Soalan Lazim

Hubungi Kami

Aduan dan Maklum Balas

Peta Laman

Ucapan

Ucapan Penggulungan Titah Diraja Kementerian Kewangan

Ucapan Penggulungan Titah Diraja Kementerian Kewangan

UCAPAN PENGGULUNGAN

USUL MENJUNJUNG KASIH KE ATAS TITAH KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG

YB SENATOR TENGKU DATUK SERI UTAMA ZAFRUL AZIZ MENTERI KEWANGAN

24 MAC 2022


MUKADIMAH

Bismillahirahmanirahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Tan Sri Yang Dipertua,

  1. Saya ucapkan terima kasih kepada semua semua ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih ke atas Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, semasa Pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima, Parlimen Keempat Belas yang lalu.

  2. Tidak kurang 11 Ahli Yang Berhormat telah berbahas dan menyatakan cadangan, teguran serta pandangan masing-masing melibatkan Kementerian Kewangan. Berdasarkan isu-isu dibahaskan, terdapat beberapa perkara utama yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat yang akan saya jawab.

1. SUBSIDI PRODUK PETROLEUM

  1. Pertamanya, izinkan saya menjawab persoalan dibangkitkan oleh Yang Berhormat Senator Datuk Seri Hajjah Zurainah [UMNO] dan Dato’ Wira Othman Aziz [UMNO] iaitu berkaitan subsidi produk petroleum yang perlu ditanggung Kerajaan ekoran kenaikan harga minyak yang mendadak.

  2. Seperti Ahli Yang Berhormat sedia maklum, sejak mula tahun 2021, harga minyak mentah Brent Crude Oil telah menunjukkan trend peningkatan yang signifikan. Sekiranya dibandingkan, harga minyak mentah bagi bulan Januari 2022 ialah 85 US dolar setong iaitu meningkat berbanding Januari 2021 sebanyak 55 US dolar setong.

  3. Dengan kenaikan ini, Kerajaan terpaksa menampung peningkatan subsidi bagi petrol, diesel dan gas cecair memasak (LPG) yang ketara sehingga 10 kali ganda iaitu meningkat daripada 200 juta ringgit untuk Januari 2021 kepada lebih daripada 2 bilion ringgit untuk Januari 2022.

  4. Ditambah dengan pergolakan antara Rusia dan Ukraine, harga minyak mentah dunia telah naik mendadak ke paras melebihi 100 US dolar setong iaitu paras tertinggi sejak 2014. Dengan kenaikan ini, dijangka jumlah subsidi petrol, diesel dan LPG akan melebihi 2.5 bilion ringgit sebulan.

  5. Sekiranya harga minyak mentah dunia kekal melebihi 100 US dolar setong, jumlah subsidi tersebut bagi keseluruhan tahun 2022 dijangka mencecah 28 bilion ringgit, berbanding 11 bilion ringgit bagi tahun 2021.

  6. Seperti diketahui, pengguna pada masa ini masih membayar hanya RM2.05 untuk seliter petrol RON95 berbanding harga sebenar bulan Mac yang mencecah RM3.70. Bagi diesel pula, pengguna hanya membayar RM2.15 seliter sementara harga sebenar melebihi RM4.00.

  7. Jika nak dibandingkan dengan negara-negara pengeluar minyak, harga runcit Malaysia adalah sangat rendah. Contohnya, harga runcit petrol seliter di Arab Saudi ialah RM2.59, manakala Indonesia sebanyak RM3.74. Berbanding negara jiran pula, harga runcit petrol seliter di Thailand ialah RM5.63, manakala Singapura pula sebanyak RM9.16.

  8. Jurang besar antara harga runcit di stesen minyak berbanding harga pasaran sebenar berisiko meningkatkan ketirisan subsidi penyeludupan keluar produk petroleum.

  9. Dalam masa yang sama, kenaikan kos subsidi produk petroleum akan menekan kedudukan fiskal negara kerana pertambahan kos subsidi sepatutnya boleh digunakan untuk manfaat pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

  10. Kerajaan pula tidak boleh meminjam untuk membiayai belanja mengurus seperti kos subsidi. Maka, kenaikan kos subsidi hendaklah diimbangi dengan pertambahan hasil dan penjimatan perbelanjaan.

