Ucapan YB Menteri Kewangan Bagi Bacaan Kali Kedua Pembentangan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Amanah Negara (Pindaan) 2021
Datuk Yang Di-Pertua,
- Untuk makluman ahli Yang Berhormat, Kumpulan Wang Amanah Negara (atau KWAN) ditubuhkan pada tahun 1988 melalui Akta Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 1988, atau Akta 339.
- Penubuhan KWAN bertujuan untuk memastikan penggunaan optima hasil sumber asli negara yang menyusut. Ini adalah supaya sumber pendapatan yang berterusan dan stabil dapat diberikan demi manfaat negara dan generasi akan datang.
- Seksyen 5 Akta 339 telah memperuntukkan wang yang dikehendaki dibayar ke dalam KWAN seperti berikut:
- Wang yang dari semasa ke semasa diuntukkan daripada Kumpulan Wang Disatukan kepada dan bagi maksud Kumpulan Wang;
- Apa-apa sumbangan sebagaimana yang dibuat oleh Petroliam Nasional Berhad kepada Kumpulan Wang;
- Apa-apa sumbangan sebagaimana yang dibuat oleh mana- mana Negeri di Malaysia yang mendapat apa-apa bentuk royalti daripada pengeksploitasian petroleum atau sumber menyusut lain;
- Segala wang daripada apa-apa pelaburan Kumpulan Wang;
- Segala pemberian, derma (donations), derma kekal (endowments), alang (gifts), sumbangan dan bekues (bequest) sebagaimana yang dibuat kepada atau untuk faedah Kumpulan Wang; dan
- Apa-apa sumbangan sebagaimana yang dibuat oleh mana- mana orang atau pihak berkuasa yang perniagaannya termasuklah penyelidikan atau pembangunan sesuatu sumber menyusut.
- Akta KWAN 1988 juga memperuntukkan pentadbiran oleh panel pemegang amanah yang dilantik oleh Yang Berhomat Menteri Kewangan, manakala tanggungjawab pentadbiran dan pengurusan harian dana dilaksanakan oleh Bank Negara Malaysia.
- Semenjak penubuhan KWAN sehinggalah hujung tahun 2020, PETRONAS telah membuat sumbangan berjumlah 10.4 bilion ringgit. Jumlah aset terkumpul KWAN pada masa yang sama adalah 20.9 bilion ringgit, yang merangkumi pulangan daripada pelaburan dalam bon, ekuiti, deposit, emas dan Amanah Pelaburan Hartanah, atau dengan izin, REITs.
Datuk Yang Di-Pertua,
- Selari dengan semangat Keluarga Malaysia, kerjasama dan sokongan semua pihak adalah sangat penting bagi menyokong usaha negara dalam menghadapi cabaran krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik COVID-19.
- Dengan kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan yang terhad, suatu langkah alternatif yang dapat menampung perbelanjaan tambahan untuk keluar dari kemelut pandemik COVID-19 perlulah di ambil. Sebagai sebuah Kerajaan yang bertanggungjawab, pilihan pembiayaan yang paling optimal telah dipilih dalam mengimbangi kepentingan sekarang dan masa depan dengan kos melepas, atau dengan izin, opportunity cost, yang berkaitan.
- Oleh itu, penggunaan dana KWAN sebagai salah satu sumber kewangan adalah wajar memandangkan dana tersebut mempunyai kecairan tunai serta dapat memenuhi keperluan vaksin yang mendesak. Malah, penggunaan dana KWAN tidak meningkatkan had statutori hutang Kerajaan yang hampir mencecah had yang dibenarkan.
- Tambahan lagi, memandangkan dana KWAN adalah bersumber daripada Kumpulan Wang Amanah Disatukan dan bukan daripada Kumpulan Wang Hasil Disatukan, penggunaan dana ini tidak akan memberi implikasi langsung ke atas kedudukan kewangan negara. Oleh yang demikian, penggunaan dana KWAN dalam menampung perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan pemberian vaksin dapat membantu kedudukan belanjawan negara supaya peruntukan sedia ada dapat diagihkan semula kepada perkara lain bagi mempercepatkan pemulihan ekonomi pasca COVID-19.
Datuk Yang Di-Pertua,
- Buat masa ini, Seksyen 6 Akta 339 hanya membenarkan dana KWAN dibelanjakan untuk maksud Kumpulan Wang Pembangunan, serta memberi pinjaman ataupun pendahuluan mengikut terma konsesi kepada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri.
- Walau bagaimanapun, mengambil kira situasi gelombang ketiga penularan pandemik COVID-19 yang bermula sejak akhir tahun 2020, Kerajaan pada 19 Mac 2021 telah meluluskan cadangan Kementerian Kewangan melalui Ordinan Darurat (KWAN) (Pindaan) 2021, atau Ordinan Darurat KWAN, untuk meminda Seksyen 6 Akta 339.
