Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Ucapan

Majlis Persaraan Perbendaharaan Tahun 2017

Majlis Persaraan Perbendaharaan Tahun 2017

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN HAJI ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN

SEMPENA

MAJLIS PERSARAAN PEGAWAI-PEGAWAI KEMENTERIAN KEWANGAN

22 FEBRUARI 2017


Bismillahirrahmannirrahim

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Yang Berhormat Datuk Haji Johari Abdul Ghani
Menteri Kewangan II

Yang Berhormat Dato’ Wira Othman Aziz
Timbalan Menteri Kewangan I

Yang Berhormat Dato’ Lee Chee Leong
Timbalan Menteri Kewangan II

YBhg Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah
Ketua Setiausaha Perbendaharaan

Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan

Pegawai-pegawai Kanan Perbendaharaan

Para Pesara yang diraikan

Para tetamu jemputan dan para media

Tuan/Puan hadirin sekalian,

  1. Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT di atas limpah dan kurniaNya dapat kita berhimpun bersama pada petang ini untuk meraikan persaraan pegawai-pegawai Kementerian Kewangan daripda pelbagai jawatan dan gred bagi tempoh dari pertengahan Disember 2015 sehingga 31 Disember 2016.

  2. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan dan setiap perpisahan itu amat menyedihkan. Perjumpaan kita pada petang ini diharap akan membangkitkan semula pengalaman manis sepanjang berkhidmat di Kementerian ini walaupun ada kalanya jua diuji dengan pengalaman pahit namun berharga.

  3. Pengalaman menjadikan kita matang, pengalaman mengajar kita erti kehidupan, pengalaman membuatkan kita menjadi orang yang lebih tabah dan sabar dan pengalaman juga menjadi guru kita menempuh segala rintangan dan cabaran. Untuk mencipta pengalaman pahit manis itu, kita mesti melalui dan menghadapinya dengan semangat yang kental dan tabah.

  4. Saya percaya itulah yang berlaku kepada tuan-tuan semua dan saya menyeru kepada warga Kementerian yang baru mahupun yang lama, mengambil iktibar dan contoh dari veteran ini selok belok kehidupan dalam alam pekerjaan. Dalam zaman teknologi serba canggih dan mencabar ini, pelbagai perkara kita boleh petik di hujung jari tetapi tentunya tidak sama dengan pengalaman realiti yang dihadapi oleh para pesara kita.

Tuan/Puan hadirin sekalian,

  1. Syabas atas segala khidmat bakti dan komitmen yang diberikan selama ini dalam perkhidmatan awam dan juga demi Negara tercinta. Pada majlis petang ini, saya bagi pihak Kementerian Kewangan mengambil kesempatan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang diberikan sepanjang berkhidmat di sini.

  2. Segala sumbangan dan pengorbanan tuan/puan untuk sama-sama membangunkan Kementerian akan sentiasa dikenang. Sehubungan itu, dalam Bajet 2017 Kerajaan juga tidak melupakan golongan pesara untuk menikmati bersama bayaran khas kepada pesara Kerajaan sebanyak RM250 di samping inisiatif-inisiatif lain yang boleh dinikmati atau diceburi atau diambil kesempatan untuk mengisi masa dan ruang dalam tempoh persaraan ini.

  3. Dunia persaraan memberikan pelbagai konotasi kepada penjawat awam. Kita yang masih bertugas juga akan menghadapi dunia persaraan suatu hari nanti. Cuma mungkin cara kita menghadapi dunia persaraan ini yang berbeza. Ada yang suka dan mungkin ada yang tidak ingin menghadapinya. Ada yang telah bersedia dengan pelbagai program untuk menempuh dunia persaraan. Ada yang betul-betul memanfaatkan dunia persaraan dengan mengisinya bersama keluarga tercinta kerana semasa bekerja kita jarang meluangkan masa bersama keluarga kerana komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap tugas kita. Ada yang masih lagi menggunakan kemampuan diri dengan menyumbang khidmat bakti ke bidang lain seperti dunia politik, penulisan, khidmat masyarakat dan tidak kurang juga yang memenuhi hari tua mengisinya dengan ilmu keagamaan.

  4. Bak kata kebanyakan orang yang telah bersara, kehidupan selepas bersara terasa bebas. Tidak terikat lagi dengan temujanji, mesyuarat, pasukan petugas, lawatan, majlis makan malam, bengkel, seminar, majlis berbuka puasa, perhimpunan bulanan, hari inovasi dan sebagainya. Selain dari itu, tidak perlu pakai tali leher, kot, stoking, tanda nama, kejar kad perakam waktu dan lain-lain. Kita boleh dan dapat melakukan apa sahaja (yang dibenarkan oleh agama dan undang-undang) yang sebelum ini tidak dapat hendak dibuat. Namun begitu tugas asas sebagai ketua keluarga, suami/isteri dan ayah/ibu kepada anak-anak serta tanggungjawab sebagai penduduk/rakyat negara tetap juga perlu dipikul.

  5. Walaupun Kementerian kehilangan tenaga dan sumbangan tuan/puan tetapi sumbangan tuan/puan tidak berakhir di sini. Saya berharap tuan/puan akan mengisinya sebaik mungkin.

  6. Walau apa pun aktiviti atau bidang yang tuan/puan pilih, saya berharap tuan/puan akan terus menjalani kehidupan harian yang lebih bahagia dan membahagiakan kepada diri sendiri, keluarga serta terus menyumbang kepada agama, masyarakat dan Negara.

Tuan/Puan hadirin sekalian,

  1. Akhir sekali, marilah kita sama-sama berdoa agar tuan/puan akan sentiasa sihat sejahtera bersama keluarga tercinta. Semoga kebahagiaan dan kejayaan mengiringi persaraan tuan/puan. Sekali lagi, terima kasih di atas khidmat bakti kalian dan selamat menempuh hari persaraan.

Sekian terima kasih.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Kementerian Kewangan Putrajaya
22 Februari 2017

Arkib Koleksi Ucapan

Logo Accessibility