pelbagai skim pemilikan kediaman melalui Program i-Biaya yang dilancarkan hari ini.
Hadirin yang saya kasihi sekalian,
- Hari ini, sebagai tanda penghargaan, Kerajaan ingin mengucapkan terima kasih kepada lima (5) bank yang berjaya mencatat bilangan keseluruhan tertinggi bagi pembiayaan SRP yang telah diluluskan dan ditawarkan, serta mendapat kelulusan jaminan daripada Cagamas SRP Berhad sejak pelancaran SRP sehinggalah Disember 2021.
- Oleh itu, suka saya mengumumkan bahawa 81 peratus daripada keseluruhan jumlah kelulusan adalah daripada AmBank Islamic Berhad, AmBank (M) Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, CIMB Islamic Bank Berhad dan Maybank Islamic Berhad.
- Syabas dan tahniah diucapkan. Anugerah ini mencerminkan komitmen dan kerjasama yang diberikan oleh institusi kewangan dalam menjayakan inisiatif Kerajaan. Adalah diharapkan ianya akan mendorong institusi kewangan yang lain untuk bersama- sama berusaha dalam mencapai matlamat pemilikan rumah bagi golongan B40 dan M40.
Hadirin yang saya kasihi sekalian,
- Sebelum saya mengakhiri ucapan, sekali lagi saya menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada YB Dato’ Sri Reezal di atas pelancaran i-Biaya hari ini.
- Adalah harapan saya supaya i-Biaya, terutamanya inisiatif SRP dapat diperluaskan lagi kepada golongan muda, pekerja gig, dan golongan yang berpendapatan rendah.
- Dengan lafaz Bismilahirahmanirrahim, saya, bersama-sama YB Dato’ Sri Reezal, melancarkan Inisiatif Pembiayaan Perumahan Malaysia (i-Biaya).
Sekian, terima kasih.
Wabillahitaufik walhidayah, wasalamualakum warahmatullahi wabarakkatuh