Ucaptama Konvensyen Akauntan Nasional 3.0
YB DATUK SERI HAJI AHMAD HAJI MASLAN
TIMBALAN MENTERI KEWANGAN I
KEMENTERIAN KEWANGAN MALAYSIA
UCAPTAMA KONVENSYEN AKAUNTAN NASIONAL 3.0
11 JANUARI 2023 (RABU)
- Setinggi-tinggi penghargaan atas undangan untuk merasmikan ‘KONVENSYEN AKAUNTAN NASIONAL 3.0’ anjuran Persatuan Firma Akauntan Bertauliah Melayu (AMCAF), dengan tema Mendepani ESG: Kelestarian dan Cabaran”.
- Tema ini sangat relevan kerana Malaysia, seperti kebanyakan negara lain, komited terhadap pematuhan initiatif Environment, Social, Governance (ESG) kerana hala tuju ini adalah penting untuk negara bagi mengharungi cabaran 2023 dan ke hadapan. ESG merupakan tonggak utama yang digunakan untuk mengukur kemampanan sesebuah industri walaupun buat masa ini perusahaan kecil dan sederhana serta firma profesional masih di peringkat awal pelaksanaan.
- Bagi syarikat tersenarai keperluan bagi melaksanakan pelaporan bersepadu melibatkan pendedahan dari aspek ekonomi, alam sekitar dan sosial oleh Bursa Malaysia telah bermula mulai 2016.
- Tahun 2023 dijangkakan merupakan tahun yang mencabar bagi kita semua, terutamanya kepada rakyat dan perniagaan. Senario ekonomi global semakin tidak menentu dan tinjauan ekonomi bagi tahun 2023 juga dilihat kurang memberangsangkan. Ini dapat dilihat apabila IMF telah menyemak semula pertumbuhan ekonomi 1 global kepada kadar yang lebih rendah iaitu daripada 3.2% pada 2022 kepada 2.7% pada 2023.
- Sebagai sebuah ekonomi yang terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada perkembangan global. Oleh itu, Kerajaan akan sentiasa memastikan setiap langkah yang dibuat adalah berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat segenap lapisan masyarakat. Antaranya ialah memberi tumpuan utama bagi pemulihan ekonomi pasca COVID-19 dengan memastikan kebajikan rakyat serta kelangsungan perniagaan.
- Tumpuan perlu diberikan terhadap cara pengoperasian perniagaan dan industri dengan mengambil kira risiko dan peluang ekonomi, alam sekitar dan sosial di samping implikasi kewangan bagi menjana faedah jangka panjang bukan sahaja bagi kesinambungan sesuatu perniagaan dengan penciptaan nilai tetapi juga kelestarian alam sekitar termasuk sumber.
- Malaysia sebagai salah satu daripada 192 negara yang menerima pakai inisiatif Sustainability Development Goals (SDGs), telah melaksanakan pelan tindakan sejak 2016 dengan menyepadukan keperluan untuk penggemblengan sumber, termasuk tenaga kerja, pembinaan kapasiti, dan ruang fizikal serta pendanaan melalui Rancangan Malaysia Ke-11 dan ke 12.
- Negara kita juga komited untuk untuk mencapai status ‘negara neutral karbon’ pada tahun 2050 selaras dengan komitmen dunia 2 terhadap perubahan iklim dan resolusi dalam Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim. Bagi memenuhi sasaran neutral karbon, inisiatif Voluntary Carbon Market (atau VCM) telah dilancarkan di bawah advokasi Bursa Malaysia.
- Bank Negara Malaysia juga telah memperkenalkan inisiatif Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) yang secara langsung mempromosikan pertimbangan aspek pemuliharaan alam sekitar dan penciptaan nilai yang lebih lestari bagi program pembiayaan dan pelaburan oleh institusi kewangan.
- Berdasarkan Sustainability Disclosure Review (SDR) yang dijalankan oleh Bursa Malaysia ke atas sampel syarikat tersenarai pada tahun 2020, purata tahap pematuhan terhadap pendedahan aspek ESG di kalangan syarikat tersenarai adalah sekitar 93% manakala dari aspek kualiti pendedahan adalah sekitar 68%. Peratusan ini menunjukkan terdapat kesedaran yang tinggi di kalangan pemain industri untuk mematuhi keperluan pendedahan aspek ESG. Walau bagaimanapun, kualiti pendedahan perlu ditambah baik dari semasa ke semasa.
- Malaysia juga komited terhadap inisiatif kelestarian dan elemen ESG. Kerajaan telah berjaya melaksanakan terbitan sukuk global kelestarian berdaulat (Sovereign USD-denominated Global Sustainability Sukuk) berjumlah USD1.3 bilion pada 2021. Seterusnya, pada 30 September 2022, Kerajaan telah menerbitkan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia Lestari (Sustainability Malaysian Government Investment Issues) berjumlah RM4.5 bilion. 3 Terimaan daripada terbitan sukuk tersebut digunakan untuk membiayai sebahagian defisit fiskal iaitu menampung perbelanjaan pembangunan seperti projek pengangkutan bersih, pengurusan mampan sumber asli, tenaga boleh baharu dan bangunan hijau. Ini membuktikan komitmen terhadap usaha membangunkan pelaburan mampan dan bertanggungjawab ke arah Agenda Pembangunan Mampan 2030.
- Kepakaran para akauntan amat diperlukan dalam memainkan peranan penting dalam membantu Kerajaan menyampaikan mesej dan garis panduan kepada semua pemain industri bagi menambahbaik kualiti pendedahan serta meastikan hasrat pelaksanaan ESG tercapai.
- Justeru para akauntan perlu mengambil langkah proaktif bagi melengkapkan kemahiran dan kompetensi berkaitan dengan aspek ESG dan pelaporan bersepadu untuk memastikan peranan yang diharapkan ini dapat dilaksanakan. Para Akauntan perlu mengambil peluang ini dengan sedaya upaya mendedahkan diri kepada ilmu dan kemahiran selari dengan keperluan industri supaya dapat kekal relevan dan mampu menyumbang kepada peningkatan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan lestari.
- Melangkah ke hadapan, Kerajaan akan terus memantau pelbagai risiko ekonomi dan memastikan bahawa keputusan dasar yang dibuat akan dapat menguruskan secara berkesan sebarang kejutan luaran yang boleh menjejaskan kesejahteraan keseluruhan 4 rakyat dan perniagaan. Keutamaan jangka sederhana Kerajaan adalah untuk melaksanakan pembaharuan struktur yang akan meningkatkan potensi ekonomi, daya tahan dan prospek negara; menjadikan Malaysia destinasi pelaburan yang lebih menarik; serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif untuk semua.
- Saya amat berharap persidangan hari ini dapat membuahkan kesan yang positif terhadap peningkatan peranan akauntan dalam mendepani cabaran pelaksanaan ESG dan seterusnya membantu dalam memacu peningkatan inisiatif ESG di Malaysia.