Pembentangan Rang Undang-Undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 2021
Datuk Yang Di Pertua,
- Cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2021 dibentangkan bagi memperoleh kelulusan untuk meningkatkan had siling perbelanjaan di bawah Kumpulan Wang COVID-19 (KWC-19) daripada 65 bilion ringgit kepada 110 bilion ringgit, serta untuk menaikkan had statutori hutang semasa daripada 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada 65 peratus.
- Saya ingin menekankan betapa pentingnya pindaan RUU ini dan keperluan untuk meningkatkan had hutang statutori tersebut. Ini adalah kerana kedua-dua perkara ini akan menentukan kesinambungan kepada usaha bersama kesemua ahli Dewan dalam memelihara kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi.
- Paling utama, ia akan memastikan sokongan berterusan disampaikan kepada semua pihak, khususnya supaya golongan B40 dan Keluarga Malaysia yang terkesan mendapat bantuan bagi meringankan beban mereka. Ia juga bertujuan untuk mengukuhkan sistem kesihatan awam terutamanya bagi membendung penularan wabak COVID-19 serta merawat pesakit COVID-19, dan menyokong kelangsungan perniagaan, terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta PKS mikro. Selain daripada mengukuhkan keadaan ekonomi negara yang kian pulih susulan kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), pindaan RUU dan peningkatan had hutang statutori tersebut juga akan menjadi pembuka kepada peruntukan Bajet 2022 yang berpaksikan kesejahteraan Malaysia, di lakari oleh kepelbagaian jenis perniagaan dan aktiviti ekonomi.
Datuk Yang Di-Pertua,
- Semenjak pandemik COVID-19 melanda negara, Kerajaan telahpun melaksanakan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah 530 bilion ringgit. Ini merangkumi kedua-dua langkah fiskal dan bukan fiskal, dan telah memanfaatkan lebih 20 juta rakyat, serta 2.4 juta perniagaan.
- Dengan lebih dari 450 program dan inisiatif melalui kesemua pakej ini, saya akui bahawa masih terdapat ruang untuk penambah baikan. Oleh itu, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas nasihat dan teguran yang telah diberikan oleh kesemua ahli Dewan, tidak kira dari barisan Kerajaan mahupun pembangkang. Walaupun kita berbeza pendapat, tetapi di saat getir apabila rakyat memerlukan, segala perbezaan perlu diketepikan demi menangani pandemik ini secara bersama dalam membawa kembali sinar kepada Keluarga Malaysia.
- Oleh itu, saya percaya, pada hari ini, sekali lagi kita akan berjaya untuk melakar sejarah seperti yang dibuktikan melalui persefahaman yang dicapai melalui Memorandum Persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik, bekerjasama ke arah pentadbiran negara yang mengutamakan kesejahteraan rakyat serta kemajuan ekonomi negara.
Datuk Yang di-Pertua,
- Hampir 13 bulan yang lalu, semangat muafakat kesemua ahli Dewan Yang Mulia ini terserlah apabila kita berjaya meluluskan RUU KWC- 19 yang pertama bernilai 45 bilion ringgit pada September 2020, disusuli oleh persetujuan untuk meminda had siling tersebut daripada 45 bilion ringgit kepada 65 bilion ringgit pada Disember 2020.
- Had siling yang ditingkatkan pada waktu itu bertujuan untuk membiayai empat pakej pertama, iaitu PRIHATIN, PRIHATIN PKS Tambahan, PENJANA dan KITA PRIHATIN, serta sebahagian dari langkah Belanjawan 2021.
- Namun, pada awal tahun ini, negara kita masih berdepan dengan pandemik COVID-19. Sebagai langkah segera dan proaktif, Kerajaan telah melaksanakan empat pakej bantuan dan rangsangan ekonomi iaitu PERMAI, PEMERKASA, PEMERKASA Tambahan dan PEMULIH bagi mengurangkan impak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan ketika itu.
- Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat, keempat-empat pakej tersebut memerlukan tambahan peruntukan sejumlah 27 bilion ringgit. Justeru, pindaan RUU dan peningkatan had hutang statutori adalah penting bagi memenuhi komitmen tersebut, serta untuk membiayai langkah yang seterusnya bagi tahun ini dan 2022 dalam memastikan momentum pemulihan negara dapat diteruskan.
- Ingin saya menekankan bahawa berdasarkan kedudukan semasa KWC-19, Kementerian Kewangan mengunjurkan bahawa peruntukan tahun ini tidak mencukupi untuk membiayai pakej-pakej tersebut. Ini adalah kerana sejumlah 60 bilion ringgit telah dibelanjakan, dan baki siling setakat hujung September 2021 adalah berjumlah 5 bilion ringgit sahaja.