  11. Ya, memang benar kita merupakan negara pengeluar minyak dan berkemungkinan memperoleh peningkatan pendapatan ekoran kenaikan mendadak harga minyak mentah dunia.

  12. Namun, memandangkan konflik Rusia-Ukraine masih pada peringkat awal, Kerajaan belum dapat mengunjurkan peningkatan pendapatan tersebut berbanding implikasi kewangan akibat kenaikan kos subsidi ini. Mengikut unjuran awal, Kerajaan masih perlu menampung kos subsidi memandangkan harga runcit produk petroleum di pasaran yang terlalu rendah berbanding harga pasaran.

  13. Dengan program subsidi yang dilaksanakan sekarang ini membolehkan ia dinikmati oleh semua pengguna tanpa mengira kaya atau miskin, maka, golongan berpendapatan tinggi sebenarnya menikmati lebih banyak subsidi kerana tahap penggunaan mereka yang lebih besar berbanding dengan mereka yang berpendapatan rendah.

  14. Melihatkan kepada situasi ini, Kerajaan sedang mengkaji semula mekanisme subsidi produk minyak supaya dapat dilaksanakan dengan lebih bersasar dan menumpukan bantuan dan subsidi kepada golongan rentan dan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.

  15. Pelaksanaan subsidi secara bersasar dijangka dapat mengoptimumkan sumber kewangan Kerajaan dan penjimatan yang dicapai dapat diagihkan semula untuk program yang lebih berkesan menyumbang kepada kesejahteraan Keluarga Malaysia.

2. DASAR 1 PERATUS OKU DIPERLUAS KE GLC

Tan Sri Yang Dipertua,

  1. Kedua, Yang Berhormat Senator Datuk Ras Adiba [wakil OKU] mencadangkan supaya dasar pengambilan pekerja Orang Kurang Upaya (OKU) 1 peratus diperluas ke Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

  2. Kerajaan sentiasa prihatin dalam memastikan keterlibatan penyertaan golongan OKU dalam bidang pekerjaan. Seperti Yang Berhormat nyatakan, dalam sektor awam, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 16 Tahun 2010 menggariskan bahawa setiap agensi hendaklah mengambil pekerja dalam kalangan OKU sekurang-kurangnya 1 peratus.

  3. Berhubung dengan Syarikat GLC pula, mereka mempunyai polisi dalaman masing-masing termasuk memberi peluang pekerjaan secukupnya kepada warga OKU.

  4. Pun begitu, di bawah Bajet 2022, Kerajaan ini telah memanjangkan Dasar Pengambilan OKU sekurang-kurangnya 1 peratus di bawah program MYSTEP. Ini bermaksud, Syarikat-syarikat GLC juga secara langsung perlu memastikan pengambilan 1 peratus daripada kalangan OKU.

  5. Untuk makluman, sehingga 15 Mac 2022, MySTEP telah berjaya menempatkan hampir 11 ribu pencari kerja dalam pelbagai Kementerian dan GLC iaitu 0.4 peratus daripadanya ialah golongan OKU. Pencapaian ini masih kecil berbanding sasaran yang ditetapkan.

  6. Usaha akan terus dipergiat bagi menggalakkan golongan OKU memohon pekerjaan melalui MySTEP. Kerajaan mengalu-alukan kerjasama dengan pihak NGO dan persatuan-persatuan berkaitan bagi memastikan hasrat kouta khas 1 peratus OKU ini dipenuhi.

  7. Kerajaan juga sedia meneliti sebarang cadangan murni ini untuk memperluas pemakaian Dasar 1 peratus pengambilan OKU ini kepada syarikat GLC bagi meningkatkan peluang kerjaya kepada golongan OKU.

  8. Buat masa ini, Kerajaan melalui PERKESO telah memberikan insentif kepada syarikat-syarikat yang mengambil golongan OKU bekerja di bawah insentif Penggajian JaminKerja iaitu pemberian insentif kepada majikan sebanyak 30 peratus daripada gaji pekerja bagi tempoh enam bulan pertama dan 40 peratus bagi enam bulan berikutnya.

3. DASAR 30 PERATUS WANITA DALAM SYARIKAT GLC

Tan Sri Yang Dipertua,

  1. Ketiga, berhubung syarikat GLC juga, Yang Berhormat Senator Datuk Seri Zurainah [UMNO] menyebut berhubung pelaksanaan dasar 30 peratus wanita dalam syarikat GLC seperti yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sebelum ini.

