Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Ucapan

Majlis Perasmian Hari Hasil Ke-25 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Majlis Perasmian Hari Hasil Ke-25 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum WBT dan Salam Sejahtera

Yang Berbahagia Dato’ Asri bin Hamidon
Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap
Pengerusi Anggota Lembaga Pengarah
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Sabin bin Samitah
Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Anggota-Anggota Lembaga
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Timbalan-Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM

Datuk, Dato’, Datin, Tuan-tuan, Puan-puan, Tetamu Jemputan, Warga Media serta Hasilian yang saya hormati sekalian.

A. PENDAHULUAN

1. Alhamdulillah dengan penuh rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT, pada hari ini saya amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama Hasilian bagi meraikan Majlis Sambutan Hari Hasil Ke-25, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia Tahun 2021.

2. Sekalung penghargaan diucapkan kepada LHDNM kerana telah mengundang saya menyempurnakan majlis yang cukup istimewa dan amat bermakna kepada LHDNM ini.

3. Saya difahamkan apabila tiba detik 1 Mac setiap tahun, LHDNM akan meraikan sambutan Hari Hasil sebagai simbolik kepada perubahan status jabatan iaitu Jabatan Hasil Dalam Negeri (JHDN) kepada sebuah badan berkanun, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) pada tahun 1996 yang lalu. Pada tahun 2021 ini, LHDNM menginjak ke usia 25 tahun iaitu jubli perak kewujudannya.

4. Tahniah dan Selamat Hari Hasil Ke-25 ditujukan kepada seluruh Hasilian. Tahniah juga kepada barisan Pengurusan Tertinggi LHDNM kerana telah berjaya meletakkan Hari Hasil dalam kelasnya yang tersendiri.

5. Saya cukup yakin majlis sebegini adalah satu platform yang murni bagi meraikan kegembiraan ini bersama-sama dalam satu semangat dan kesatuan yang utuh lagi kukuh. Sekali lagi, tahniah diucapkan.

6. Untuk makluman semua, jika hari ini LHDNM meraikan usia ke 25 tahun penubuhannya, tidak lama lagi saya juga akan meraikan ulang tahun pertama saya sebagai Menteri Kewangan Malaysia selepas dilantik oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin bin Yassin pada 9 Mac tahun lalu.

7. Alhamdullilah setelah hampir setahun mengetuai Perbendaharaan Malaysia, pelbagai pengalaman baharu, suka duka dan pahit manis telah saya tempuhi.

8. Dengan sokongan padu dari rakan-rakan kerja di Kementerian Kewangan dan agensi-agensi seperti LHDNM, saya akan sentiasa berusaha merealisasikan mandat kerajaan, biarpun dalam suasana penuh cabaran yang dicetuskan oleh pandemik COVID-19. InsyaAllah dengan sokongan semua pihak, kita amat mengharapkan iklim ekonomi negara akan kembali pulih, malah menjadi lebih baik dan lebih teguh dari sebelum ini. Kita juga mengharapkan belenggu pandemik COVID-19 akan berakhir dengan secepat mungkin.

B. PANDEMIK COVID-19: CABARANNYA KEPADA NEGARA

Yang Berbahagia Dato’ Sri, Datuk-Datuk, Tuan-tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.

9. Setahun telah berlalu sejak negara kita berdepan dengan penularan COVID-19 yang mengakibatkan krisis kesihatan dan ekonomi yang kritikal.

10. Kemunculan wabak ini tenyata telah menguji dan mendesak kerajaan hari ini mendepani dan membuat keputusan-keputusan yang sukar demi kesejahteraan rakyat.

11. Antaranya adalah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mewujudkan prosedur standard operasi (SOP) seperti mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan awam serta pengaktifan sistem pengesanan kontak rapat, termasuklah menutup dan memperketat kawalan pintu masuk antarabangsa.

12. Melihat kepada situasi semasa dengan catatan kes yang masih belum berkurangan, pihak kerajaan terpaksa mengambil langkah drastik melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua di hampir keseluruhan negara kecuali Sarawak.

13. Namun PKP fasa kedua ini membenarkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi berbanding PKP dahulu bagi mengimbangi aspek kesihatan rakyat dan juga tekanan ekonomi semasa.

14. Untuk makluman semua Hasilian, semasa PKP pertama dahulu , negara kita telah mengalami kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari dan jika ia dilaksanakan secara berterusan, pasti sistem ekonomi negara kita termasuklah sistem kesihatan awam akan lumpuh. Kali ini, dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi, kerugian kepda negara telah dapat dikurangkan kepada RM300 juta sehari.