- Mengambilkirakeperluantambahantersebut,sertaprestasiekonomi dan had statutori hutang bagi tahun ini dan 2022, adalah wajar supaya Akta 830 dipinda untuk menampung peningkatan had siling KWC-19 kepada 110 bilion ringgit. Seperti yang saya nyatakan tadi, ini melibatkan pindaan Akta 830 supaya had statutori hutang ditingkatkan kepada 65 peratus daripada KDNK, berbanding 60 peratus sebelum ini, untuk membiayai perbelanjaan tambahan KWC- 19 sejumlah 45 bilion ringgit, serta pelaksanaan projek pembangunan Rancangan Malaysia ke-12 (atau RMKe-12).
- Namun, dalam jangka masa sederhana, Kerajaan masih komited terhadap langkah konsolidasi fiskal yang digariskan di bawah RMKe-12, dengan defisit disasarkan berkurang kepada 3.5 peratus berbanding KDNK menjelang 2025.
Datuk Yang Di-Pertua,
- Secara keseluruhannya, Rang Undang-Undang ini merangkumi tiga fasal seperti berikut:
- Fasal 1 adalah tajuk ringkas Akta yang dicadangkan;
- Fasal 2 bertujuan untuk meminda subseksyen 3(1) Akta 830 untuk menaikkan had amaun bagi jumlah amaun wang yang boleh diperdapatkan di bawah Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 [Akta 637] dan jumlah amaun wang yang boleh diterima oleh Kerajaan di bawah Akta Pendanaan Kerajaan 1983 [Akta 275] daripada enam puluh peratus (60%) daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia kepada enam puluh lima peratus (65%). Kenaikan ini diperlukan bagi membiayai tambahan kepada jumlah amaun Kumpulan Wang COVID-19 daripada enam puluh lima bilion ringgit (RM65 bilion) kepada satu ratus sepuluh bilion ringgit (RM110 bilion) bagi program-program yang disenaraikan dalam Jadual kepada Akta 830; dan
- Fasal 3 bertujuan untuk meminda Jadual kepada Akta 830 untuk mengadakan peruntukan bagi amaun tambahan untuk program dalam butiran 1, 2, 3, 6, 7, 8 dan 19 di bawah pakej rangsangan ekonomi dan pelan pemulihan ekonomi, serta meminda jumlah keseluruhan amaun yang diperuntukkan bagi semua program.
Datuk Yang di-Pertua,
- Anggaran Perbelanjaan Tambahan yang dipohon untuk diluluskan di bawah Fasal 3 RUU yang dibentangkan ini adalah sebanyak empat puluh lima bilion ringgit (RM45 bilion), yang boleh diringkaskan pecahannya seperti berikut:
- Pertama, sebanyak dua belas perpuluhan tujuh bilion ringgit (RM12.7 bilion) bagi menampung peruntukan tambahan Program Subsidi Upah dari 18.3 bilion ringgit kepada 31 bilion ringgit melalui pakej PEMERKASA, PEMERKASA Tambahan dan PEMULIH;
- Kedua, sebanyak lima belas perpuluhan lapan bilion ringgit (RM15.8 bilion) bagi menampung peruntukan tambahan Bantuan Prihatin Nasional dari 25.2 bilion ringgit kepada 41 bilion ringgit, mengambilkira kelulusan rayuan serta peningkatan pemberian di bawah PEMERKASA dan PEMERKASA Tambahan;
- Ketiga, sebanyak dua bilion ringgit (RM2 bilion) untuk meningkatkan peruntukan Projek Berskala Kecil bagi kontraktor-kontraktor kecil kelas G1 hingga G4 dari 4 bilion ringgit kepada 6 bilion ringgit, selaras dengan hasrat Kerajaan untuk meningkatkan aktiviti ekonomi sekaligus menjana ekonomi negara;
- Keempat, sebanyak tiga perpuluhan enam bilion ringgit (RM3.6 bilion) bagi penambahan peruntukan Geran PRIHATIN PKS dari 2.4 bilion ringgit kepada 6 bilion ringgit, mengambil kira perluasan inisiatif ini pada tahun 2021 melalui pakej PERMAI, PEMERKASA dan PEMERKASA Tambahan;
- Kelima, sebanyak satu bilion ringgit (RM1 bilion) bagi peningkatan had amaun bagi Pinjaman Mikro Kredit di bawah Bank Simpanan Nasional dan TEKUN Nasional, serta pindaan nama kepada Pinjaman Mikro Kredit berjumlah 2 bilion ringgit. Ini juga mengambil kira program pinjaman mudah mikro kredit yang diluluskan di bawah agensi lain antaranya SME Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang telah diumumkan di bawah PEMERKASA;
- Keenam, sebanyak empat bilion ringgit (RM4 bilion) untuk meningkatkan Peruntukan Bagi Kementerian Kesihatan bagi Perbelanjaan Berkaitan COVID-19 dari 5 bilion ringgit kepada 9 bilion ringgit. Ini akan memastikan inisiatif yang diumumkan di bawah PEMERKASA Tambahan berkaitan dengan pengukuhan sistem kesihatan awam terutamanya bagi membendung penularan wabak COVID-19 serta merawat pesakit COVID-19 dapat diteruskan; dan
- Ketujuh, sebanyak lima perpuluhan sembilan bilion ringgit (RM5.9 bilion) bagi meningkatkan Sokongan Bantuan Sosial untuk Golongan Mudah Terjejas dari 110 juta ringgit kepada 6.01 bilion ringgit. Peningkatan ini mengambil kira beberapa program atau projek baharu yang diperkenalkan seperti Program Jaringan Prihatin, Subsidi Penstabilan Harga Minyak Masak, Program Prihatin MyKasih, Program Bakul Makanan, Program Klinik Bergerak serta program-program bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi meningkatkan ekonomi golongan rentan.
