Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Ucapan

Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan Bersama-Sama Menteri Kewangan II Bilangan VI

Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan Bersama-Sama Menteri Kewangan II Bilangan VI

Bismillahirahmanirrahim

YBhg. Dato' Sri Ab Rahim bin Ab Rahman
Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan),

Ketua-ketua Jabatan dan Agensi Kementerian Kewangan,

Seluruh warga MOF yang saya hormati,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan
Salam Malaysia MADANI.

  1. Syukur Alhamdulillah, kita dapat berkumpul pada pagi ini dalam suasana yang tenang dan selesa. Dengan kuasa Allah yang Maha Esa dan dengan limpah rahmat-Nya juga negara kita terus aman damai, sejahtera dan makmur.

  2. Sukacita saya dahulukan dengan ucapan Selamat Hari Pekerja, yang merupakan satu penghormatan kepada dedikasi, usaha dan semangat luar biasa setiap insan yang terus menyumbang kepada pembangunan negara.

  3. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kementerian atas dedikasi, integriti dan disiplin yang berterusan demi menggalas amanah dan tanggungjawab yang diberikan.

Warga MOF yang saya hormati sekalian,

  1. Dua bulan telah berlalu dan konflik Asia Barat masih tidak kelihatan penghujungnya. Gencatan senjata dan rundingan damai masih belum mencapai penyelesaian yang diharapkan. Justeru, konflik ini terus memberi tekanan kepada rantaian bekalan dan tenaga seluruh dunia.

  2. Sejak dari awal krisis ini, Kerajaan telah mengambil pendekatan untuk meningkatkan kefahaman rakyat terhadap kedudukan ekonomi negara dan implikasinya.

  3. Dalam menangani krisis bekalan global ini, negara kita berada dalam situasi yang unik. Pada awal tahun ini Malaysia melangkah masuk tahun 2026 dengan momentum pertumbuhan ekonomi yang amat memberangsangkan disokong oleh permintaan domestik yang baik, pengembangan eksport yang membanggakan, inflasi yang terkawal, pengangguran yang rendah, serta prestasi ringgit yang muncul sebagai matawang terbaik Asia.

  4. Malah menurut DOSM pada 17 April lalu, Anggaran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Awalan Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.3 peratus pada suku tahun pertama 2026, masih lagi menunjukkan prestasi yang baik.

  5. Keadaan ini berlaku kerana sejak tiga tahun yang lalu Malaysia telah mengamalkan dasar-dasar penting seperti kerangka Ekonomi MADANI, RMK-13 yang dapat memacu ekonomi, dan pada masa yang sama meletakkan disiplin fiskal yang ketat.

  6. Penyasaran subsidi, antara dasar penting yang telah membina ruang fiskal, yang ternyata dapat membantu negara menyerap kejutan ekonomi yang berlaku pada hari ini.

  7. Namun begitu, kita tidak boleh leka. Tanggungan subsidi yang semakin tinggi akibat harga minyak yang melambung, mendesak kita melihat semula apakah usaha yang dapat kita lakukan supaya ekonomi negara kekal berdaya tahan.

  8. PETRONAS dan syarikat-syarikat minyak yang lain telah menjamin bekalan minyak mencukupi di seluruh negara sehingga hujung Julai, sekali gus memastikan ekonomi negara tidak terganggu.

  9. Kita harus jelas, bahawa Malaysia berdepan dengan krisis bekalan, maka Kerajaan mengambil pendekatan bantuan bersasar terhadap sektor yang terkesan akibat langsung dari krisis ini.

  10. Kerajaan bertindak secara proaktif dengan menaikkan bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Individu daripada 200 ringgit kepada 400 ringgit sebulan yang telah disalurkan pada 21 April lalu. Inisiatif ini dinikmati oleh lebih daripada 200,000 petani dan pekebun kecil dan 150,000 pemilik kenderaan diesel.

  11. Bagi melindungi lebih 60,000 orang pesawah Kerajaan MADANI juga telah menaikkan Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) kepada 300 ringgit sehektar semusim bagi musim penanaman 2026, berbanding 160 ringgit sebelum ini.

  12. Bagi sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas termasuk pembinaan, pertanian dan agro-komoditi, logistik dan pengangkutan serta pelancongan, Kerajaan telah menyediakan sokongan yang bernilai 10 bilion ringgit, iaitu
  • Pertama: Kemudahan Bantuan Penstabilan PKS Bank Negara sebanyak 5 bilion ringgit yang menawarkan pembiayaan sehingga 750,000 ringgit dengan tempoh sehingga lima tahun, pada kadar 3.75 peratus setahun
  • Kedua: Jaminan Pembiayaan SJPP sebanyak 5 bilion ringgit dengan liputan dipertingkatkan kepada 80 peratus berbanding 70 peratus sebelum ini.
  1. Selain itu, Kerajaan juga memberikan pelonggaran e-invois dengan tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan bagi pelaksanaan e-Invois Fasa 4 sehingga 31 Dis 2027 untuk perniagaan dengan jualan tahunan antara 1 juta hingga 5 juta ringgit, termasuk kebenaran mengeluarkan e-invois disatukan tanpa penalti dalam tempoh itu.