15. Pada 2020, Malaysia telah mengalami penguncupan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.6%. Penguncupan ini adalah lebih baik berbanding unjuran awal oleh organisasi antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (-5.8%), Bank Dunia (-5.8%) dan Bank Pembangunan Asia (-6.0%). Prestasi Malaysia juga lebih baik jika dibandingkan dengan negara serantau seperti Thailand (-6.1%) dan Filipina (-9.5%) dan negara lain seperti United Kingdom (-9.9%).

16. Kita juga telah berjaya menghadkan kes kematian akibat wabak COVID-19 dengan nisbah 0.3%, atau di dalam kategori 5% terbawah di peringkat dunia. Keberkesanan langkah Kerajaan membendung penularan wabak COVID-19 juga telah diiktiraf oleh agensi penarafan kredit antarabangsa, Moody's. Ini jelas melalui pengekalan penarafan Malaysia pada tahap A3 dengan unjuran stabil pada bulan Januari tahun ini. Moody’s juga menjangka bahawa penularan wabak COVID-19 tidak akan menyebabkan kesan yang berpanjangan terhadap struktur ekonomi negara. Oleh itu, gelombang penularan semasa dan yang seterusnya hanya akan menangguhkan tanpa menghalang pemulihan ekonomi negara ke arah landasan pertumbuhan yang lebih tinggi dan mampan.

17. Kejayaan penarafan ini sebenarnya dipacu oleh asas ekonomi yang kukuh, disiplin fiskal yang baik termasuklah dengan sokongan kepelbagaian sektor ekonomi. Namun ia amat bergantung kepada keupayaan kita mengekang pandemik dan juga melaksanakan pemulihan berterusan dalam permintaan luaran.

18. Jika kita meneliti kembali amanat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa ucapan tahun baharu 2021 beliau yang lalu, lima keutamaan telah digariskan oleh pihak kerajaan sebagai satu strategi bersepadu pemulihan negara pasca COVID-19, iaitu:

  1. Pertama: mempertingkatkan tahap kesihatan awam melalui program vaksinasi COVID-19 di seluruh negara. Melalui Program Imunisasi Covid 19 Kebangsaan, kita mensasarkan lebih daripada 80 peratus atau 27 juta penduduk akan divaksinasi, yang akan membawa bersamanya sinar kepada pengakhiran COVID-19 ini seterusnya mendorong pemulihan ekonomi kita.

  2. Kedua: Memperkukuh ekonomi prihatin rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca COVID-19 melalui pelaksanaan Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Pada tahun ini, kita telah meluluskan belanjawan negara terbesar bernilai RM322.5 bilion. Kita juga telah mengumumkan Pakej Bantuan PERMAI bernilai RM15 bilion bagi menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan juga mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang berkaitan.

    Dari segi pelaburan langsung asing (FDI) pula, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai insentif cukai dan pelaburan di bawah PENJANA dan Belanjawan 2021 untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing sebagai destinasi pelaburan pilihan.

  3. Keutamaan seterusnya atau yang ketiga: Memastikan kestabilan politik dan kerajaan termasuk tadbir urus yang baik sebagai asas kepada pemulihan ekonomi yang mampan.

  4. Keempat: Menjamin kedaulatan negara terpelihara dan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa.

  5. Terakhir: Memperkukuh hubungan antara kaum dan agama dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu menentang sebarang ancaman di mana elemen perpaduan dan kesatuan dilihat sebagai kunci kesepaduan rakyat Malaysia.

19. Adalah menjadi hasrat Kerajaan agar kelima-lima strategi ini dapat direalisasikan dan mendapat sokongan semua pihak.

20. Apa yang penting, kita semua sebagai rakyat Malaysia perlu belajar menyesuaikan diri dan menerima COVID-19 ini berada dalam komuniti kita mungkin untuk satu tempoh yang lama, berusaha membudayakan norma baharu serta mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan. InsyaAllah, dengan usaha kita bersama, rantaian COVID-19 ini akan dapat diputuskan penularannya.

C. PRESTASI 2020 DAN SASARAN LHDNM TAHUN 2021

Hasilian yang dihormati sekalian,

21. LHDNM telah memainkan peranan penting dalam memastikan kedudukan kewangan negara mencukupi bagi membiayai perancangan perbelanjaan kerajaan. Sehubungan itu, harapan kerajaan khususnya pihak Kementerian Kewangan kepada LHDNM adalah amat besar kerana LHDNM merupakan sebuah agensi yang sentiasa dilihat memenuhi prestasi yang diharapkan. Kecekapan LHDNM melaksanakan fungsinya hari ini adalah bukti kepada keputusan yang tepat untuk mengubah status LHDNM daripada jabatan kepada lembaga 25 tahun yang lalu.

