Yang Berbahagia Datuk Hajah Nik Amlizan Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif, KWAP;
Yang Berbahagia Datuk Seri Dr. Syed Hussian Syed Junid, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM);
Ahli Lembaga dan Panel Pelaburan serta Barisan Pengurusan KWAP;
Pesara-pesara kerajaan; serta
para hadirin sekalian.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan Salam Malaysia MADANI.
Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, kita dapat berkumpul pada hari ini sempena Majlis Peluncuran Jana MyPesara.
Saya merakamkan penghargaan kepada KWAP atas penganjuran majlis ini, serta kepada semua rakan strategik dan agensi yang terlibat dalam merealisasikan inisiatif ini.
Hadirin yang saya hormati,
Malaysia giat melalui perubahan, bukan sahaja dari sudut ekonomi, tetapi juga dari segi demografi.
Negara sedang melalui peralihan demografi ke arah struktur penduduk yang semakin berusia. Berdasarkan unjuran semasa, Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang tahun 2048, apabila 14 peratus daripada jumlah penduduk berumur 65 tahun ke atas.
Dalam konteks ini, Kerajaan menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi tidak boleh dinilai semata-mata melalui angka, tetapi mesti diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat dan kualiti hidup yang lebih baik.
Inilah teras Ekonomi MADANI – pembangunan yang bersifat inklusif dan meletakkan kelangsungan hidup rakyat sebagai keutamaan.
Melalui usaha menaikkan lantai atau raising the floor demi menjamin kesejahteraan semua lapisan masyarakat, Kerajaan komited memastikan rakyat mempunyai keterjaminan ekonomi, serta berpeluang untuk terus maju, tanpa mengira latar belakang atau peringkat usia.
Sehubungan itu, Kerajaan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh mobiliti sosial dan menggalakkan penuaan yang produktif, supaya rakyat kekal berdikari sepanjang fasa kehidupan mereka.
Kita juga wajar mengambil iktibar daripada pengalaman negara-negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan atau OECD seperti Jepun. Nisbah warga emas yang tinggi dan semakin meningkat di negara tersebut menunjukkan betapa pentingnya penyertaan ekonomi golongan berusia demi kemampanan jangka panjang.
Hadirin yang saya hormati,
Pada masa ini, asas ekonomi negara berada dalam keadaan yang stabil. Nilai ringgit menunjukkan pengukuhan, rizab negara berada pada paras yang sihat, dan institusi awam kita berfungsi dengan baik. Namun, kekuatan asas ini hanya bermakna jika manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
Dalam konteks masyarakat yang semakin menua, pembiayaan mikro menjadi antara langkah awal yang mampan. Ramai pesara berdepan kekangan untuk mendapatkan kemudahan kredit melalui saluran konvensional, walaupun mempunyai keupayaan dan pengalaman.
Justeru itu, Jana MyPesara merupakan satu inisiatif yang sesuai dan memberi fokus kepada penyertaan ekonomi di peringkat akar umbi.
Seperti yang telah diumumkan di dalam Belanjawan 2026, Jana MyPesara yang mempunyai peruntukan sebanyak RM20 juta melengkapkan usaha Kerajaan dalam membina sistem sokongan sosial yang lebih bersasar dan sesuai dengan keperluan negara yang menuju ke arah penuaan penduduk.
Jana MyPesara ini bukan sekadar menyediakan pembiayaan mikro, tetapi turut merangkumi bimbingan dan khidmat mentor bagi membantu pesara mengurus serta menjalankan perniagaan mereka dengan lebih teratur.
Saya berharap inisiatif ini dapat dimanfaatkan oleh ribuan pesara kerajaan di seluruh negara, sekali gus menyumbang kepada daya ketahanan sosioekonomi Malaysia dalam jangka panjang.
Oleh itu saya ingin menggalakkan para pesara yang berminat untuk memulakan atau mengembangkan perniagaan supaya mempertimbangkan peluang yang disediakan melalui Jana MyPesara.
Hadirin sekalian,
Dalam melaksanakan inisiatif seperti Jana MyPesara, tadbir urus dan akauntabiliti perlu diberi keutamaan. Penggunaan dana awam mesti diurus secara berhemah dan telus, dengan fokus kepada manfaat jangka panjang kepada rakyat.
Dalam konteks ini, peranan KWAP adalah amat penting. Sebagai institusi yang diamanahkan mengurus dana persaraan bagi ratusan ribu pesara, KWAP berada pada kedudukan yang kukuh untuk menyokong agenda Kerajaan melalui pengurusan yang berdisiplin.
Ia juga menunjukkan bagaimana agensi Kerajaan seperti KWAP boleh menyalurkan modal dan sokongan secara bertanggungjawab, selaras dengan keutamaan nasional.
Usaha ke arah ini hanya dapat dicapai melalui pendekatan seluruh negara atau whole of nation, berasaskan kestabilan ekonomi serta kerjasama rapat antara agensi awam, sektor swasta, penjawat awam dan seluruh pemegang taruh.
Akhir kata, saya menghargai usaha KWAP serta rakan strategiknya, Amanah Ikhtiar Malaysia, dalam melaksanakan inisiatif ini demi kepentingan rakyat.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya melancarkan Jana MyPesara.