  2. Untuk makluman, prinsip penting pelantikan seseorang Ahli Lembaga Pengarah bagi syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dibuat berdasarkan kelayakan termasuklah taraf pendidikan, pengalaman serta kepakaran dalam bidang-bidang seperti perdagangan, kewangan, perakaunan, undang-undang, pemasaran, pengurusan atau kemahiran yang berkaitan dengan syarikat atau industri.

  3. Bagi memperkukuh tadbir urus korporat, Kerajaan sememangnya menggalakkan kepelbagaian latar belakang Ahli Lembaga Pengarah dari segi kepakaran, jantina, etnik dan umur dalam syarikat MKD.

  4. Ini selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, iaitu setiap Syarikat GLC tersenarai perlu mencapai tahap penyertaan wanita sekurangkurangnya 30 peratus sebagai ahli lembaga pengarah menjelang mesyuarat agung tahunan pada tahun 2023.

  5. Bagi menterjemahkan hasrat mengiktiraf peranan wanita dalam proses membuat keputusan dan memperkukuh keberkesanan Lembaga Pengarah, sebab itulah Kerajaan ini juga, di bawah Bajet 2022, akan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam. Dasar ini dijangka berkuat kuasa pada 1 September 2022 bagi syarikat bermodal besar dan 1 Jun 2023 bagi syarikat tersenarai lain.

4. MATA WANG KRIPTO

Tan Sri Yang Dipertua,

  1. Keempat, terdapat juga Yang Berhormat Senator yang membangkitkan isu pengiktirafan mata wang kripto sebagai mata wang yang sah diperakukan di Malaysia.

  2. Saya ingin jelaskan di sini bahawa, Kerajaan tidak bercadang untuk mengiktiraf mata wang kripto sebagai mata wang yang sah diperlakukan atau dengan izin, legal tender di Malaysia.

  3. Selaras dengan pendirian Kerajaan, mata wang kripto seperti Bitcoin tidak sesuai digunakan sebagai instrumen pembayaran disebabkan pelbagai batasan. Ini termasuk turun naik harga yang ketara, pendedahan kepada ancaman siber, kekurangan dari segi boleh skala (scalability) dan kesan buruk yang besar terhadap alam sekitar. Dengan mengambil kira segala batasan ini, mata wang kripto tidak diiktiraf sebagai mata wang yang sah diperlakukan di Malaysia.

  4. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, teknologi dan landskap pembayaran yang semakin berkembang telah mendorong pihak Bank Negara Malaysi untuk menilai secara aktif potensi mata wang digital bank pusat atau dengan izin central bank digital currency (CBDC).

  5. Berbeza dengan mata wang kripto, CBDC merupakan mata wang digital yang dikeluarkan oleh bank pusat untuk mencapai objektif dasar awam seperti meningkatkan kecekapan pembayaran rentas sempadan dan memajukan rangkuman kewangan.

  6. Sebagai contoh, baru-baru ini, BNM telah bekerjasama dengan bankbank pusat di Australia, Singapura dan Afrika Selatan menerusi Projek Dunbar untuk membangunkan platform prototaip yang membolehkan penyelesaian antarabangsa menggunakan pelbagai CBDC.

  7. Dengan mengurangkan kebergantungan kepada pihak pengantara, platform prototaip ini berpotensi untuk mengurangkan kos dan masa yang diambil untuk transaksi rentas sempadan. Hasil projek ini akan dimanfaatkan oleh pihak BNM dan bank-bank pusat yang lain untuk membangunkan infrastruktur pembayaran generasi masa depan yang lebih cekap.

5. PAKEJ RANGSANGAN EKONOMI (PRE)

Tan Sri Yang Dipertua,

  1. Kelima, Yang Berhormat Senator Dato’ Wira Othman Aziz [UMNO] juga bertanyakan tentang sumbangan pakej-pakej rangsangan ekonomi yang Kerajaan umumkan kepada kesan gandaan ekonomi.

  2. Seperti sedia maklum, Kerajaan telah mengumumkan lapan Pakej Bantuan dan Rangsangan Ekonomi dengan nilai keseluruhan berjumlah 530 bilion ringgit. Pakej-pakej ini tidak hanya menumpukan kepada bantuan langsung kepada rakyat, malah turut menyokong kelangsungan perniagaan dan pengukuhan kepada sektor ekonomi.

