Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Ucapan

Majlis Pelancaran Laporan Pasaran Harta 2020 di Institut Penilaian Negara

Majlis Pelancaran Laporan Pasaran Harta 2020 di Institut Penilaian Negara

Yang Berusaha Surveyor A'zmi bin Abdul Latif
Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta

Yang Berusaha Surveyor Abdul Razak Bin Yusak
Timbalan Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta (Dasar Strategik)

Yang Berusaha Surveyor Haji Hamidon bin Haron
Timbalan Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta (Operasi)

Yang Berusaha Surveyor Aina Edayu Ahmad
Pengarah Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC)

Yang Berbahagia Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan.

Assalamu’alaikum Warahmatullahi wabarakaatuh, Dan Salam Sejahtera

1. Terima kasih kepada JPPH di atas jemputan bagi menyempurnakan majlis pada petang ini.

2. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada JPPH, khususnya Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) kerana berjaya mengadakan Majlis Pelancaran Laporan Pasaran Harta 2020 pada hari ini.

3. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan dan swasta yang terus memberi kerjasama dalam membekalkan data harta tanah kepada JPPH. Tanpa sinergi dan usaha sama yang baik ini, mustahil kita dapat melihat kemajuan sepertimana yang kita kecapi bagi sektor ini sekarang.

4. Saya berharap semangat kerjasama terus diperkukuhkan pada masa depan. Hasil daripada usaha sama ini, pelbagai pihak berkepentingan telah, dan akan terus merujuk kepada laporan NAPIC sebagai asas kepada penilaian halatuju perancangan pembangunan, dan juga keputusan pelaburan dalam sektor harta tanah negara.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

5. Tidak dinafikan, tahun 2020 merupakan tahun yang amat mencabar bagi ekonomi di seluruh dunia, termasuklah Malaysia. Pandemik COVID-19 yang mula melanda negara pada hujung Februari tahun lalu telah memberi kesan yang ketara kepada pelbagai sektor ekonomi, lantas menyebabkan pertumbuhan menguncup sebanyak 5.6%.

6. Seiring dengan ini, prestasi pasaran harta tanah turut terkesan dan menguncup. Pada tahun 2020, hampir 296 ribu transaksi bernilai kira-kira RM119 bilion telah direkodkan. Berbanding dengan tahun 2019, jumlah dan nilai transaksi tersebut masing-masing telah menguncup sebanyak 9.9% dan 15.8%.

7. Penurunan ini dikaitkan dengan bilangan transaksi yang terjejas bagi pelbagai subsektor yang mencatatkan penguncupan antara 2.6% hingga 24.0%. Dari segi nilai, hanya subsektor pertanian mencatat peningkatan marginal pada 0.6%, manakala subsektor yang lain menguncup antara 9.0% hingga 34.0%.

8. Ini juga dikaitkan dengan bilangan dan nilai transaksi yang menurun di bandar-bandar utama di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang. Empat negeri ini merangkumi hampir separuh daripada jumlah keseluruhan transaksi kediaman.

9. Selain itu, segmen pelancaran kediaman baharu turut terjejas. Antara sebab utama termasuklah penangguhan pelancaran oleh pemaju, di mana mereka lebih memberi tumpuan kepada menjual inventori sedia ada. Sepanjang tahun yang lalu, hanya sekitar 47 ribu unit telah dilancarkan, berbanding 60 ribu unit pada tahun 2019. Prestasi penjualan juga lebih rendah di mana hanya 28.7% unit di jual berbanding 40.7% pada 2019.

10. Namun, di sebalik penurunan ini, keberkesanan dan keberhasilan langkah segera Kerajaan melalui pakej Rangsangan PRIHATIN dan PENJANA dapat dilihat melalui peningkatan aktiviti pasaran perumahan yang mula pulih semenjak penghujung suku kedua 2020. Jumlah urus niaga meningkat pada kadar yang setanding dengan pertumbuhan purata suku tahunan yang dilihat sebelum tercetusnya pandemik COVID-19.

11. Selain itu, persekitaran kadar faedah yang rendah turut menggalakkan pembelian kediaman sendiri dan pelaburan. Ini dicerminkan melalui peningkatan permohonan pinjaman perumahan bagi kebanyakan segmen harga rumah yang telah menyokong pertumbuhan harga purata, seperti yang diukur oleh Indeks Harga Rumah Malaysia, atau MHPI. Secara keseluruhan, MHPI telah mencatat kenaikan sebanyak 0.6%, disumbang oleh peningkatan harga kediaman bagi jenis rumah teres, serta pertumbuhan harga di kebanyakan negeri kecuali Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Sabah.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

12. Seperti yang diulas oleh Bank Negara semasa pembentangan Prestasi Tahunan mereka baru-baru ini, isu mengenai harta tanah yang tidak terjual terus menjadi antara perkara yang membimbangkan, terutamanya bagi pasaran komersial yang terus terjejas susulan norma baharu pandemik COVID-19.