Datuk Yang Di-Pertua,
- Akhir kata, kelulusan bagi pindaan RUU ini amatlah penting, dan memerlukan sokongan semua ahli Dewan Yang Mulia ini. Semenjak pandemik COVID-19 melanda negara, kesan yang ditinggalkan adalah ketara, dan tidak terhad kepada hanya aspek kesihatan. Ia juga telah menjejaskan kehidupan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.
- Oleh itu, kita tiada pilihan lain selain meneruskan inisiatif kritikal seperti Bantuan Prihatin Nasional serta Geran Khas Prihatin, dan kedua-dua ini dibiayai melalui KWC-19. Kelangsungan program pekerjaan dan perniagaan termasuk Program Subsidi Upah dan Pinjaman Mikro Kredit juga bergantung kepada peruntukan di bawah KWC-19. Sekiranya RUU ini tidak diluluskan, rakyat tidak dapat menerima bantuan dan manfaat untuk bangkit semula selepas mengharungi cabaran pandemik COVID-19 semenjak awal tahun ini. Malah, kesemua butiran yang terkandung di dalam Jadual kepada Akta 830 dikhuatiri tidak dapat dilaksanakan, lantas mengekang penyaluran bantuan yang amat diperlukan oleh Keluarga Malaysia.
- Baru-baru ini juga, negara sudah mula mengorak langkah ke arah pemulihan, dan momentum ini perlu diteruskan. Pasaran saham kita kekal aktif, mencatatkan kemasukan pelaburan asing berjumlah hampir dua bilion ringgit sepanjang bulan Ogos dan September. Selain dari pertumbuhan KDNK yang telah melonjak kepada 7.1 peratus pada separuh pertama tahun ini berbanding penguncupan sebanyak 8.4 peratus sepanjang tempoh yang sama tahun lalu, nilai pelaburan asing langsung, atau dengan izin, FDI juga telah melonjak lebih dari dua kali ganda pada separuh pertama tahun ini. Statistik ini merupakan antara bukti yang menggambarkan keyakinan dan kepercayaan komuniti antarabangsa yang nyata terhadap prospek pertumbuhan dan pemulihan negara.
- Justeru, saya ingin menyeru ahli-ahli Dewan Yang Mulia ini untuk bersama-sama sekali lagi memberi sokongan penuh bagi pindaan RUU ini. Seperti yang dizahirkan pada tahun lepas, saya percaya dan yakin kebijaksanaan serta keprihatinan kesemua ahli Yang Berhormat dapat mengurangkan keluh kesah rakyat yang sentiasa berharap agar sinar perubahan dapat dikecapi dengan segera, terutamanya bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa. Di luar sana tinggi harapan rakyat supaya mereka boleh memulihkan kedudukan kewangan masing-masing dan meneruskan kehidupan seharian seperti biasa.
- Pandemik global Covid-19 ini kita ibaratkan satu samudera penuh gelora, satu petualangan yang cukup mengganas. Namun, negara tetap cekal meredah puncak-puncak gelora yang mengerikan— alpha, beta mahupun delta—dan dengan izin Allah SWT bahtera kita belum terlerai, negara belum tersadai, kita masih di sini. Kini, suara ahli-ahli Yang Berhormat dapat menyuluh jalan di celah awan taufan untuk bahtera negara dan Keluarga Malaysia selamat tiba ke satu muara yang terlindung lagi sejahtera. 21. Datuk Yang Di-Pertua, saya mohon mencadangkan.