Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Ucapan

Majlis Pelancaran Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia

Majlis Pelancaran Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia

MAJLIS PELANCARAN PROGRAM SEMARAK NIAGA KELUARGA
MALAYSIA

21 FEBRUARI 2022 | 10.00 PAGI
GRAND BALLROOM, HILTON HOTEL, KL SENTRAL


Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob
Perdana Menteri

Yang Berhormat Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah
Timbalan Menteri Kewangan I

Yang Berhormat Tuan Haji Yamani Hafez bin Musa
Timbalan Menteri Kewangan II

Yang Berbahagia Datin Rashidah binti Mohd Sies
Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaaan (Pengurusan),
Kementerian Kewangan merangkap Ahli Lembaga Pengarah Syarikat
Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad

Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Persekutuan

Ahli lembaga pengarah dan Ketua pegawai eksekutif sektor perbankan

Ketua persatuan perdagangan dan industri

Tan Sri-Tan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan, Puan-Puan yang saya hormati sekalian

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Keluarga Malaysia.

  1. Alhamdulillah, izinkan saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah Subhanahuwataa'la kerana dengan rahmat dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berkumpul pada pagi ini untuk menyaksikan Majlis Pelancaran Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia.

  2. Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, atas kesudian beliau untuk hadir dan melancarkan inisiatif Semarak Niaga hari ini. Kehadiran Yang Amat Berhomat amat bermakna kepada semua yang terlibat dalam menjayakan inisiatif ini.

  3. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada agensi-agensi dan institusi kewangan yang terlibat di atas usahasama dalam menjayakan majlis pada hari ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan, para hadirin yang saya kasihi,

  1. Saya percaya, ramai disini masih ingat dikala pandemik COVID-19 mula melanda dunia, dan juga negara.

  2. Di waktu itu, tiada siapa menyangka bahawa pandemik sebegini akan meninggalkan kesan yang amat mendalam terhadap nyawa dan mata pencarian orang ramai. Bahkan, ia juga telah banyak mengubah norma kehidupan seharian bagi seluruh umat manusia.

  3. Di puncak pandemik COVID-19, kadar penggangguran kita meningkat kepada 5.3 peratus pada bulan Mei 2020, manakala KDNK pula menguncup sebanyak 5.6 peratus pada tahun tersebut.

  4. Dalam menangani krisis ini, Kerajaan telah mengambil langkah responsif dan proaktif melalui pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi, serta Belanjawan 2021 berjumlah 322.5 bilion ringgit bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia, kelangsungan perniagaan, dan daya ketahanan ekonomi. Dan ini bukanlah hanya sekadar retorik.

  5. Di sebalik ancaman varian Delta, serta bencana banjir pada awal dan penghujung tahun 2021, Alhamdulillah, menerusi usaha-usaha tersebut, serta pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (atau PICK), ekonomi kita kembali ke landasan pemulihan yang kukuh. Pada tahun 2021, KDNK meningkat sebanyak 3.1 peratus, manakala kadar pengangguran bagi Disember terus berkurangan kepada 4.2 peratus.

  6. Pelbagai penanda ekonomi juga terus mencerminkan perkembangan yang memberangsangkan. Ini termasuk:

    1. Pertama, aliran masuk bersih pelaburan langsung asing, atau FDI yang berjumlah hampir 55 bilion ringgit;
    2. Kedua, jumlah perdagangan luar yang mencecah lebih dari 2 trilion ringgit; dan
    3. Ketiga, aliran masuk bersih pelabur asing ke pasaran bon tempatan yang melebihi 33 bilion ringgit;

  7. Kesemua data-data ini adalah lebih baik berbanding tahun-tahun sebelum COVID-19 melanda negara.

  8. Namun, kita perlulah sentiasa berwaspada dengan segala kemungkinan dan cabaran ketidaktentuan bagi tahun ini.

  9. Menurut Bank Dunia dan IMF, unjuran pertumbuhan ekonomi dunia tahun ini dijangka berkurangan berbanding apa yang dicapai pada tahun 2021. Ini adalah berikutan ancaman varian Omicron, peningkatan kadar inflasi, serta gangguan rantaian bekalan dunia.

  10. Unjuran tersebut turut didorong oleh permintaan terpendam yang mula reda, serta pengurangan sokongan fiskal dan rangsangan ekonomi oleh kerajaan-kerajaan di seluruh dunia.

  11. Bagi Malaysia, kita kini berada di persimpangan jalan yang kritikal. Dalam menuju ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi selaras dengan matlamat yang digariskan oleh RMK12, perjalanan seterusnya dipenuhi onak dan duri perubahan iklim, serta peralihan negara kepada populasi yang terus menua, serta isu-isu struktur yang pastinya tidak boleh diselesaikan dalam masa satu atau dua tahun.

  12. Namun, dari segi memberi nafas kepada aspirasi RMKe-12, Bajet tahunanlah yang membina dan membiayai asas pembangunan yang lebih mampan, berdaya tahan dan inklusif untuk Keluarga Malaysia dan anak cucu kita di masa hadapan.

  13. Sehubungan itu, strategi, inisiatif serta langkah bagi Bajet 2022 digubal rapi bagi meneruskan momentum pemulihan jangka pendek, dan juga menerapkan dasar-dasar penyusunan semula jangka panjang.

  14. Dalam melaksanakan kedua-dua agenda ini, melalui Bajet 2022, Kerajaan akan mengutamakan dua teras utama iaitu menambah baik pasaran buruh negara, dan memperkasa sektor perniagaan.