13. Melalui data yang diterbitkan dalam laporan NAPIC hari ini, kita dapat melihat bahawa kadar kepenghunian atau occupancy rate bagi harta tanah pejabat dan kompleks membeli-belah terus menurun semenjak tahun 2018 hinggalah 2020. Ini susulan lebihan pembekalan bagi kedua-dua segmen ini yang tidak selaras dengan permintaan.

14. Dari segi kediaman pula, nilai unit tidak terjual bagi perumahan yang siap dibina mencatat peningkatan sebanyak 0.5% dari tahun-ke-tahun. Setakat hujung 2020, terdapat 29 ribu unit tidak terjual dengan nilai hampir RM19 bilion.

15. Dalam hal ini, Kerajaan akan memberi tumpuan kepada 5 Fokus Utama berikut dalam usaha untuk memulihkan dan membangunkan semula ekonomi:

  1. Mengawal penularan Covid-19;
  2. Memacu pemulihan ekonomi;
  3. Memperkukuh daya saing negara;
  4. Memastikan agenda keterangkuman; dan e. Mentransformasi ekonomi

Insya Allah, dengan pemulihan semula ekonomi, maka pasaran hartanah juga akan turut menerima manfaatnya.

16. Tetapi ini tidak bermakna masalah lebihan bekalan ini akan selesai begitu sahaja. Pemaju dan Pihak Berkuasa, termasuklah Kerajaan Negeri, perlu terus bekerjasama dan memberi perhatian kepada data overhang yang dikeluarkan oleh NAPIC. Ini amatlah penting dalam menentukan projek yang akan dibangunkan adalah selari dengan permintaan, serta memastikan harga jualan yang munasabah kepada orang ramai.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

17. Dalam usaha menyokong kesinambungan sektor harta tanah yang terjejas akibat pandemik COVID-19, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah proaktif melalui pakej rangsangan PRIHATIN dan PENJANA, termasuklah Belanjawan 2021 seperti:

  1. Moratorium pinjaman dan bantuan bayaran balik bersasar bagi membantu peminjam dan juga pemilik harta tanah;

  2. Pengurangan kos pinjaman dan pembayaran balik bulanan secara tidak langsung melalui potongan Kadar Dasar Semalaman, atau OPR oleh Bank Negara Malaysia;

  3. Memperkenalkan semula HOC di mana Duti Setem dikecualikan ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman, dan had pembiayaan untuk rumah ketiga dan seterusnya bernilai RM600,000 ke atas tidak lagi tertakluk kepada 70% daripada nilai rumah;

  4. Pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah ke atas pelupusan rumah kediaman sehingga 31 Disember 2021; dan
  5. Perlindungan undang-undang bagi golongan yang terjejas melalui RUU COVID-19, atau Akta 829.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

18. Melangkah ke hadapan, sektor harta tanah negara dijangka akan pulih selari dengan pertumbuhan ekonomi yang diunjurkan antara 6.0 hingga 7.5% pada tahun ini. Ini akan didorong oleh fokus dan strategi ekonomi Kerajaan di mana pelaksanaan Program Imunisasi COVID- 19 Kebangsaan akan membolehkan lebih banyak sektor ekonomi untuk beroperasi dan juga memulihkan pasaran buruh. Kementerian Kewangan juga sudah mula merangka Belanjawan 2022 dan meneliti segala perkara yang akan diberi tumpuan secara holistik.

19. Bagijangkamasasederhanadanpanjang,Kerajaanakanmenyusun semula struktur ekonomi bagi memastikan pertumbuhan yang mampan dan inklusif melalui Rancangan Malaysia Ke-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Ini termasuklah dalam memastikan penyediaan perumahan yang kondusif dan berkualiti kepada golongan B40 dan M40.

20. Bagi mengakhiri ucapan saya, sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada JPPH dan Surveyor A’zmi bin Abdul Latif, Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta atas undangan ke majlis pada hari ini. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya melancarkan Laporan Pasaran Harta Tanah 2020 Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.

Sekian, terima kasih.

WABILLAHITAUFIK WALHIDAYAH WASALAMUALAKUM WARAHMATULLAHI WABARAKKATUH


YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia

5 April 2021

Arkib Koleksi Ucapan

Logo Accessibility