  3. Dengan lapan Pakej Bantuan dan Rangsangan Ekonomi yang dilaksanakan ini, setakat 28 Februari 2022, sejumlah 365 bilion ringgit telahpun disalurkan dan memanfaatkan lebih 20 juta rakyat dan 2.4 juta perniagaan.

  4. Walaupun negara kita berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya penularan COVID-19, hasil daripada pakej-pakej yang diumumkan ekonomi negara berjaya mencapai pertumbuhan 3.1 peratus bagi tahun 2021, selaras dengan unjuran yang disemak semula oleh Bank Negara Malaysia iaitu antara 3 hingga 4 peratus. MOF menganggarkan pelaksanaan pakej-pakej rangsangan telah menyumbang 7.4 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK sejak pandemik melanda.

  5. Selain itu, kita juga melihat pelbagai indikator ekonomi yang baik untuk tahun 2021, yang mencerminkan bahawa ekonomi negara kita kekal di landasan pemulihan yang kukuh. Ini termasuklah:

    1. jumlah perdagangan luar yang mencecah lebih 2 trilion ringgit;

    2. aliran masuk bersih pelaburan langsung asing, atau FDI, berjumlah hampir 55 bilion ringgit, iaitu nilai tertinggi berbanding tahun-tahun sebelum pandemik COVID-19 melanda negara;

    3. pemulihan kadar pengangguran ke 4.2 peratus pada Januari 2022, berbanding kadar tertinggi 5.3 peratus pada Mei 2020; dan

    4. minat berterusan dari pelabur asing, iaitu telah melabur 3.5 bilion ringgit dalam pasaran bon tempatan pada Januari lalu, dan 4.3 bilion ringgit dalam pasaran ekuiti tempatan sehingga kini.

  6. Walaupun benar bahawa ekonomi kita telah menguncup semasa krisis COVID-19, tetapi Insya-Allah, ekonomi negara diunjurkan akan mula memulih pada tahun 2022 dengan kadar antara 5.5. hingga 6.5 peratus, selari dengan unjuran IMF dan Bank Dunia iaitu masing-masing pada kadar 5.7 dan 5.8 peratus.

  7. Ini bermakna, KDNK negara tahun ini dijangka melepasi paras KDNK pada tahun 2019, disokong oleh Bajet 2022 yang terus mengembang dan bernilai 332 bilion ringgit, serta pelaksanaan langkah-langkah yang masih berjalan di bawah pakej-pakej bantuan dan rangsangan ekonomi.

Selain itu, KDNK tahun ini akan turut didorong oleh pembukaan hampir semua aktiviti ekonomi dan sosial, penyambungan semula projek dengan kesan pengganda yang tinggi, serta permintaan luar yang kukuh, terutamanya dari rakan dagangan utama negara. Dengan pengumuman untuk memulakan Fasa Peralihan ke Endemik yang antara lainnya melibatkan pembukaan semula sempadan negara menjelang 1 April ini, ia pastinya akan terus merancakkan lagi pemulihan ekonomi negara.

6. KEMUDAHAN KEWANGAN KEPADA PENGUSAHA PMKS

Tan Sri Yang Dipertua,

  1. Keenam, saya juga ingin memberi respons berhubung cadangan Yang Berhormat Senator Puan Noraini Idris [UMNO] iaitu untuk Kerajaan menyediakan kemudahan kewangan sebagai galakan kepada para peniaga terutamanya untuk golongan muda.

  2. Kerajaan ini sentiasa peka dan responsif dalam memastikan negara berada di landasan pemulihan ekonomi yang kukuh. Kerajaan memahami kesulitan yang dialami oleh para peniaga khususnya peniaga mikro, kecil dan sederhana berikutan pandemik COVID-19.