  15. Program Semarak Niaga dirangka agar komuniti usahawan kita mampu bangkit semula dan terus berkembang. Bersama-sama langkah Bajet 2022 yang akan memudah cara perniagaan, serta pelbagai insentif cukai, kesemua ini akan juga membantu negara mencapai sasaran penciptaan 600,000 pekerjaan untuk Keluarga Malaysia tahun ini. InsyaAllah, kesemua usaha ini akan melonjakkan lagi ekonomi negara.

Tuan-tuan dan Puan-puan, para hadirin yang saya kasihi,

  1. Walaupun mengalami penguncupan sebanyak 7.3 peratus pada tahun 2020, sumbangan sektor perniagaan, terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana, (atau PMKS), kekal signifikan.

  2. Ini adalah kerana pada tahun tersebut, selain menggaji lebih dari 7 juta pekerja, PMKS menyumbang hampir 40 peratus daripada KDNK, dan lebih dari 13 peratus eksport negara.

  3. Oleh itu, amatlah penting supaya Kerajaan memastikan sektor perniagaan kita terus berdaya tahan.

  4. Demi mencapai matlamat tersebut, di bawah Bajet 2022, Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia direncana dengan tujuan bagi mengembalikan keupayaan perniagaan melalui akses kepada pelbagai pembiayaan.

  5. Bernilai lebih daripada 40 bilion ringgit, program ini merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan, dan suntikan ekuiti yang akan memanfaatkan setiap golongan usahawan.

  6. Selain dari akses kepada pembiayaan, strategi untuk membina daya tahan sektor perniagaan juga tertumpu kepada inisiatif yang akan memacu pelaburan strategik, memudah cara perniagaan, serta memperkasakan agenda digitalisasi dan kelestarian bagi mereka.

  7. Dalam memacu pelaburan, Bajet 2022 menyediakan inisatif seperti:

    1. Dana khas pelaburan strategik bernilai 2 bilion ringgit;
    2. Geran padanan Automasi Pintar bernilai 100 juta ringgit;
    3. Program kemahiran bernilai 80 juta ringgit; dan
    4. 423 juta ringgit bagi mempergiat aktiviti R&D.

  8. Bagi memudah cara operasi perniagaan, terutamanya peralihan kepada norma baharu pasca COVID-19, Bajet 2022 juga menyediakan pelbagai insentif cukai seperti:

    1. Lanjutan potongan cukai ke atas kos pengubahsuaian dan pembaharuan premis bagi menyokong pematuhan SOP;
    2. Pelanjutan potongan cukai tambahan ke atas perbelanjaan sewaan premis penginapan pekerja; dan
    3. Kelonggaran layanan cukai seperti penangguhan bayaran ansuran cukai pendapatan bagi PMKS.

  9. Selain itu, Kerajaan kekal komited bagi membantu sektor yang masih terjejas seperti industri pelancongan, kreatif, dan peruncitan melalui peruntukan berjumlah:

    1. 1.6 bilion ringgit bagi Program Subsidi Upah industri pelancongan; 
    2. 238 juta ringgit bagi meneruskan inisiatif pendigitalan dan pembangunan modal insan untuk industri kreatif; dan
    3. 307 juta ringgit bagi menggalakkan penghasilan dan pembelian produk tempatan oleh industri peruncitan.

  10. Secara keseluruhan, insiatif-inisiatif tersebut serta Program Semarak Niaga akan mengembalikan keupayaan, dan memperkasa komuniti perniagaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Tuan-tuan dan Puan-puan, para hadirin yang saya kasihi,

  1. Bagi tahun ini, Kerajaan mengujurkan pertumbuhan ekonomi negara antara 5.5 hingga 6.5 peratus, selari dengan unjuran IMF (5.7%) dan Bank Dunia (5.8%).

  2. Selain dari Bajet 2022 yang mengembang, ini juga akan didorong oleh pemulihan aktiviti ekonomi dan sosial, penyambungan semula projek dengan kesan pengganda yang tinggi, serta permintaan luar yang kukuh terutamanya dari rakan dagangan utama negara.

  3. Melangkah ke hadapan, MOF terus komited untuk menjadi sebuah Kementerian yang responsif, serta bertanggungjawab dan reformis dari segi fiskal.

  4. Oleh itu, selain dari Akta Tanggungjawab Fiskal yang akan dibentangkan tahun ini, satu Jawatankuasa Pemantauan Bajet 2022 (atau JPB) yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri juga telah ditubuhkan. Penubuhan JPB ini akan memantau pelaksanaan pelbagai inisiatif Bajet 2022, termasuk langkah-langkah di bawah Semarak Niaga, bagi memastikan keberkesanan dan penyampaian yang cekap.

  5. Sebelum saya mengundurkan diri, sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, wakil-wakil agensi dan sektor kewangan, serta semua yang hadir pada hari ini dalam merealisasikan Progam Semarak Niaga Keluarga Malaysia ini.

  6. Akhir kata, yakinlah bahawa Kerajaan sentiasa komited dalam membantu seluruh Keluarga Malaysia, dari rakyat ke perniagaan, untuk bangun dan berkembang semula.

  7. Dan yang sama penting adalah semangat kerjasama Keluarga Malaysia, agar kita lebih teguh dalam menongkah segala cabaran serta ujian yang akan mendatang bersama-sama.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Arkib Koleksi Ucapan

Logo Accessibility