22. Perkara ini diteruskan lagi menerusi kejayaan LHDNM merekodkan jumlah kutipan cukai tahun lalu pada angka RM123.092 bilion iaitu RM1.392 bilion atau 1.14 peratus lebih tinggi daripada sasaran yang ditetapkan sebanyak RM121.7 bilion yang merupakan semakan sasaran kali ketiga oleh Kementerian Kewangan.

23. Meskipun mendepani suasana ekonomi yang suram serta mencabar, LHDNM sekali lagi telah membuktikan kemampuannya sebagai sebuah organisasi berprestasi tinggi dengan mengadaptasi norma-norma baharu dalam menjalankan operasi percukaiannya.

24. Saya mewakili Kementerian Kewangan mengucapkan syabas dan tahniah kepada LHDNM dan seluruh Hasilian kerana tuan-tuan dan puan-puan telah berjaya mengharungi segala rintangan dan cabaran semasa dengan cekal dan penuh dedikasi.

25. Saya percaya pihak Anggota Lembaga LHDNM dan Pengurusan Tertinggi LHDNM telah melakukan perancangan yang rapi dan berkesan dalam hal ini.

26. Kejayaan memperolehi jumlah kutipan cukai disasarkan ini membuktikan bahawa walaupun dalam suasana pandemik masih terdapat industri-industri yang tidak terjejas, malah ada yang mendapat keuntungan besar kesan daripada pandemik tersebut.

27. Namun begitu, kita bersyukur mereka ini telah memainkan peranan dengan baik, menyumbang dalam bentuk cukai yang dibayar demi menstabilkan kembali ekonomi negara.

28. Saya yakin masih terdapat banyak ruang-ruang yang boleh diterokai oleh LHDNM bagi meningkatkan lagi prestasi kutipan dengan memperluaskan jaringan pembayar cukai yang berpotensi (potential taxpayer), mengenal pasti industri-industri dan sektor-sektor tertentu yang selama ini menjauhkan diri dari radar LHDNM.

29. Mudah-mudahan, dengan meneroka peluang-peluang baharu, sasaran kutipan yang disasarkan oleh pihak kerajaan kepada LHDNM pada tahun 2021 ini yang berjumlah RM 143.9 bilion dapat dicapai.

30. Adalah penting di sini untuk LHDNM meletakkan dirinya dalam kelompok essential services kepada negara dan saya menyokong sepenuhnya kedudukan LHDNM sebagai salah satu agensi yang disenaraikan sebagai essential services dalam menghadapi krisis kesihatan ini. Justeru, keputusan Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM dan barisan Pengurusan Tertinggi LHDNM untuk beroperasi pada kapasiti 100 peratus dalam tempoh PKP amatlah saya alu-alukan, lebih-lebih lagi dalam usaha memastikan operasi kutipan cukai dapat dilaksanakan seperti yang dirancang.

31. Sungguhpun LHDNM beroperasi dengan kehadiran Hasilian pada kadar 100 peratus, saya difahamkan bahawa fleksibiliti dan kemudahan untuk bertugas di rumah tetap diberikan kepada Hasilian yang menghadapi masalah kesihatan atau kekangan penjagaan anak.

32. Malah, mana-mana bahagian atau Hasilian yang boleh melaksanakan tugasan yang diberikan di rumah, tanpa menjejaskan
mutu perkhidmatan atau dapat mencapai tahap produktiviti yang sama seperti bekerja di pejabat adalah dibenarkan untuk bertugas sepenuhnya dari rumah. Saya difahamkan salah satu jabatan yang mempunyai fleksibiliti ini adalah Jabatan Teknologi Maklumat, di mana sebahagian besar pegawai bertugas dari rumah kerana mempunyai akses kepada peranti dan infrastruktur serta skop tugasan yang dilaksanakan boleh dibuat dari rumah.

33. Oleh itu, saya berharap Hasilian akan terus fokus dan komited dalam menjalankan amanah yang telah diberikan kerana kelangsungan kewangan negara bergantung kepada kebolehan Hasilian melunaskan tugasan dan amanah yang diberikan.

34. Kecekapan dan keberkesanan melaksanakan fungsi akan mengelakkan negara daripada terjerumus dalam langkah-langkah penjimatan kerajaan atau ‘austerity measures’ seperti yang pernah berlaku di negara lain akibat kegagalan sistem percukaian dalam menjamin kedudukan kewangan negara.