  3. Maka sebab itulah, antara fokus utama Kerajaan di bawah Bajet 2022 adalah untuk membela nasib pengusaha PKS dan menjamin kelangsungan perniagaan. Antaranya inisiatif SemarakNiaga Keluarga Malaysia dengan nilai 40 bilion ringgit diumumkan bagi membantu sektor perniagaan bangkit semula, terutamanya PMKS. Setakat 28 Februari 2022, beberapa inisiatif dibawah SemarakNiaga telah dilaksanakan antaranya:

    1. Pertama: Skim Pembiayaan Informal Mikro iaitu sebanyak 140.6 juta ringgit telah disalurkan dan memanfaatkan 17 ribu penerima;

    2. Kedua: Program Pembiayaan PUNB dengan 36.57 juta ringgit telah disalurkan untuk memanfaatkan 122 perniagaan; dan

    3. Ketiga: Program Kewangan Campuran iTEKAD dengan 2.2 juta ringgit telah disalurkan bagi memanfatkan 129 perniagaan.

  4. Selain itu, Pinjaman Mudah PKS dan Pinjaman Kredit Mikro dengan dana keseluruhan bernilai hampir 13.4 bilion ringgit turut disediakan, merangkumi pelbagai skim yang boleh dipohon melalui insitusi kewangan seperti Agrobank, BPMB, SME Bank dan MIDF.

  5. Di bawah Bajet 2022 juga, satu solusi inovatif diperkenalkan buat julung kalinya iaitu pembiayaan ekuiti bernilai 2.2 bilion ringgit. Kemudahan ini bertujuan membantu syarikat yang berdaya maju tapi mempunyai kekangan dana baharu disebabkan masalah keberhutangan yang tinggi.

  6. Selanjutnya, Kerajaan juga memperuntukkan Jaminan Pembiayaan bernilai 24.4 bilion ringgit termasuk 2 bilion ringgit khusus untuk syarikat Bumiputera melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan. Kemudahan ini antaranya termasuk membiayai modal kerja dan perbelanjaan modal bagi pembiayaan baharu serta penstrukturan semula pembiayaan sedia ada.

  7. Bagi memudahkan cara operasi perniagaan, terutamanya peralihan kepada norma baharu ekoran COVID-19, Bajet 2022 juga menyediakan pelbagai insentif cukai seperti:

    1. Pertama: Kelonggaran layanan cukai seperti penangguhan bayaran ansuran cukai pendapatan bagi PMKS;

    2. Kedua: Lanjutan potongan cukai ke atas kos pengubahsuaian dan pembaharuan premis sehingga 300 ribu ringgit bagi menyokong pematuhan SOP;

    3. Ketiga: Pengecualian duti setem bagi PMKS; dan

    4. Keempat: Pelanjutan potongan cukai tambahan sehingga 50 ribu ringgit ke atas perbelanjaan sewaan premis penginapan pekerja.

  8. Berkenaan soal mewujudkan peluang untuk belia mencebur diri dalam bidang perniagaan, Kerajaan ini telah menyediakan pelbagai platform antaranya seperti ‘Be Your Own Boss’ yang memanfaatkan 1,000 usahawan muda dengan pembiayaan maksimum sehingga 500 ribu ringgit pada kadar keuntungan 0 peratus.

  9. Selain itu, terdapat juga inisiatif seperti Program Pembangunan Usahawan Teknikal dan Program Usahawan Lepasan Institusi Pendidikan Belia bagi menyediakan akses pinjaman kepada belia yang ingin memulakan perniagaan sehingga 10 ribu ringgit.

  10. Kerajaan berharap bahawa setiap inisiatif yang disebutkan ini berupaya mengembalikan keupayaan, memperkasa komuniti peniaga untuk bangkit semula dan merealisasi agenda pemulihan ekonomi.

7. INSENTIF CUKAI KEPADA PKS

Tan Sri Yang Dipertua,

  1. Ketujuh, berhubung PKS juga, Yang Berhormat Senator Dato’ Arman [UMNO] mencadangkan supaya insentif cukai diberikan kepada PKS yang mematuhi pelaksanaan gaji minimum 1,500 ringgit.

  2. Untuk makluman, layanan percukaian semasa telah membenarkan potongan cukai diberi kepada kos penggajian pekerja bagi tujuan perniagaannya. Dalam masa yang sama, syarikat yang menjalankan aktiviti yang layak di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 atau Akta Penggalakan Pelaburan 1986 turut dikenakan syarat penggajian rakyat tempatan bagi menyokong usaha Kerajaan dalam memastikan syarikat penerima insentif memberi keutamaan bagi pengambilan pekerja rakyat Malaysia.