  2. Usaha ini dilihat memberikan sokongan kewangan yang lebih baik berbanding dengan moratorium pukal yang hanya akan memanjangkan tempoh bayaran balik pinjaman.

  3. Pada masa yang sama, usahawan PMKS yang terkesan digalakkan untuk tampil berbincang dengan bank-bank bagi mendapatkan sokongan kewangan yang bersesuaian dengan keperluan masing-masing.

  4. Kerajaan mengakui ikhtiar ini lebih merupakan sokongan talian hayat, dan bank-bank telah pun menyatakan persetujuan mereka untuk memberi kelonggaran dan fleksibiliti kepada usahawan-usahawan yang terkesan.

  5. Saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada Bank Negara supaya menyebarkan maklumat dan menggalakkan bank-bank untuk memberi sokongan dan kemudahan kewangan kepada sektor PMKS yang memerlukan.

Warga MOF yang dihormati sekalian,

  1. Bahang konflik ini semakin dirasai dalam ekonomi negara kita dan saya meminta semua warga MOF untuk mengambil serius berhubung perkara ini.

  2. Kita harus bersikap “sediakan payung sebelum hujan”. Kita sudah pun nampak awan mendung, inilah masanya bagi kita melipat gandakan usaha bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam melindungi rakyat dan memelihara ketahanan ekonomi negara.

  3. Pada minggu lepas, MOF telah mengeluarkan panduan kepada Kementerian dan Agensi untuk menyusun semula keutamaan perbelanjaan mengurus, selaras dengan cabaran krisis bekalan global dan tanggungan subsidi yang meningkat.

  4. Langkah ini merupakan sebahagian daripada pendekatan pengurusan fiskal yang berhemat bagi mengoptimakan sumber Kerajaan supaya dapat melindungi rakyat dan ekonomi secara berterusan. Justeru saya ingin mengingatkan warga MOF supaya mengambil berat perkara ini.

  5. Jika kita ingin semua pihak memberi kerjasama yang baik, maka kitalah yang harus memulakan langkah penjimatan dahulu. Kitalah yang harus menjadi contoh dalam melaksanakan pelarasan perbelanjaan mengurus, daripada yang sekecil-kecilnya seperti penyediaan kuih-muih semasa mesyuarat sehinggalah kepada perolehan projek yang tidak bersifat kritikal.

  6. Warga MOF harus peka terhadap apa yang penting dan segera, serta apa yang yang boleh ditangguhkan dan dijimatkan. Kebijaksanaan mengurus keutamaan ini dapat memanjangkan sumber negara. Realitinya tiada sesiapapun yang boleh meneka berapa lamakah krisis ini akan berlaku.

  7. Apa yang kita boleh buat pada masa ini adalah:

• Pertama: Elakkan pembaziran
• Kedua: Bersederhana dan berhemat dalam perbelanjaan 10
• Ketiga: Menguruskan keutamaan

  1. Ketiga-tiga langkah ini adalah perisai yang akan melindungi rakyat dan negara dalam menghadapi implikasi krisis bekalan global ini. Sekali lagi saya menyeru kepada warga MOF supaya memandang serius terhadap implikasi krisis dan bersegera untuk bersiapsiaga menghadapinya.

Warga MOF yang dihormati sekalian,

  1. Peranan MOF dalam menghadapi krisis bekalan global ini amat penting sekali. Apa yang kita putuskan pada hari ini akan memberi kesan jangkamasa panjang kepada negara dan rakyat.

  2. MOF akan terus berusaha secara proaktif dan berterusan untuk meluaskan ruang fiskal dan memanjangkan sumber negara supaya Kerajaan dapat terus menyokong keperluan rakyat dan menjamin ketahanan ekonomi negara.

  3. MOF harus mengukuhkan disiplin kewangan melalui langkah penjimatan yang lebih ketara. Matlamatnya jelas, apabila negara berhadapan dengan sebarang kejutan ekonomi atau tekanan kos yang lebih hebat di masa hadapan, kita perlu mempunyai simpanan yang mencukupi untuk melindungi rakyat dan memelihara kestabilan ekonomi negara.

  4. Proses penjimatan ini bukan bertujuan untuk menyekat fungsi agensi, tetapi untuk memastikan kita mempunyai kemampanan kewangan. Apabila keadaan menuntut kita untuk melakukan intervensi segera atau menyalurkan bantuan tambahan, simpanan yang kita bina daripada usaha proaktif inilah yang akan menjamin kelangsungan operasi Kerajaan.

  5. Akhir kata, besarlah harapan saya untuk melihat perubahan segera dalam kalangan warga MOF dari pengurusan tertinggi kepada pasukan pelaksana. Oleh itu semua warga MOF harus berjiwa besar untuk menggalas amanah dan tanggungjawab ini demi masa depan negara dan rakyat.

Sekian.
Wabillahitaufik walhidayah, wassalamualaikum warrahmatullahi wabarakatuh.


Tarikh : 4 Mei 2026 (Isnin) 
Masa : 8.00 pagi
Tempat : Dewan Utama, Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya

↓ Muat turun: Teks-Ucapan-Majlis-Perhimpunan-Warga-Kementerian-Kewangan-Bersama-Sama-Menteri-Kewangan-II-Bilangan-VI

Arkib Koleksi Ucapan

Logo Accessibility