TALKING POINTS
YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
MENTERI KEWANGAN
SEMPENA PERHIMPUNAN KHAS BULANAN KEMENTERIAN KEWANGAN
PADA 8 JANUARI 2016 (JUMAAT),
JAM 8.30 PAGI
BERTEMPAT DI DEWAN UTAMA, BLOK TENGAH KOMPLEKS KEMENTERIAN KEWANGAN, PUTRAJAYA
Bismillahhir Rahmanir Rahim.
Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.
Yang Berhormat Dato’ Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah;
Menteri Kewangan II,
Yang Berhormat Dato’ Chua Tee Yong;
Timbalan Menteri Kewangan,
Yang Berbahagia Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah;
Ketua Setiausaha Perbendaharaan,
Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan,
Ketua-ketua Agensi Kementerian Kewangan,
Warga Kementerian Kewangan yang saya hormati sekalian.
ALUAN
- Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua sekali lagi kita dapat berkumpul pada pagi ini di perhimpunan khas bersama Kementerian Kewangan.
- Tahun 2015 sudah pun melabuhkan tirainya. Masih tidak terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baru 2016 kepada semua warga Kementerian.
- Saya kira para penjawat awam sudah pun menerima bayaran bantuan khas RM500 pada 4 Januari 2016. Moga wang tersebut sedikit sebanyak dapat digunakan bagi menampung perbelanjaan persekolahan di awal tahun ini.
- Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi penghargaan kepada mantan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), YBhg. Datuk Dr. Sundaran Annamalai yang telah bertukar dan bertugas sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berkuat kuasa pada 16 Disember 2015 yang lalu. Saya turut mengucapkan terima kasih dan Selamat Bersara kepada YBhg. Datuk Nozirah Bahari, mantan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) yang telah bersara wajib sejak 27 Disember 2015 yang lalu.
- Saya juga bagi pihak Kementerian mengucapkan tahniah dan selamat bertugas kepada YBhg. Datuk Hashmuddin bin Mohammad atas pelantikan beliau sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) yang baharu berkuat kuasa pada 28 Disember 2015 yang lalu. Tahniah sekali lagi diucapkan.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
PRESTASI EKONOMI NEGARA SEKITAR TAHUN 2015
- Kita baru sahaja melepasi tahun 2015 yang amat mencabar berikutan kejatuhan mendadak harga minyak mentah dunia, pengukuhan nilai dolar Amerika dan ketidaktentuan aliran modal. Sebagaimana yang kita sedia maklum, kesemua perkara ini merupakan faktor luaran yang berada di luar kawalan kita. Meskipun berhadapan dengan persekitaran luar yang tidak menentu, negara kita masih berupaya mencatat pertumbuhan ekonomi yang berterusan dalam tempoh sembilan bulan pertama 2015 dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang sebanyak 5.1%.
- Sungguhpun begitu, kita perlu sentiasa menjelas dan menjawab pelbagai isu yang ditimbulkan supaya rakyat tidak terkeliru, di mana keadaan ekonomi kita masih kukuh walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran global seperti kejatuhan harga minyak mentah dunia dan juga komoditi-komoditi seperti minyak kelapa sawit.
CABARAN TAHUN 2016
- Sungguhpun demikian, kita dapat meramalkan tahun 2016 merupakan tahun yang lebih mencabar, terutamanya berikutan:
- Pertama: Kelembapan ekonomi negara China yang merupakan ekonomi kedua terbesar dunia dan rakan dagangan terbesar negara;
- Kedua: Penurunan harga minyak mentah dan komoditi yang berterusan memandangkan ianya bergantung kepada bekalan dan permintaan global. Harga purata minyak mentah Brent telah menjunam daripada USD98.94 setong pada tahun 2014 kepada USD31.58 setong (pb) pada hari semalam (07 Januari 2016). Perkara ini amat membimbangkan ekonomi sedunia, termasuk kita memandangkan unjuran pertumbuhan ekonomi pada tahun 2016 adalah berdasarkan harga purata Brent sebanyak USD48 setong;
- Ketiga: Permintaan global dan perdagangan dunia yang masih lemah;
- Keempat: Keadaan pasaran kewangan terutamanya berikutan normalisasi kadar faedah US Fed akan menjejaskan aliran modal serantau, termasuk Malaysia; dan
- Kelima: Pengukuhan nilai dolar Amerika Syarikat.
- Justeru itu, dalam menangani cabaran yang bakal mendatang untuk tahun 2016 tindakan lebih responsif dan tegas perlu diberi perhatian oleh Kementerian Kewangan. Tahun ini merupakan tahun yang begitu mencabar dan kita perlu menguruskan sumber- sumber dengan cekap dan mencapai tahap optimum. Kita perlu bersiap sedia dan memikirkan cara terbaik untuk memastikan keadaan ekonomi kita mampan.
- Kita mensasarkan ekonomi Malaysia kekal stabil pada tahun 2016, InsyaAllah, kita akan mencatat pertumbuhan KDNK antara 4% hingga 5%. Inflasi dijangka kekal rendah diunjur berada dalam lingkungan 2% hingga 3%. Kerajaan juga kekal komited untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3.1% daripada KDNK pada tahun 2016, manakala tahap hutang Kerajaan Persekutuan dijangka kekal terkawal dalam had berhemat 55% daripada KDNK.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
PENCAPAIAN KEMENTERIAN KEWANGAN 2015
(I) STRATEGI LAUTAN BIRU KEBANGSAAN (NBOS)
- Usaha meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan Awam melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau NBOS telah dan akan terus dilaksanakan. Bersandarkan prinsip “high impact, low cost, rapid execution”, NBOS telah banyak menyumbang kepada pelaksanaan program-program berunsurkan “People Economy”, khususnya yang membawa faedah besar kepada rakyat Malaysia. Sepanjang tahun 2015 lalu, kita telah melihat beberapa inisiatif NBOS di bawah Kementerian Kewangan telah membuahkan hasil yang mantap.
- Sebagai contoh, Urban Transformation Centre atau UTC. Saya dimaklumkan bahawa seramai 10.382 juta orang telah mendapat perkhidmatan di semua 10 buah UTC yang sedia ada. InsyaAllah, bagi tahun 2016 ini, kita akan lihat lapan UTC akan siap sepenuhnya antaranya UTC Labuan, UTC Sungai Petani Kedah, UTC Miri dan Sibu Sarawak dan UTC Kelantan akan siap.
- Melalui Mobile CTC pula, saya dimaklumkan bahawa hampir 200 ribu orang penduduk pedalaman telah mendapat perkhidmatan. Sebanyak 77 daripada 60 sasaran program Mobile CTC bagi tahun 2015 telah berjaya dilaksanakan.
- Salah satu teras Bajet 2014 dan Bajet 2015 adalah sektor keusahawanan. Melalui NBOS, Kementerian KewangaProgram susulan seperti Program “Bumipreneurs for Tomorrow” atau BAHTERA yang menyasarkan penglibatan semua peringkat usahawan dan komuniti perniagaan Bumiputera. Pendekatan ini ternyata telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dengan kehadiran lebih 15,000 orang peserta. InsyaAllah pada tahun 2016 ini, program BAHTERA akan menyelurusi ke setiap rantau negara.
- Selanjutnya, mengambil peluang Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, Kementerian Kewangan sekali lagi menganjurkan 1ASEAN Entrepreneurship Summit atau 1AES. Menerusi program ini ia telah mewujudkan peluang-peluang seperti lebih USD100 juta nilai perjanjian, 28 new games IP (harta intelektual), dan banyak lagi. Malah, kita mendapat jemputan untuk melaksanakan 1AES di Laos.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
(II) PERALIHAN BAHAGIAN PINJAMAN PERUMAHAN (BPP) KEPADA LEMBAGA PEMBIAYAAN SEKTOR AWAM (LPPSA)
- Kerajaan telah mengambil inisiatif memperbadankan Bahagian Pinjaman Perumahan (BPP) kepada Lembaga Pembiayaan Sektor Awam (LPPSA) bermula 1 Januari 2016. Seperti kita sedia maklum, LPPSA telah mengambil alih fungsi pengurusan pinjaman perumahan Kerajaan. Ingin saya tegaskan di sini, peralihan ini tidak melibatkan sebarang dasar baharu dan perubahan terma Skim Pinjaman Perumahan. Kemudahan yang dinikmati oleh penjawat awam seperti jumlah kelayakan pinjaman, kadar faedah ke atas pinjaman perumahan iaitu sebanyak 4 peratus dan kemudahan-kemudahan lain adalah dikekalkan.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
(III) PENARAFAN 4 BINTANG PENGAUDITAN INDEKS AKAUNTABILITI TAHUN 2014
- Saya juga ingin mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua Warga Kementerian atas penarafan 4 bintang dalam Pengauditan Indeks Akauntabiliti bagi Tahun 2014. Ini menunjukkan bahawa Kementerian Kewangan mampu untuk menguruskan kewangan dengan cekap, teratur dan berintegriti.
(IV) HARI TERBUKA MOF
- Di samping itu, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada warga Kementerian Kewangan di atas kejayaan menganjurkan Hari Terbuka MOF yang telah diadakan pada 15 Disember 2015 yang lalu. Saya dimaklumkan lebih 10,500 pengunjung yang telah hadir pada hari tersebut. Ini merupakan antara kejayaan kita bagi tahun 2015. Menerusi program seumpama ini, kita berjaya mengukuhkan lagi jaringan dan hubungan antara Kerajaan dan rakyat.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
PERKEMBANGAN PELAKSANAAN CUKAI BARANG DAN PERKHIDMATAN (GST)
- GST kini telah mencapai 9 bulan pelaksanaannya. Jika diimbau secara keseluruhannya, hasil kutipan bersih GST sehingga Disember 2015, diunjurkan sebanyak RM27.126 bilion (kutipan kasar sebanyak RM37.67 bilion) dan kutipan bersih GST ini pula dianggarkan akan meningkat kepada RM39 bilion pada tahun 2016.
- Seperti yang kita ketahui, pelaksanaan GST ini telah menampung hasil kerajaan daripada pengurangan hasil cukai petroliam. Harga minyak juga dijangka kekal rendah pada 2016. Penyusutan pendapatan Kerajaan dianggarkan lebih 30 bilion ringgit. Mujurlah kita laksana GST, jika tidak, defisit negara akan meningkat kepada 4.8 peratus dan bukan lagi 3.1 peratus pada 2016.
- Mana mungkin Kerajaan dapat melaksanakan projek-projek pembangunan seperti jalan raya, hospital, sekolah, beri bantuan BR1M dan sebagainya kepada rakyat jika kita tidak mempunyai kutipan hasil yang mencukupi.
PROGRAM BANTUAN RAKYAT 1 MALAYSIA (BR1M)
- Adalah tanggungjawab Kerajaan memastikan rakyat tidak terbeban dengan kos sara hidup yang melampau, oleh itu melalui kutipan GST ini, Kerajaan telah dapat meneruskan Program Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang memanfaatkan 4.7 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang dengan peruntukan sejumlah RM5.9 bilion.
- Agihan bantuan ini telah ditambahbaik dari aspek kriteria dan diperluaskan skop daripada segi kategori penerimanya. Bayaran bantuan BR1M akan mula dibuat secara berperingkat mulai 28 Januari 2016.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
PENUTUP
- Besarlah harapan saya pada tahun 2016, kita sebagai sebuah keluarga di Kementerian Kewangan sentiasa bersepakat dalam memberi sokongan yang padu kepada setiap Program Transformasi Nasional yang telah direncanakan.
- Seharusnya kita rasa bersyukur, kerana negara kita masih menunjukkan prestasi ekonomi yang baik berbanding negara-negara lain yang terpaksa bergelut dengan kemelesatan ekonomi.
- Sebagai seorang penjawat awam dan rakyat Malaysia, kita perlu menceritakan sesuatu yang baik tentang negara kita seperti ekonomi kita masih kukuh, Malaysia tempat yang sesuai untuk melabur, infrastruktur yang lengkap, banyak tempat pelancongan yang cantik dan perlu dilawati di Malaysia dan sebagainya. Kita perlu terusmemberi sumbangan terbaik kepada negara yang kita cintai ini supaya kita dapat berbangga dengan tanahair kita sendiri.
- Kita juga haruslah sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi rintangan yang mendatang bagi menjaga keutuhan dan meningkatkan lagi prestasi pencapaian untuk terus maju menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.
- Akhir kata, selamat maju jaya dan teruskan memberi perkhidmatan yang cekap dan pantas. Semoga Kementerian Kewangan akan terus mencapai kejayaan yang lebih cemerlang selaras dengan matlamat menjadi agensi pusat terunggul bertaraf dunia.
Sekian, terima kasih.
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.