Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Ucapan

Teks Ucapan Pembukaan Menteri Kewangan Malaysia Sempena Majlis Pelancaran Program Jaringan Prihatin

Teks Ucapan Pembukaan Menteri Kewangan Malaysia Sempena Majlis Pelancaran Program Jaringan Prihatin

Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri Malaysia

Yang Berhormat Tuan Mohd Shahar bin Abdullah
Timbalan Menteri Kewangan II

Yang Berbahagia Dato’ Asri bin Hamidon
Ketua Setiausaha Perbendaharaan,

Yang Berbahagia Dato’ Sri Haji Mohammad bin Mentek
Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Multimedia,

Yang Berusaha Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek,
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia,

Ketua-ketua Pegawai Eksekutif Industri Telekomunikasi,

Rakan-rakan media,

Hadirin sekalian

Assalamu’alaikum Warahmatullahi wabarakaatuh, Dan Salam Sejahtera

1. Terima kasih saya ucapkan kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri, dan semua yang sudi hadir bersama hari ini bagi pelancaran program Jaringan Prihatin, iaitu sebuah inisiatif di bawah Belanjawan 2021.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

2. Semenjak pandemik COVID-19 melanda negara pada tahun 2020, kita telah menyaksikan bagaimana transformasi digital di seluruh dunia telah dipercepatkan dan meningkatkan peranan teknologi dalam cara kita bekerja, belajar dan menjalani kehidupan seharian. Laporan kaji selidik yang dilaksanakan oleh firma perunding PwC baru-baru ini menunjukkan 77 peratus responden berpendapat bahawa teknologi telah menyediakan lebih banyak peluang bagi mereka, manakala 92 peratus berkata mereka telah diberikan peluang oleh majikan untuk meningkatkan kemahiran digital di luar tugasan biasa mereka.

3. Walau bagaimanapun, pandemik ini juga telah memberi tumpuan terhadap isu dan masalah yang sudah lama dihadapi – iaitu masih ramai rakyat tidak mempunyai akses internet yang menyeluruh, sama ada dari segi ketersediaan mahupun kemampuan, terutamanya di kalangan golongan rentan dan B40.

4. Justeru, Kerajaan akur bahawa terdapat penambahbaikan yang perlu dilaksanakan bagi menangani masalah jurang digital ini. Oleh itu, Program Jaringan Prihatin merupakan sebahagian daripada agenda keterangkuman digital negara bertujuan untuk meringankan beban 8.4 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) melalui bantuan sejumlah RM1.5 bilion bagi melanggan pelan data bulanan atau mengurangkan kos untuk pembelian peranti mudah alih.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

5. Kerajaan prihatin adalah kerajaan yang sentiasa mendengar dan proaktif dalam memahami keluhan rakyat. Untuk memastikan keluarga B40 yang mempunyai anak, terutamanya yang bersekolah menerima manfaat daripada inisiatif Jaringan Prihatin, Kerajaan telah menambahbaik inisiatif ini dengan peruntukan tambahan sejumlah RM500 juta – seperti yang telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri melalui Program PEMERKASA pada bulan Mac yang lalu.

6. Ini telah meningkatkan peruntukan inisiatif ini dari RM1.5 bilion kepada RM2.0 bilion. Dengan faedah tambahan bernilai RM1.5 bilion yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi, ini bermakna jumlah nilai keseluruhan inisiatif ini adalah RM3.5 bilion.

7. Saya juga ingin menekankan bahawa inisiatif Jaringan Prihatin adalah pelengkap kepada inisiatif lain yang bertujuan untuk mencapai matlamat keterangkuman sosio-ekonomi. Seperti yang saya umumkan baru-baru ini, Kerajaan akan mula melaksanakan pembayaran Fasa 2 BPR bernilai RM2.75 bilion secara berperingkat mulai Jumaat ini kepada golongan sasaran yang sama dengan penerima manfaat daripada Jaringan Prihatin

Hadirin yang saya hormati sekalian,

8. Memandang ke hadapan, Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada lima fokus utama dalam usaha untuk memulihkan dan membangunkan semula ekonomi iaitu:

  1. Mengawal penularan Covid-19;
  2. Memacu pemulihan ekonomi;
  3. Memperkukuh daya saing negara;
  4. Memastikan agenda keterangkuman; dan
  5. Mentransformasi ekonomi

9.Berkait dengan pelancaran Jaringan Prihatin pada hari ini, Kerajaan akan terus memperjuangkan agenda keterangkuman, dan memastikan negara berada di landasan pertumbuhan yang mampan. Untuk itu, Kementerian Kewangan telahpun mula merangka Belanjawan 2022, dan meneliti segala perkara yang akan diberi tumpuan secara holistik, bagi memastikan pertumbuhan yang mampan dan inklusif sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Ini termasuklah dari segi keterangkuman digital bagi merapatkan jurang digital golongan rentan dan B40.

10. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada syarikat-syarikat telekomunikasi, Khazanah Nasional Berhad serta PwC selaku pengurus projek yang telah bertungkus-lumus untuk menjayakan inisiatif ini. Kerajaan berharap agar kerjasama sektor awam dan swasta seperti ini diteruskan lagi bagi memanfaatkan rakyat, terutamanya golongan yang memerlukan. 

11. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semua yang telah terlibat dalam usaha dan inisiatif Jaringan Prihatin, serta rakan kerja dari Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Jabatan Perdana Menteri dalam menjayakan majlis ini.

Sekian, Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.


YB Senator Tengku Datuk Sri Utama Zafrul Aziz
Menteri Kewangan

5 Mei 2021

Arkib Koleksi Ucapan

Logo Accessibility