Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
Yang Berhormat Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan Malaysia,
Yang Berhormat Tuan Mohd Shahar bin Abdullah
Timbalan Menteri Kewangan II,
Yang Berbahagia Dato’ Asri Bin Hamidon
Ketua Setiausaha Perbendaharaan,
Yang Berbahagia Dato’ Sri Haji Mohammad bin Mentek
Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Multimedia,
Yang Berusaha Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek,
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia,
Pegawai Pegawai Kanan Kementerian Kewangan,
Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Industri Telekomunikasi,
Hadirin sekalian.
Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari berada dalam keadaan sihat waláfiat
1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhana Wa Taala kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, dapat kita bersua di Majlis Pelancaran Program Jaringan Prihatin pada hari ini.
2. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang telah sudi menjemput saya bagi merasmikan program ini.
3. Sebagaimana semua maklum, pandemik COVID-19 telah mempercepatkan arus gelombang transformasi digital di Malaysia dan seluruh dunia. Menurut Digital Playbook in the New Normal terbitan World Economic Forum (WEF) pada tahun 2020, majoriti masyarakat di seluruh dunia telah terpaksa menyesuaikan diri dengan situasi bekerja dari rumah berikutan pandemik yang melanda.
4. Sepanjang tempoh ini, penggunaan internet telah meningkat sebanyak 70 peratus dengan penggunaan alat kolaborasi secara maya melonjak kepada 600 peratus. Trend yang agak serupa juga dapat dilihat di Malaysia.
5. Transformasi digital ini telah membuka ruang interaksi maya dan keterangkuman sosial yang lebih luas. Namun dalam masa yang sama keadaan ini juga meningkatkan risiko ketidaksamaan bagi mereka yang tidak terhubung secara digital. Realitinya, masih ada dalam kalangan masyarakat yang tersisih dan ketinggalan daripada arus digitalisasi di negara kita.
6. Peningkatan penggunaan internet jelas menunjukkan bahawa sudah tiba masanya untuk capaian atau akses internet menjadi satu keperluan asas seperti air dan elektrik bagi segenap lapisan masyarakat.
7. Malaysia akan terus komited untuk memantapkan kesalinghubungan atau “connectivity” di negara ini, sejajar dengan matlamat minimum 75 peratus kesalinghubungan yang disarankan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan kos jalur lebar ataupun “broadband” tidak melebihi 2 peratus daripada pendapatan negara kasar (PNK) per kapita bulanan menjelang tahun 2025.
Hadirin sekalian,
8. Kita juga akur bahawa ada segelintir masyarakat memerlukan masa yang lebih lama untuk menyesuaikan diri dalam fasa transformasi digital ini. Antaranya mereka yang tinggal di pedalaman, warga emas, ataupun mereka yang mempunyai literasi digital yang agak rendah. Ini bermakna faktor seperti lokasi penduduk, pendapatan, umur, dan jantina sedikit-sebanyak memainkan peranan dalam menentukan akses internet seseorang. Data ITU (International Telecom Union) 2019, menunjukkan rata-rata di seluruh dunia, peratusan isi rumah di kawasan bandar yang mempunyai akses kepada Internet Jalur Lebar adalah hampir dua kali ganda berbanding di kawasan luar bandar. Untuk menangani cabaran jurang digital ini, rangka kerja di hadapan kita haruslah melibatkan kerjasama utuh di antara sektor awam dan swasta, serta memfokuskan pada TIGA STRATEGI UTAMA, iaitu pertamanya akses atau accessibility, kedua kemampuan kewangan atau affordability dan ketiga kemahiran atau skills.
Hadirin sekalian,
9. Untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat, terdapat keperluan untuk memastikan bahawa setiap orang mempunyai akses dengan kos yang berpatutan serta kemahiran yang diperlukan untuk memanfaatkan internet menjelang 2030.
10. Lebih penting lagi, pembangunan kapasiti atau capacity building di bawah pelbagai program sektor awam dan swasta perlu disesuaikan dengan keadaan individu dan dengan mengambil kira kepelbagaian latar belakang masyarakat.
11.Maka, dalam usaha kita untuk menangani krisis pandemik serta sekaligus untuk meletakkan batu asas ekonomi Malaysia ke arah yang lebih inklusif; mahu tidak mahu, jurang digital antara rakyat wajib dirapatkan. Meskipun keterangkuman digital bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian kepada ketidaksamaan, ia merupakan komponen asas bagi membolehkan inklusiviti sosial dalam kalangan rakyat tercapai. Sebagai nadi kepada Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, keterangkuman digital akan terus menjadi tumpuan utama Kerajaan bagi merealisasikan Malaysia yang lebih adil dan saksama.
12. Akhir kata, dengan harapan tersebut dan dengan lafaz BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, saya dengan ini melancarkan Program Jaringan Prihatin.
Sekian. Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
YAB Tan Sri Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin
Perdana Menteri
5 Mei 2021