  3. Sehubungan dengan itu, Kerajaan berpandangan bawah insentif sedia ada yang diberi pada masa ini telah memadai.

8. STATUS PELAKSANAAN PROJEK BERIMPAK TINGGI

Tan Sri Yang Dipertua,

  1. Kelapan, Yang Berhormat Senator Dato’ Wira Othman Aziz [UMNO] turut berkehendakan status terkini berkaitan projek-projek berimpak tinggi seperti ECRL dan MRT3.

  2. Seperti sedia maklum, Projek Laluan Rel Pantai Timur atau ECRL sepanjang 665 kilometer merupakan projek rel menghubungkan negerinegeri Pantai Timur dengan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

  3. Pembinaan projek ini terbahagi kepada tiga seksyen iaitu Seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun, Seksyen B dari Dungun ke Mentakab dan Seksyen C dari Mentakab ke Pelabuhan Klang melalui Gombak dan Serendah. Jajaran ECRL yang melibatkan Selangor iaitu Seksyen C dibahagikan kepada dua iaitu Seksyen C1 dari Mentakab ke ITT Gombak dan Seksyen C2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang melalui Serendah.

  4. Sehingga Februari 2022, pembinaan keseluruhan projek ini telah mencapai kemajuan sebanyak 27.82 peratus dengan jumlah keseluruhan 669 kawasan kerja bersamaan dengan 273 kilometer penyerahan tapak bagi kerja-kerja pembinaan ECRL.

  5. Kerajaan Negeri Selangor pada 17 November 2021 telah meluluskan Jajaran ECRL Seksyen C iaitu dari Mentakab ke Pelabuhan Klang melalui Gombak dan Serendah di negeri Selangor.

  6. Selain itu, mesin pengorek terowong (TBM) pertama telah tiba di Bentong pada 17 Julai 2021 bagi kerja-kerja pengorekan terowong berkembar Genting sepanjang 16 kilometer. Proses pengujian mesin TBM sedang giat dijalankan dan kerja pengorekan dijangka akan bermula pada Mei 2022.

  7. Buat masa ini, tarikh penyiapan bagi Seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun, Seksyen B dari Dungun ke Mentakab dan Seksyen C1 dari Mentakab ke ITT Gombak masih kekal seperti yang dijadualkan iaitu pada 31 Disember 2026. Walau bagaimanapun, penyiapan bagi Seksyen C2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang dijangkakan akan mengalami kelewatan selama 12 bulan iaitu pada 31 Disember 2027.

  8. Selanjutnya, projek MRT 3 pula merupakan sebuah laluan lingkaran yang meliputi perimeter luar bandar raya Kuala Lumpur dan sebahagian kawasan berpenduduk padat di kawasan Ampang Jaya, Selangor.

  9. Projek MRT 3 akan dilaksanakan melalui 5 pakej iaitu dua pakej untuk kerja-kerja bertingkat, satu pakej untuk kerja-kerja bawah tanah, satu pakej untuk kerja-kerja sistem dan satu pakej untuk perunding pengurusan projek.

  10. Tender terbuka untuk 4 pakej utama akan dimulakan pada Mei 2022 dan pemenang tender dijangka diketahui pada suku keempat tahun 2022. Pemerikasaan Awam untuk Projek MRT 3 pula akan diadakan selama dua bulan mulai bulan Julai 2022.

  11. Laluan MRT 3 ini dirancang untuk beroperasi secara berfasa, iaitu fasa pertama akan dibuka seawal 2028 tertakluk kepada proses pengambilan tanah. Keseluruhan jajaran dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun 2030. (Projek ini dibiayai secara hibrid melibatkan sumber-sumber pembiayaan seperti sukuk bersama jaminan kerajaan dan juga pembiayaan secara bayaran tertangguh)

  12. Projek MRT di Lembah Klang adalah antara projek infra rakyat berskala besar yang dilaksanakan oleh Kerajaan bagi tujuan mempertingkatkan kemudahan perkhidmatan pengangkutan awam rel yang cekap, berkesan dan selamat di samping mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar Lembah Klang. Pembinaan MRT 3 dijangka akan melengkapkan jaringan rel metro di Lembah Klang.

PENUTUP

Tan Sri Yang Dipertua,

  1. Masa sudah pun tamat untuk saya menggulung. Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua ahli Yang Berhormat atas pandangan dan input-input yang dikongsikan sepanjang tempoh perbahasan ini.

Sekian, Assalamualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih.

Arkib Koleksi Ucapan

Logo Accessibility