TEKS UCAPAN
YB SENATOR TENGKU DATUK SERI UTAMA ZAFRUL BIN TENGKU ABDUL AZIZ
MENTERI KEWANGAN
MAJLIS PELANCARAN LAPORAN PASARAN HARTA 2021 DAN LAPORAN LAIN
1 APRIL 2022 | 3.30 PETANG
DEWAN JUBLI INSTITUT PENILAIAN NEGARA (INSPEN)
Yang Berbahagia Dato’ Sr (Surveyor) A'zmi bin Abdul Latif
Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta
Yang Berusaha Sr (Surveyor) Abdul Razak bin Yusak
Timbalan Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta (Dasar Strategik)
Yang Berusaha Sr (Surveyor) Rosni Nawati binti Ngah
Timbalan Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta (Operasi)
Yang Berusaha Sr (Surveyor) Aina Edayu binti Ahmad
Pengarah Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC)
Yang Berbahagia Dato’-Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi wabarakaatuh, dan salam sejahtera.
- Terlebih dahulu saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Dato’A’zmi atas jemputan bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Laporan Pasaran Harta 2021 dan laporan lain oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, atau JPPH pada hari ini.
- Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada JPPH, khususnya Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, atau NAPIC di atas pelancaran Laporan Pasaran Harta 2021 dan laporanlaporan lain pada hari ini. Selain itu, tahniah kepada NAPIC kerana berjaya menghasilkan Indeks Sewaan Pusat Beli Belah Lembah Klang, yang dijadikan rujukan bagi para penggiat sektor harta tanah di negara kita.
- Saya berharap pembekal data, tidak kira agensi kerajaan mahupun swasta, kekal komited dalam menyalurkan maklumat tersebut kepada NAPIC. Ini adalah supaya mereka dapat menghasilkan indikator harta tanah yang akan menjadi rujukan dalam mencapai keputusan berkaitan dasar, atau pembangunan berkaitan harta tanah.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
- Pada tahun 2021, ekonomi negara meningkat sebanyak 3.1 peratus, berbanding penguncupan 5.6 peratus pada tahun 2020. Ini menggambarkan momentum pemulihan ekonomi yang jelas, disumbang oleh pelbagai usaha Kerajaan, termasuklah pakej bantuan dan rangsangan ekonomi bernilai 530 bilion, serta Belanjawan 2021 yang mengembang.
- Sejajar dengan prestasi tersebut, pasaran harta tanah turut meningkat, di mana lebih dari 300,000 transaksi bernilai kirakira 145 bilion ringgit telah berjaya direkodkan pada tahun 2021. Berbanding dengan tahun 2020, jumlah dan nilai transaksi tersebut masing-masing telah meningkat sebanyak 1.5 peratus dan 22 peratus.
- Peningkatan tersebut telah disumbang oleh subsektor kediaman, di mana ia merangkumi hampir 66 peratus daripada bilangan keseluruhan transaksi, dan lebih dari 50 peratus daripada nilai keseluruhan transaksi. Ini disusuli oleh subsektor perdagangan yang merangkumi 19.3 peratus dari segi nilai keseluruhan transaksi, manakala subsektor pertanian pula merangkumi 18.9 peratus dari segi bilangan keseluruhan transaksi.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
- Di sebalik pemulihan pasaran harta tanah yang disebutkan tadi, isu ketidakpadanan antara penawaran dan permintaan, serta kemampuan pembeli, telah menyumbang kepada kemelut tanah kediaman siap dibina, tetapi tidak terjual. Dalam kata lain, situasi overhang ini merupakan antara isu yang perlu dilihat dengan lebih mendalam, terutamanya dalam memastikan kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia.
- Sebagai contoh, prestasi jualan pelancaran baru bagi tahun 2021 adalah sederhana, iaitu pada 39.3 peratus. Kediaman overhang pula meningkat kepada lebih 36,000 unit, di mana nilainya telah mencecah lebih 22 bilion ringgit. Berbanding tahun 2020, ini merupakan peningkatan 24.7 peratus dari segi bilangan, dan 20.4 peratus dari segi nilai. Sebahagian besar daripada jumlah overhang ini terdiri daripada kediaman berharga 300,000 ringgit dan ke bawah, yang merangkumi 31.5 peratus daripada jumlah keseluruhan.
- Status tidak terjual pangsapuri khidmat pula turut menunjukkan peningkatan. Terdapat lebih 24,000 unit overhang, dengan nilai 20.45 bilion ringgit pada 2021, iaitu peningkatan sebanyak 2.9 peratus berbanding tahun 2020. Lebih dari 85 peratus daripada jumlah overhang ini adalah bagi unit yang berharga 500,000 ringgit dan ke atas, di mana sebahagian besar adalah di Negeri Johor.
