Teks Ucapan Menteri Kewangan Malaysia Sempena Majlis Penyerahan Surat Penerimaan SRP Pemulih Fasa 2 SME Bank 2021
SALUTASI
Yang Berhormat Tan Sri Noh Haji Omar,
Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi
Yang Berhormat Dato Sri Hajah Nancy Shukri,
Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya
Yang Berhormat Tuan Muslimin Yahaya,
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi
Yang Berbahagia Dato’ Asri Hamidon,
Ketua Setiausaha Perbendaharan Kementerian Kewangan
Yang Berbahagia Dato’ Suriani Dato’ Ahmad,
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi
Yang Berbahagia Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat,
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya
Yang Berbahagia Dato' Seri Nazir Ariff,
Pengerusi SME Bank
Ahli-Ahli Lembaga Pengarah SME Bank
Dif-Dif Kehormat;
Pengurusan Kanan SME Bank;
Para Usahawan Yang Dihormati;
Wakil- Wakil Media;
Tuan-Tuan Dan Puan-Puan.
Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh dan salam sejahtera.
- Izinkan saya mulakan ucapan ini dengan mengucapkan terima kasih kepada SME BANK yang telah menjemput saya untuk menghadiri satu majlis yang amat bermakna untuk para usahawan iaitu Majlis Penyerahan Surat Penerimaan SRP PEMULIH Fasa 2.
- Seperti yang kita semua ketahui, pandemik COVID-19 yang bermula tahun lalu telah hampir melumpuhkan keseluruhan ekosistem perniagaan dan akibatnya ekonomi negara turut terjejas dengan ketara. Dalam situasi ini, perusahaan tidak formal, mikro, kecil dan sederhana (PMKS) adalah golongan yang paling terjejas dan mereka memerlukan bantuan segera untuk kekal beroperasi.
- Untuk menangani situasi yang kritikal ini, Kerajaan, dengan pantas telah memperkenalkan pelbagai inisiatif serta memperuntukkan belanjawan yang besar untuk membantu seramai mungkin rakyat di negara ini.
- Di sinilah saya lihat institusi kewangan pembangunan (Development Financial Institutions - DFIs) seperti SME Bank memainkan peranan yang penting dan strategik dalam usaha menyokong pemulihan ekonomi negara melalui inisiatif seperti SRP PEMULIH yang memberikan ruang secukupnya kepada PKS secara pemberian moratorium ataupun penyusunan dan penjadualan semula baki pembiayaan.
- Usaha sebegini juga adalah sejajar dengan semangat #KeluargaMalaysia dan memenuhi objektif DFIs untuk membantu membangunkan sosio-ekonomi rakyat.
Para Hadirin Sekalian,
- Segala usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan pada masa ini adalah untuk menghindari impak ekonomi jangka panjang kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di dalam sektor-sektor strategik termasuk sektor pelancongan, peruncitan, pertanian, infrastruktur, maritim, eksport serta industri berteknologi tinggi dan bermodal intensif.
- Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, Bajet 2022 dirangka berdasarkan senario negara yang sedang pulih daripada krisis pandemik dan mengikut keperluan utama untuk:
- Meneruskan program bantuan dan sokongan untuk memastikan pemulihan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap kesihatan awam dan struktur ekonomi selaras dengan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN);
- Menentukan kesinambungan dasar dan bantuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan agar kekal berdaya tahan dalam menghadapi krisis bagi terus melindungi mata pencarian dan kehidupan rakyat dan perniagaan; dan
- Memangkin pembaharuan pasca-pandemik supaya negara mampu bangkit dengan lebih perkasa dan berdaya saing serta berteraskan pembangunan negara yang lebih terangkum dan mampan
- Pada masa yang sama Bajet 2022 akan memperlihat agenda kelestarian dan kemampanan terus diperkukuhkan. Kerajaan akan menumpukan ke arah meningkatkan kecekapan sistem penyampaian awam serta penekanan unsur alam sekitar, kemampanan dan tadbir urus (Environmental, Social and Corporate Governance – ESG) dalam perkhidmatan awam, badan berkanun serta syarikat berkaitan Kerajaan. Ini adalah usaha untuk menggambarkan tekad negara membangunkan ekonomi yang lebih lestari dan terangkum, yang akan menjadi daya penarik kepada perniagaan untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi pelaburan utama.
- Menyentuh mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 pula, Kementerian Kewangan (MOF) secara dasarnya komited untuk menyediakan peruntukan kewangan yang secukupnya bagi membiayai perbelanjaan pembangunan bagi tempoh 2021-2025.
- Selaras dengan tema Keluarga Malaysia iaitu Makmur, Inklusif, dan Mampan, MOF akan menyelaraskan bidang-bidang keutamaan Bajet 2022 dengan fokus utama RMKe-12. Secara khususnya, Bajet 2022 akan memberi tumpuan kepada pemulihan, pembinaan semula daya tahan negara dan pemangkin pembaharuan atau 3R iaitu Recovery, Resilience dan Reform.
- Untuk mencapai hasrat sebagai pemangkin pembaharuan pula, Bajet 2022 akan memberi tumpuan kepada agenda pendigitalan termasuk pelaksanaan 5G, program JENDELA serta meningkatkan pengamalan digital terutamanya di kalangan PKS.
Hadirin Sekalian,
- Kerajaan telah pun menyediakan pelbagai insentif dan pakej rangsangan serta program pemulihan ekonomi bagi memastikan para usahawan dapat bertahan dan meneruskan perniagaan. Sebagai contoh, Kerajaan telah menyalurkan RM6.1 bilion kepada 1 juta usahawan mikro di bawah Geran Khas Prihatin untuk membantu mereka bertahan sepanjang pandemik ini.
- Kini dengan ekonomi kembali dibuka sepenuhnya, maka kebanyakan usahawan memerlukan suntikan modal untuk memulakan kembali perniagaan. Pelbagai bentuk bantuan disediakan oleh Kerajaan untuk tujuan ini. Salah satu daripadanya ialah Skim Jaminan Prihatin DanaJamin (DPGS) yang diperkenalkan oleh Kerajaan di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin (PRIHATIN). Skim ini menyediakan kemudahan jaminan sehingga 80% daripada jumlah pinjaman bagi tujuan membiayai modal kerja. Skim ini disasarkan kepada perniagaan yang berdaya maju dalam semua sektor yang menghadapi kesukaran akibat penularan wabak COVID-19. Setakat 1 Oktober 2021, jumlah jaminan yang telah diluluskan di bawah DPGS adalah lebih RM2 bilion. Saya menyeru kepada para usahawan yang berada di sini dan di luar sana untuk berjumpa dengan pihak bank atau institusi kewangan untuk memanfaatkan pelbagai skim yang disediakan sekiranya anda perlukan bantuan.
- Sebelum saya mengundur diri, sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada SME Bank kerana menjemput saya dan tahniah saya ucapkan kepada para usahawan yang akan menerima surat penerimaan SRP PEMULIH Fasa 2 pada hari ini. Seterusnya kepada semua usahawan, saya doakan anda terus cekal dan sentiasa berusaha untuk mencari peluang bagi mengembangkan perniagaan dan menyokong pemulihan ekonomi negara.
Sekian, terima kasih.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassaalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh