Majlis Pelancaran Teras 5 (KWAP)
TEKS UCAPAN
YB SENATOR TENGKU DATUK SERI UTAMA ZAFRUL BIN TENGKU ABDUL AZIZ
MENTERI KEWANGAN
MAJLIS PELANCARAN TERAS 5 (KWAP)
RABU, 3 OGOS 2022 | 9.30 PAGI
Bismillahirahmanirahim,
Yang Berbahagia Datuk Seri Asri Hamidin @ Hamidon,
Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi KWAP;
Yang Berusaha Puan Nik Amlizan Mohamed,
Ketua Pegawai Eksekutif KWAP;
Ahli Lembaga KWAP serta Barisan Pengurusan KWAP,
Rakan-rakan media,
Tuan-tuan dan Puan-Puan,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Keluarga Malaysia,
- Alhamdulillah, izinkan saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah Subhanahuwataa’la kerana dengan rahmat dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berkumpul pada pagi ini dalam Majlis Pelancaran TERAS 5 KWAP.
- Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada kementeriankementerian, agensi-agensi danSaya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Kumpulan Wang Persaraan [Diperbadankan] atau KWAP kerana sudi menjemput saya untuk menyempurnakan majlis ini. pihak yang terlibat dalam usahasama menjayakan pelancaran ePemula ini.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
- Sebagai Dana Kekayaan Berdaulat (Sovereign Wealth Fund) yang bertanggungjawab untuk menguruskan kumpulan wang persaraan perkhidmatan awam yang terbesar di Malaysia, KWAP dan juga ekosistem Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) yang lain sesungguhnya memainkan peranan penting dalam menjamin masa depan sosioekonomi rakyat.
- Sebagai pemain dan pelabur utama, GLIC dan GLC merupakan tunjang penting kepada asas ekonomi Malaysia dan menyumbang kira-kira 445 billion ringgit atau 25 peratus pasaran Bursa Malaysia serta memberi peluang pekerjaan kepada lebih 500 ribu rakyat Malaysia.
- Melihat kepada saiz dan pengaruh ekosistem ini kepada pembangunan negara termasuk dalam mencapai aspirasi Malaysia, keperluan menyusun semula (atau reform) dan memperkukuhkan daya tahan GLIC amatlah penting.
- Melalui Bajet 2022, GLC dan GLIC turut menjadi pemacu utama dalam menjayakan pelbagai inisiatif Kerajaan seperti inisiatif MySTEP di dalam program JaminKerja yang bernilai keseluruhan 4.8 billion ringgit, dan program SemarakNiaga bernilai 40 bilion ringgit.
- GLIC turut memainkan peranan penting dalam mendorong digitalisasi dan teknologi melalui pelaburan mereka dan secara langsung menyokong kepentingan Malaysia meningkatkan ketahanan ekonomi jangka masa panjang dan menghasilkan pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi sejajar dengan Revolusi Industri 4.0.
- Bagi memastikan Malaysia bersedia untuk menghadapi masa hadapan dan dalam usaha mengukuhkan keupayaan terasnya, GLIC haruslah terus menggalas amanah yang dipertanggungjawabkan.
- KWAP selama ini telah memenuhi dan menjangkaui mandatnya dalam ekosistem persaraan di Malaysia sebagai penyampai perkhidmatan Kerajaan kepada para pesara.
- Sejak ditubuhkan pada 2007, KWAP telah berkembang maju sebagai sekumpulan syarikat yang telah meluaskan portfolio pelaburannya sebanyak tiga kali ganda dari dana bernilai 41.9 bilion ringgit pada 2007 kepada sekitar 159 bilion ringgit pada hari ini.
- Selain daripada menguruskan dana persaraan, KWAP turut dilantik oleh Kerajaan sebagai ejen untuk melaksanakan perkhidmatan pembayaran persaraan pada tahun 2015 dan telah mencapai skor tahap perkhidmatan sebanyak 98 peratus pada tahun lalu.
- KWAP kekal fokus dalam memainkan peranannya sebagai rakan persaraan bagi pihak Kerajaan dan juga pesara, membantu bakal pesara untuk membuat persiapan bagi menempuh alam persaraan.
- Selain itu, ia diwujudkan bagi memenuhi tanggungan pencen negara yang semakin meningkat. Masalah ini tidak terhad hanya di Malaysia sahaja. Dengan kemajuan perubatan dan peningkatan jangka hayat di kebanyakan negara di dunia masalah ini merupakan isu global. Hakikatnya, isu ini perlu ditangani dan diselesaikan oleh para penggubal dasar di seluruh dunia.
- Penambahbaikan perlu diteruskan dan Kerajaan komited dalam menangani isu ini. Dalam pada itu, KWAP turut berusaha sama untuk menjadi pemimpin intelek (atau thought leader) dalam arena persaraan. Antara inisiatif yang boleh dijadikan contoh adalah kerjasama KWAP dengan Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) untuk menerbitkan laporan yang menggariskan enam cadangan mengenai kesediaan persaraan dan penuaan yang produktif.
- Kementerian Kewangan yakin dengan penglibatan KWAP dalam penyelesaian jangka panjang ini, pelan seperti TERAS 5 akan memastikan organisasi ini bersedia untuk mencapai visi baharunya untuk menjadi dana persaraan yang menyokong pembangunan negara dengan terus menyampaikan manfaat bagi ahli-ahlinya.
