Teks Ucapan Menteri Kewangan Malaysia Sempena Program Penutupan Bengkel Pengurusan Kewangan My Money & Me 2021
(SALUTASI)
YANG BERBAHAGIA ENCIK VINCENT KWO SHIH KANG
Presiden, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC)
YANG BERUSAHA PUAN CHUNG KAR YIN
Pengarah Urusan, Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC)
Hadirin yang dihormati sekalian
Assalamualaikum WBT dan salam Keluarga Malaysia kepada semua.
- Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua yang hadir ke bengkel hari ini, yang merupakan satu program khusus untuk para belia berkaitan dengan isu celik kewangan. Isu ini sememangnya patut dijadikan salah satu prinsip utama dalam kehidupan demi kesejahteraan di masa hadapan.
- Celik kewangan adalah satu konsep yang harus diterap sejak dari usia muda lagi. Kita harus menanamkan azam bagi meluaskan pengetahuan tentang perancangan kewangan bermula di bangku sekolah lagi bagi membolehkan kita menikmati kelestarian urusan kewangan semasa dewasa. Tujuan pihak MFPC menerajui dan menganjurkan program sebegini melalui kolaborasi dengan agensi-agensi Kerajaan, adalah bagi menekankan kepentingan pengetahuan asas dalam merancang kewangan peribadi supaya para belia boleh beralih kepada tahap kesejahteraan kewangan kehidupan sendiri dan mencari pendapatan, apatah lagi bila sudah berkeluarga.
Hadirin sekalian,
- Bajet 2022 yang baru diumumkan, antara lain, memberi penekanan kepada kesejahteraan kewangan golongan belia. Salah satu inisiatif berkaitan yang telah diumumkan adalah diskaun bayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional atau PTPTN di bawah 3 kategori.
- Bermula 1 November 2021 hingga 30 April 2022, peminjam yang membuat penyelesaian penuh, atau full settlement pinjaman, akan diberikan diskaun 15% ke atas baki hutang yang masih ada. Diskaun 12% juga akan diberikan ke atas bayaran yang sekurangkurangnya 50% daripada baki hutang, dalam sekali bayaran. Diskaun 10% juga diberikan untuk bayaran balik secara konsisten melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual pembayaran.
- Sebagai Kerajaan yang amat memahami kesan pandemik kepada rakyat terutamanya golongan belia, adalah diharapkan pemberian diskaun sebegini akan menggalakkan dan membantu perancangan aliran tunai yang lebih sempurna bagi para peminjam, terutamanya dalam melancarkan pembayaran semula sebarang hutang yang telah diambil. Insentif melalui diskaun ini adalah usaha pihak Kerajaan menerapkan sikap serta amalan membayar balik hutang yang bertanggungjawab, yang merupakan antara teras penting dalam konsep celik kewangan.
- Salah satu lagi usaha yang telah diperkenalkan oleh Kerajaan adalah meluaskan pelepasan cukai sehingga 4,000 ringgit kepada pencarum KWSP meliputi caruman secara sukarela seperti mereka yang bekerja sendiri dalam sektor gig.
- Inisiatif i-Saraan turut dilaksanakan bagi menggalakkan pekerja sektor informal menabung untuk hari persaraan melalui caruman KWSP. Melalui inisiatif ini, Kerajaan mencarum sebanyak 15 peratus daripada caruman sukarela yang dibuat oleh pekerja sektor informal, terhad kepada maksimum 250 ringgit setahun. Sejumlah 30 juta ringgit disediakan untuk memanfaatkan lebih 100 ribu peserta sedia ada dan baharu.
