Majlis Penutup Pesta Sukan Perbendaharaan
TEKS UCAPAN
YB SENATOR DATUK SERI AMIR HAMZAH AZIZAN
MENTERI KEWANGAN II
MAJLIS PERASMIAN PENUTUP
PESTA SUKAN PERBENDAHARAAN TAHUN 2024
DEWAN UTAMA
KOMPLEKS KEMENTERIAN KEWANGAN
31 MEI 2024 | 3.00 PETANG
Terima kasih kepada Saudara/i Pengerusi majlis
Assalamualaikum W.B.T. dan salam sejahtera. Salam Malaysia Madani.
YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican
Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang juga merupakan
Yang Dipertua Kelab Perbendaharaan Putrajaya,
Para peserta Pesta Sukan Perbendaharaan Tahun 2024, dan
Seluruh warga Perbendaharaan yang saya kasihi,
- Alhamdulillah kita dapat berkumpul pada petang ini dalam upacara Majlis Perasmian Penutup Pesta Sukan Perbendaharaan tahun 2024. Pertama sekali, saya mengucapkan kesyukuran kerana selama dua minggu lepas, tuan-tuan dan puan-puan semua telah mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi dalam Pesta Sukan Perbendaharaan 2024.
- Saya ingin merakamkan setinggi – tinggi ucapan tahniah dan terima kasih buat semua ahli jawatankuasa penganjur, kontinjen yang bertanding dan mereka yang terlibat dalam mengendalikan kejohanan sukan ini dengan lancar dan berjaya.
- Keikhlasan dan semangat setiakawan ini dapat kita rasakan dan lihat dari penyertaan semua pihak yang mengambil bahagian, daripada yang beraksi di arena, yang berada di belakang tabir mahupun yang bersorak memberi sokongan. Gandingan orang baru dan yang senior, sama-sama meraikan semangat berpasukan membuktikan bahawa sekiranya kita bersatu hati dan bekerja sama, tolong menolong dalam melaksanakan tugas yang diberikan, ianya akan membenih kejayaan.
- Kemeriahan kesukanan seperti ini harus diteruskan supaya semangat berpasukan yang tinggi dan kerjasama erat dapat dipupuk dalam setiap anggota Perbendaharaan. Pengalaman saya menjadi sebahagian dari ahli pasukan Supremo memberi peluang untuk mengenali satu sama lain di arena sukan.
- Kita juga mahukan tuan-tuan dan puan-puan sentiasa cerdas dan cergas melalui aktiviti riadah dan sukan. Kejohanan seperti ini menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan penjawat awam. Akal yang cerdas datangnya daripada badan yang sihat.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
- Pada ketika ini Kementerian Kewangan memikul amanah yang amat besar untuk menjadikan kerangka Ekonomi Madani satu kenyataan. Kita sedang giat mengusahakan 3 perkara:
- Menaikkan siling, dalam kata lain menambahkan pendapatan negara
- Menaikkan lantai, iaitu menambahkan pendapatan rakyat dan menyediakan perlindungan sosial yang lebih baik
- Menambah baik tata kelola dalam semua urusan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan
- Salah satu dasar yang akan dilaksanakan tidak lama lagi ialah penyasaran subsidi diesel yang merangkumi ketiga-tiga aspek yang saya sebutkan tadi. Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dapat memberikan struktur fiskal negara yang lebih mampan, memberikan perlindungan sosial yang lebih baik melalui subsidi bersasar, dan mengekang ketirisan yang berleluasa.
- Sebagai warga Perbendaharaan, saya yakin tuan-tuan dan puan-puan akan ditanya tentang perkara ini apabila berjumpa dengan rakan-rakan dan saudara mara. Kongsikanlah usaha-usaha kerajaan, kerana penjelasan dari tuan-tuan dan puan-puan sebagai penjawat awam diyakini sebagai gambaran yang benar dan tepat.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
- Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk berpesan kepada mereka yang terpilih untuk mewakili Perbendaharaan ke peringkat Pesta Sukan Kementerian Kewangan. Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan dapat berlatih bersungguh-sungguh, memberikan persaingan yang terbaik dengan semangat kesukanan tinggi.
- Akhir kata, terima kasih yang tak terhingga kepada ahli jawatankuasa penganjur pesta sukan ini. Semoga kita dapat mengulangi kejayaan dan kemeriahan ini pada tahun hadapan.
- Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Penutup Pesta Sukan Perbendaharaan tahun 2024.
Sekian, Wabillahitaufik walhidayah Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.