- Melalui TERAS 5, Kementerian Kewangan yakin KWAP akan dapat mencapai sasarannya untuk mengembangkan saiz dana secara mampan dengan jumlah dana kasar sebanyak 200 billion ringgit dan meningkatkan jumlah aset harta daripada 17 kepada lebih 30 serta mempunyai lebih 35 subsidiari menjelang 2025.
- Saya difahamkan TERAS 5 ini akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun dari 2022 hingga 2024. Inisiatif ini akan memacu transformasi KWAP kepada sebuah organisasi yang tangkas serta meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi KWAP untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pesara serta membentuk ekosistem pencen yang lebih dinamik.
- Saya yakin bahawa KWAP telah mengambil tindakan yang tepat pada masanya, untuk melancarkan TERAS 5. Ini sememangnya sejajar dengan aspirasi Kerajaan untuk mengoptimumkan kekuatan GLIC sekali gus mengukuhkan ekonomi Malaysia dan melindungi keperluan fiskal semasa dan masa depan negara.
- InsyaAllah, fasa seterusnya dalam perjalanan KWAP ini akan membuka ruang dan peluang bagi memajukan ekosistem dana persaraan Malaysia dan mencipta kemampanan jangka panjang.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
- Walaupun negara dalam momentum pemulihan ekonomi pasca COVID-19, Kerajaan tidak akan mengabaikan keperluan pembaharuan struktur (structural reform) yang mustahak untuk mengekalkan pembangunan dan kemajuan ekonomi negara. Tidak boleh dinafikan bahawa tadbir urus yang baik merupakan kunci kepada penambahbaikan prestasi kewangan.
- Kerajaan Malaysia terus komited dalam melaksanakan langkahlangkah yang dikenal pasti di bawah Pelan Pencegahan Rasuah Nasional 2019 – 2023 (NACP) untuk mencapai tiga matlamat berikut:
- Pertama, Akauntabiliti dan kredibiliti badan kehakiman, pendakwaan dan agensi penguatkuasa undang-undang
- Kedua, Kecekapan dan responsif dalam penyampaian perkhidmatan awam; dan
- Ketiga, Integriti dalam perniagaan.
- Selain daripada itu, kerajaan turut komited dalam melaksanakan dasar lain, termasuk:
- Pembangunan Pelan Tadbir Urus Negara (MyGovernance) yang memfokuskan kepada prinsip Ketelusan, Akauntabiliti, Kecekapan dan Keberkesanan; dan
- Pelancaran Prinsip Tadbir Urus Baik bagi Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (PGG) dengan tiga prinsip berkaitan lembaga pengarah utama:
- Pertama, Kepimpinan dan Keberkesanan Lembaga Pengarah,
- Kedua, Memperkukuh Komposisi Lembaga Pengarah; dan
- Ketiga, Menggalakkan Keberkesanan dan Ketulusan Pelaburan.
- Sasaran utama PGG adalah untuk menjadi rujukan tunggal garis dasar tadbir urus dan amalan kemampanan semua GLIC bagi memastikan operasi GLIC menjadi lebih teguh dan membolehkan GLIC menyumbang kepada pertumbuhan kekayaan negara bagi tahun-tahun akan datang.
- Selain itu, masalah perubahan iklim dunia turut dirasai oleh seluruh dunia termasuk rakyat Malaysia. Pelbagai bencana telah melanda negara menyebabkan kerugian nyawa dan harta, tahun demi tahun, membuktikan betapa pentingnya untuk kita memelihara kelestarian alam sekitar.
- Oleh itu, PGG turut mencadang pengawasan ESG untuk diterapkan dalam penubuhan struktur tadbir urus dalam strategi pelaburan GLIC. Keutamaan fokus ESG ini juga merupakan pemboleh utama bagi merialisasikan aspirasi Malaysia yang Makmur, Inklusif dan Mampan.
- Alhamdulillah, Petunjuk Tadbir Urus Dunia (atau World Governance Indicators) menunjukkan bahawa Malaysia telah menambah baik kedudukannya sejak 10 tahun lalu dari segi suara dan akauntabiliti, kualiti kawal selia, kedaulatan undang-undang dan kawalan dalam dimensi rasuah. Kedudukan Malaysia juga lebih tinggi berbanding purata rantau Asia Timur & Pasifik terutamanya dalam keberkesanan kerajaan dan dimensi kualiti kawal selia.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
- Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada KWAP atas pelancaran TERAS 5, dan saya doakan agar pelaksanaannya lancar dan dipermudahkan, InsyaAllah.
- Dalam persekitaran pasaran yang sedang mengalami tahap ketidakstabilan yang ketara, saya berharap KWAP akan mengukuhkan keupayaannya untuk melaksanakan pelaburan bermakna yang akan membawa manfaat secara langsung kepada ekonomi Malaysia, serta terus mengembangkan saiz dananya dan tidak kurang pentingnya, menambah baik perkhidmatan kepada para pesara kerajaan.
- Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan TERAS 5 KWAP.
Sekian.
Wabillahittaufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.