- Selain itu, pihak kerajaan akan terus memastikan yang programprogram pengetahuan terfokus berkaitan perancangan kewangan melalui usaha bersepadu Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti akan dipergiatkan lagi. Sebagai contoh, pada akhir bulan Oktober yang lalu, BNM telah menganjurkan Bulan Literasi Kewangan untuk meningkatkan celik kewangan bagi semua lapisan rakyat Malaysia. Program ini membolehkan masyarakat mendapatkan konsultasi perancangan kewangan daripada perancang kewangan berlesen secara percuma. Inisiatif sebegini adalah khusus untuk membantu masyarakat mengatasi impak dari pandemik COVID-19 yang berkaitan dengan pengurusan kewangan, dan merancang segala keperluan kewangan peribadi termasuk persediaan persaraan. Jika ada yang terlepas peluang ini, jangan khuatir kerana KWSP masih terus menawarkan sesi rundingan percuma melalui Khidmat Nasihat Persaraan atau Retirement Advisory Service (RAS) di semua cawangan KWSP sepanjang tahun.
Hadirin sekalian,
- Satu kajian yang dikendalikan oleh penyelidik MFPC dengan Kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) pada awal tahun ini telah menunjukkan adanya keinginan yang tinggi dalam kalangan belia, yang berusia 18 hingga 29 tahun, untuk mencapai kejayaan kewangan peribadi. Antara faktor penentu kejayaan ini bagi golongan belia sudah tentunya adalah literasi atau celik kewangan, selain daripada sosialisasi kewangan, teknologi kewangan dan kawalan diri atau self control. Peningkatan kos sara hidup, kesan pandemik COVID-19 dan PKP yang dikuatkuasakan sebelum ini telah memberi impak besar kepada kesejahteraan kewangan golongan belia. Kajian menunjukkan bahawa terdapat hubungan signifikan yang positif serta kesan langsung di antara literasi kewangan, sosialisasi kewangan, kawalan diri dan teknologi kewangan terhadap kesejahteraan kewangan golongan belia. Perkara yang paling harus ditekankan adalah tingkah laku kewangan positif yang menjadi penentu kesejahteraan kewangan yang paling kritikal.
- Perkembangan teknologi kewangan yang pesat di Malaysia diharapkan dapat menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan kewangan belia. Dalam usaha ini, pihak kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM300 juta kepada para belia melalui insiatif e-Start untuk mendorong penggunaan e-wallet. Walau bagaimanapun, ada juga teknologi kewangan yang berupaya mempunyai pengaruh negatif terhadap kesejahteraan kewangan belia seperti Buy Now Pay Later (BNPL) yang menjadi tarikan kepada belia. Literasi kewangan akan membantu memastikan keputusan yang betul dibuat bagi menjamin kesejahteraan kewangan.
- Saya percaya belia secara dasarnya mempunyai kemahuan yang besar untuk meningkatkan tahap sosio-ekonomi masing-masing. Program-program seperti My Money & Me berkemampuan memberi tunjuk ajar yang lebih sistematik dalam merancang serta mengurus kewangan peribadi masing-masing dengan lebih baik.
- Sehubungan itu, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada MFPC, para penceramah & ketua-ketua jabatan dan agensi Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Agensi Kaunselling & Pengurusan Kredit (AKPK) & Federation of Investment Managers Malaysia (FIMM), yang telah menganjurkan program ini sepanjang tahun ini. Segala usaha, pengorbanan masa dan tenaga semua pihak yang terlibat amatlah dihargai kerana sememangnya usaha anda semua akan mampu mencorakkan masa hadapan bagi golongan belia negara, dalam menguruskan kewangan demi kesejahteraan kehidupan dan negara amnya di masa hadapan.
- Saya dimaklumkan bahawa MFPC sedang berkerjasama dengan pakar akademik dan industri teknologi kewangan, atau fintech, dalam menambah baik modul pembelajaran untuk merangkumi kandungan fintech yang lebih komprehensif bagi sesi program 2022. Harapan saya adalah bengkel sebegini akan memberi pengetahuan yang sewajarnya kepada lebih ramai rakyat Malaysia dalam merancang urusan kewangan masing-masing.
- Insyallah kita boleh berjumpa lagi dalam edisi ke-10 Global Money Week – Build Your Future: be smart about money! pada bulan Mac tahun hadapan. Moga-moga segala urusan kita dipermudahkan dalam menghadapi cabaran kewangan peribadi pada masa akan datang.
Sekian dan terima kasih