- Pindaan Seksyen 6 Akta 339 adalah berhubung penggunaan dana KWAN dengan memasukkan perenggan seperti berikut:
(c) pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung vaksin bagi suatu wabak apa- apa penyakit berjangkit sebagaimana yang dinyatakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342]”.
- Namun, penggunaan Ordinan KWAN ini adalah terhad kerana ianya akan terhenti berkuat kuasa apabila habis tempoh 6 bulan selepas proklamasi darurat ditamatkan sekiranya ia tidakdiungkai terlebih dahulu. Ini adalah selaras dengan Fasal (7), Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
- Justeru, Kerajaan melalui Rang Undang-Undang KWAN (Pindaan) 2021 berhasrat untuk mengekalkan penggunaan dana KWAN bagi maksud “pemerolehan vaksin, dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin bagi suatu wabak apa-apa penyakit berjangkit sebagaimana yang dinyatakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, atau Akta 342”.
Datuk Yang di-Pertua,
- Memandangkan dana KWAN tidak terangkum dalam Kumpulan Wang Disatukan, penggunaan dana ni akan membantu Kerajaan dalam mengawal kedudukan fiskal negara, sekaligus memberi impak positif kepada kedudukan kewangan negara secara keseluruhan.
- Untuk makluman ahli-ahli Yang Berhormat, selain daripada KWAN, negara seperti Norway, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kanada juga telah menubuhkan suatu Dana Kekayaan Negara hampir serupa dengan dana KWAN, di mana objektifnya adalah keuntungan dari sumber-sumber asli negara generasi terdahulu dapat disalurkan ke dana tersebut, dan seterusnya disimpan untuk dinikmati oleh generasi akan datang.
- Malah, bukan negara kita sahaja yang menggunakan Dana Kekayaan Negara dalam menghadapi pandemik COVID-19. Banyak negara-negara membangun yang terjejas teruk disebabkan kemerosotan harga pasaran komoditi dan pandemik COVID-19 telah menggunakan Dana Kekayaan Negara mereka untuk membiayai rangsangan fiskal. Antaranya termasuklah Azerbaijan, Colombia, Chile, Kazakhstan, Mexico dan Peru.
Datuk Yang Di-Pertua,
- Seperti yang telah saya sebutkan tadi, objektif KWAN apabila ditubuhkan lebih dari 30 tahun dahulu adalah untuk melindungi “generasi masa depan” melalui simpanan yang telah dibina.
- Izinkan saya menyoal, siapakah lagi “generasi masa depan” itu jika bukan kita? Di saat mengharungi cabaran COVID-19 yang merupakan antara krisis paling getir di dalam sejarah negara kita, program vaksinasi yang berkesan perlu diutamakan bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negara.
- Malah, saya juga ingin menyatakan bahawa jika tidak digunakan sekarang, bilakah masa yang lebih sesuai untuk menggunakan dana KWAN? Jika Dana KWAN boleh digunakan untuk pembangunan Projek Paya lndah Wetlands, bukankah keperluan untuk menggunakannya bagi program vaksinasi yang dapat menjamin kesejahteraan masa depan bagi generasi akan datang adalah lebih mendesak pada waktu ini?
- Dari segi kemampanan dana untuk jangka masa panjang, Kerajaan akan berusaha untuk meningkatkan semula saiz dana KWAN apabila ekonomi telah kembali stabil. Ini termasuklah meningkatkan bilangan penyumbang dengan menggalakkan sumbangan dari syarikat atau pihak berkuasa yang lain, termasuklah syarikat yang terlibat dengan pengeksploitasian petroleum atau sumber menyusut lain seperti yang termaktub dalam Seksyen 5, Akta 339.
- Usaha penambahan semula dana KWAN perlu dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak yang berkaitan. Komitmen daripada Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk turut mengambil bahagian dalam inisiatif bagi meningkatkan dana KWAN amatlah penting, di samping memperkukuhkan tadbir urus untuk memastikan dana KWAN dapat melaksanakan peranannya.
- Oleh itu, saya memohon pertimbangan Dewan Yang Mulia ini supaya kita sama-sama menimbang tara dan berhemat dalam menggunakan dana ini agar kita juga dapat mewaris dan melipatgandakan hasil simpanan yang sama sebagai bekalan generasi anak-anak kita. Sama-samalah kita memegang amanah bahawa sumber bumi negara adalah juga untuk generasi yang akan datang.
- Kesimpulannya, penggunaan dana KWAN melalui peruntukan Rang Undang-Undang KWAN (Pindaan) 2021 dilihat adalah penting kerana langkah ini dapat mempergiatkan usaha Kerajaan dalam melindungi kesejahteraan rakyat dan mempercepatkan proses pemulihan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. Semoga kesiapsiagaan Kerajaan dalam mempercepatkan proses pemerolehan vaksin ini dapatmembantu negara membuka semula ekonomi dengan lebih selamat agar rakyat dapat menjalani kehidupan norma baharu dengan lebih bersedia.
- Datuk Yang Di-Pertua, saya mohon mencadangkan.