35. Saya juga pasti, LHDNM telah pun menyusun, mengatur dan mengenal pasti strategi-strategi percukaian bagi mencapai sasaran tersebut atau memperolehi jumlah yang lebih dari itu, lebih-lebih lagi bulan pembayar cukai melaporkan cukai akan bermula tidak lama lagi.

36. Harapan besar kerajaan juga diletakkan kepada LHDNM dalam melancarkan pakej-pakej bantuan kepada golongan sasar. Dalam hal ini, saya ingin menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada LHDNM kerana telah berjaya menguruskan Bantuan
Sara Hidup Rakyat (BSH), Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan Geran Khas Prihatin (GKP) serta yang terkini Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dengan begitu baik.

37. LHDNM telah membuktikan bahawa organisasi ini bukan hanya berkemampuan mengutip cukai kepada mereka yang layak dikenakan cukai, tetapi mereka sentiasa bersedia melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh kerajaan dengan cekap dan berkesan.

38. Dengan berpegang kepada lima nilai teras LHDNM iaitu ‘happy, teamwork, professionalism, integrity dan excellence’, saya yakin LHDNM mampu memberikan penyampaian perkhidmatan bertaraf lima bintang. Jika penyampaian perkhidmatan yang diberikan tuan- tuan dan puan-puan kepada rakyat adalah bagus, maka positiflah pandangan rakyat kepada pihak kerajaan

D. SAMBUTAN HARI HASIL KE-25 LHDNM 2021

Hasilian yang dihormati sekalian,

39. Sebagaimana makluman Yang Berbahagia Dato’ Sri sebentar tadi, bersempena Hari Hasil Ke-25 pada kali ini, pelbagai program dan pengisian telah direncanakan. Mudah-mudahan segala yang dirancangkan ini berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan.

40. Saya juga dimaklumkan dalam sambutan Hari Hasil Ke-25 pada kali ini, terdapat beberapa anugerah yang akan diberikan iaitu Anugerah

41. Pembayar Cukai Terbaik Tahun 2020 dan juga Anugerah Most Outstanding Hasilian 2020.

  1. KLCC (HOLDINGS) SDN BHD (KLCC (HOLDINGS) BERHAD);
  2. PETRONAS LNG SDN BHD;
  3. AEON CO.(M) BHD (JAYA JUSCO STORES BHD);
  4. NESTLE MANUFACTURING (M) SDN BHD;
  5. MATRIX CONCEPTS (NS) SDN. BHD.;
  6. GASMALAYSIADISTRIBUTIONSDN.BHD.; g) APPLE MALAYSIA SDN. BHD.; dan
  7. NIPPON PAINT (MALAYSIA) SDN BHD

42. Anugerah Most Outstanding Hasilian 2020 dinobatkan kepada:

  1. Encik Harris Ahmad Rosli – Jabatan Percukaian Antarabangsa;
  2. Puan Arbasiah Ankong – Jabatan Teknologi Maklumat;
  3. Dr Rasyidah Che Rosli – Jabatan Operasi Cukai;
  4. Encik Iqbal Abdollah – Pejabat Pengarah Negeri Sarawak; dan
  5. Puan Norhayati Mat Nor – Cawangan Pembayar Cukai Besar


43. Tahniah kepada semua penerima-penerima anugerah ini. Semoga kecemerlangan yang telah diterima turut memberi motivasi kepada rakan pembayar cukai dan juga kepada rakan-rakan Hasilian yang lain.


E. PENUTUP


44. Akhir kata, sebelum saya mengakhiri ucapan saya ini, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada:

  • Yang Berbahagia Dato' Asri Bin Hamidon, Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi Anggota Lembaga,
  • Semua Anggota Lembaga LHDNM,
  • Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Sabin Bin Samitah dan Pengurusan Tertinggi LHDNM; dan
  • Semua Hasilian kerana telah menjalankan tugas dengan
    penuh amanah, dedikasi dan komitmen yang tinggi dalam mengutip hasil negara.


45. Terima kasih juga kepada jawatan kuasa penganjur Majlis Sambutan Hari Hasil Ke-25. Semoga sambutan Hari Hasil ke 25 tahun ini akan menyemarakkan lagi semangat dan usaha Hasilian mencapai kecemerlangan dan RM 143.9 bilion berada dalam genggaman kelak.

Buah keranji buah berangan
Bergolek laju di dalam sampan
Ayuh Hasilian teruskan sokongan
Bekerja keras tingkatkan kutipan

46. Dengan lafaz Bismilahirahmanirrahim saya dengan sukacitanya merasmikan Sambutan Hari Hasil Ke-25 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia Tahun 2021.

Sekian, terima kasih.


YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
1 Mac 2021

Arkib Koleksi Ucapan

Logo Accessibility