- Oleh itu, saya ingin menyeru pemaju supaya keputusan untuk membangunkan projek perlulah berlandaskan business decision berdasarkan kajian kemungkinan, atau feasibility study. Seharusnya sebarang keputusan bukanlah berasaskan spekulasi mengenai jangkaan pasaran harta tanah sematamata.
- Bagi harta tanah kediaman mampu milik yang masih banyak tidak terjual, isu ini perlu ditangani secara holistik, dan semua pihak yang berkaitan perlulah bersama-sama mencari jalan agar perumahan ini sampai ke golongan yang disasarkan. Ini juga adalah seiring dengan aspirasi kerajaan dalam memastikan setiap Keluarga Malaysia mampu memiliki a decent home.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
- Bagi sektor perdagangan, isu yang sama turut dilihat, khususnya bagi pejabat binaan khas dan kompleks perniagaan. Tidak dinafikan, segmen ini turut dibelenggu dengan lebihan penawaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan semakin terkesan akibat pandemik COVID-19.
- Ini adalah kerana norma baharu seperti bekerja dari rumah dan online shopping telah mengakibatkan penurunan pengambilan ruang pejabat dan ruang niaga. Oleh itu, pembangunan baharu pejabat binaan khas dan kompleks perniagaan perlu diteliti dengan lebih mendalam, dengan merujuk kepada data harta tanah semasa sebelum sebarang keputusan dibuat.
- Sebagai contoh, pejabat binaan khas di seluruh negara berjumlah hampir 24 juta meter persegi. Lebih tiga per empat daripada jumlah ruang ini adalah daripada pejabat binaan khas swasta, dengan purata kadar penghunian hampir 72 peratus (71.5%). Lebih membimbangkan adalah kadar ini dilihat terus menurun dari tahun ke tahun, selari dengan pertambahan kekosongan ruang yang kini berjumlah lebih dari 5 juta meter persegi di seluruh negara.
- Bagi kompleks perniagaan pula, ruang sedia ada kini berjumlah lebih dari 17 juta meter persegi, dengan kekosongan 4 juta meter persegi. Kadar penghunian kompleks perniagaan menunjukkan tren penurunan dengan kadar penghunian sebanyak 76.3 peratus, berbanding 77.5 peratus pada tahun 2020.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
- Dalam terus merancakkan dan memulihkan pasaran harta tanah negara, Kerajaan telah merencana pelbagai inisiatif untuk mencapai matlamat-matlamat tersebut.
- Di bawah Bajet 2022, Kerajaan telah meneruskan agenda pembangunan projek perumahan, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dengan peruntukan keseluruhan bernilai 1.5 bilion ringgit.
- Bagi merancakkan aktiviti transaksi pasaran subsale, pelepasan cukai keuntungan harta tanah (CKHT) bagi harta yang dilupus mulai tahun keenam dan seterusnya turut diberikan bagi individu.
- Kerajaan telah juga memperuntukkan sejumlah 2 bilion ringgit bagi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dalam usaha mempermudahkan rakyat yang tiada bukti pendapatan tetap untuk membeli rumah.
- Selain daripada itu, insentif lain yang turut menyokong pasaran harta tanah adalah pengecualian duti setem 8 sepenuhnya ke atas dokumen pindah milik atau Memorandum of Transfer (MoT) bagi pembelian rumah pertama sehingga 500,000 ringgit yang berkuatkuasa sehingga hujung tahun 2025.
- Saya berharap semua inisiatif yang diberikan akan dapat memberikan manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia dan membantu mendorong pasaran harta tanah ke prestasi pra pandemik. Malah, dengan negara bergerak ke fasa peralihan ke endemik yang bermula 1 April 2022, pasaran harta tanah dijangka akan terus pulih, selari dengan unjuran pertumbuhan KDNK antara 5.3 hingga 6.3 peratus bagi tahun ini.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
- Akhir kata, saya menyeru pemaju dan pihak berkuasa, termasuklah Kerajaan Negeri, untuk terus bekerjasama dan memberi perhatian kepada data overhang yang dikeluarkan oleh NAPIC. Ini amatlah penting dalam menentukan projek yang akan dibangunkan adalah selari dengan permintaan, serta memastikan harga jualan yang munasabah kepada orang ramai.
- Sebelum saya mengakhiri ucapan, sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dato’ A’zmi atas undangan ke majlis pada petang ini.
- Dengan Ramadan bakal menjelang beberapa hari saja lagi, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada semua umat Islam. Semoga kita semua dapat meningkatkan ibadah sempena bulan yang mulia ini.
- Dengan lafaz,

Saya merasmikan Pelancaran Laporan Pasaran Harta Tahun 2021, Indeks Sewaan Pusat Beli Belah Lembah Klang dan laporan lain.
Sekian, terima kasih.
Wabillahitaufik walhidayah, wasalamualakum warahmatullahi wabarakkatuh
YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan Malaysia
Kementerian Kewangan Malaysia
1 April 2022